MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Ahli Kawasan Kampong Kolam (Y.B. Encik Lim Gim Soon) bertanya kepada Ketua Menteri: 2. Adakah Y.A.B. Ketua Menteri sedar tentang masalah kesesakan lalulintas di bandar Georgetown yang semakin serius? Apakah langkah dan tindakan yang telah dan akan diambil untuk mengatasinya? Bilakah Jelutong Expressway akan benar-benar disiapkan?
Dun -
Exco YB. DR. TENG HOCK NAN
Perkara Kerajaan Tempatan

Jawapan

YB DR TENG HOCK NAN MENJAWAB BAGI PIHAK KETUA MENTERI:

2. Sedar. Beberapa tindakan telah diambil untuk melegakan kesesakan lalu lintas di kawasan Bandar Georgetown. Di samping ini perancangan dijalankan secara berterusan untuk mengawal kesesakan bagi jangka masa pendek dan panjang. Di antara tindakan-tindakan yang telah diambil dan dalam perancangan adalah seperti berikut:-

(i) Mengadakan sistem aliran lalu lintas sehala untuk meningkatkan kapasiti jalan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas. Sebanyak 41 jalan dalam kawasan bandar telah ditukar kepada jalan sehala sejak tahun 1996.

Sistem jalan sehala sedia ada sedang dirancang untuk diperluaskan ke kawasan pinggir Bandar Georgetown seperti Jalan Burma dan Jalan Kelawai serta kawasan zon warisan.

(ii) Melebarkan jalan dan persimpangan-persimpangan. Jalan Residensi, Jalan Mount Erskine, Jalan Masjid Negeri, Jalan Hamilton, Jalan Scotland dan Jalan Gottlieb adalah di antara jalan-jalan utama yang telah dilebarkan untuk mengawal kesesakan.

(iii) Penyusunan semula lalu lintas dengan mengadakan kawalan lampu isyarat, bulatan, pembahagi-pembahagi jalan dan larangan-larangan. Sebanyak 9 buah persimpangan lampu isyarat baru telah diadakan di Pulau Pinang dalam tahun 1999, 3 lagi berada dalam proses pemasangan dan beberapa lagi sedang dirancang. Kawalan-kawalan lalu lintas yang bersesuaian diadakan di persimpangan jalan mengikut keadaan aliran lalu lintas seperti bulatan di persimpangan Jalan Utama/Jalan Gottlieb dan pembahagi jalan di Jalan Sultan Ahmad Shah/Jalan Pangkor/Jalan Kelawai. Larangan-larangan juga dikenakan untuk mengawal kesesakan lalu lintas seperti larangan membelok kanan, larangan menunggu, kotak kuning dan sebagainya.

(iv) Mengadakan infrastraktur baru.

Tindakan berterusan diambil untuk membina jalan-jalan baru selaras dengan perancangan sedia ada. Lebuhraya Bayan Lepas, jalan sambungan Sepoy Lines, jalan sambungan Lebuhraya Thean Teik dan Jalan Bukit Gambir adalah di antara contoh-contohnya.

Lebuhraya Jelutong (Jelutong Expressway), Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (Penang Outer Ring Road) dan lintasan ketiga dari pulau ke tanah besar adalah di antara infrastruktur-infrastruktur penting yang akan dibina. Jejambat-jejambat lalu lintas juga akan dibina untuk melegakan kesesakan lalu lintas di beberapa persimpangan utama yang telah dikenalpasti.

(v) Menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam. Penubuhan konsortium perkhidmatan bas berhenti-henti di Pulau Pinang dan penguatkuasaan teksi bermeter adalah hasil daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Untuk rancangan jangka panjang, sistem “Park and Ride” dan sistem transit aliran ringan sedang dipertimbangkan.

(vi) Mewujudkan bandar-bandar satelit baru.

Bandar-bandar satelit seperti Bayan Baru dan Bandar Baru Air Itam akan mengurangkan kekerapan perjalanan kenderaan ke bandar yakni mengurangkan kesesakan.

(vii) Perancangan pembangunan.

Kawalan ke atas jenis dan saiz bangunan di kawasan-kawasan tertentu akan mengurangkan penjanaan lalu lintas dan secara langsung mengurangkan kesesakan. Contohnya adalah penetapan had ketinggian bangunan di kawasan warisan dan kawasan-kawasan perumahan.

Projek Lebuhraya Jelutong (Jelutong Expressway) dijangka dapat disiapkan pada tahun 2002. Kerja-kerja fizikal seperti kerja tanah untuk penyediaan jalan telah dimulakan sejak bulan Oktober 1999.


Kembali