MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
29/04/2011
Soalan Adakah Kerajaan Negeri membuat perancangan untuk penempatan semula terlebih dahulu sebelum tindakan meroboh gerai diambil. Jika ada, apakah perancangan tersebut? Jika tidak ada, sila beri sebab-sebab.
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara --

Jawapan
18. Terdapat lebih kurang 3,000 orang penjaja tanpa lesen di kawasan MPPP yang telah menimbulkan masalah kacau ganggu misalnya dari aspek halangan lalu lintas, kebersihan yang merupakan punca pembiakan lalat, lipas, tikus dan sebagainya. Sehubungan itu, banyak aduan diterima yang meminta MPPP mengambil tindakan. MPPP memberi peluang kepada penjaja-penjaja tanpa lesen dengan memberi keutamaan semasa proses temuduga sepertimana yang diamalkan sekarang dengan memberi tawaran untuk masuk berniaga di kompleks, pasar dan tapak penjaja MPPP.

Dialog turut diadakan dengan Ahli-ahli Majlis, Jabatan-jabatan Kerajaan, Persatuan-persatuan yang berdaftar mengenai cara-cara untuk mengatasi masalah penjaja tanpa lesen. Keputusan jangka pendek ialah dengan meletakkan tanda pengenalan ‘tagging’ kepada penjaja lama iaitu sebelum 1 Mei 2010 dengan kompaun bulanan dan selepas tarikh tersebut, merupakan penjaja baru yang akan diambil tindakan rampasan.

Di Seberang Perai, pihak MPSP menggunakan pendekatan menasihatkan peniaga yang mana gerainya akan dirobohkan untuk mengambil tindakan seperti berikut :-

(i) Memohon ruang niaga MPSP berdekatan yang masih kosong.
(ii) Peniaga yang tidak berminat untuk mengisi ruang niaga akan dicadangkan supaya mengubah cara jualan kepada jenis mudah alih (mobile) dan tidak meninggalkan alatan jualan.
(iii) Peniaga juga dinasihatkan sekiranya berminat, menyewa mana-mana tanah persendirian dan kemudiannya memohon Kelulusan Pelan Bangunan dan lesen daripada MPSP.
Kerajaan Negeri akan menubuhkan Jawatankuasa khas sekiranya perlu penempatan semula, untuk berbincang dan menentukan lokasi yang sesuai.

Kerajaan Negeri melalui PBT akan menawarkan gerai yang kosong di kompleks berdekatan sebelum mengambil tindakan perobohan gerai. Masalah yang dihadapi PBT ialah penjaja haram biasanya enggan menerima tawaran dengan alasan gerai ditawarkan terlalu jauh dan tiada strategik.
Kembali