MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan Terdapat pemilik-pemilik rumah kos rendah yang menyewakan unit mereka kepada pihak lain. (a) Apakah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap mereka? (b) Berapakah jumlah bilangan unit rumah kos rendah yang didapati disewakan oleh pemilik mengikut daerah masa kini.
Dun -
Exco YB. JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH
Perkara Projek Perumahan Rakyat

Jawapan
6. (a) Tindakan yang telah diambil ke atas pemilik rumah kos rendah yang menyewakan kepada orang lain (sehingga tahun 2014 ialah sejumlah 69 unit) ialah dengan menyampaikan Notis Pelanggaran Syarat untuk kembali memulihkan syarat penghunian. Sekiranya ingkar, Notis Amaran pula akan dikeluarkan sebagai tindakan susulan dan akhirnya jika pemilik unit masih ingkar arahan notis amaran maka kes itu akan dirujuk kepada Penasihat Undang-undang Negeri untuk pandangan dan tindakan selanjutnya. Ekoran daripada tindakan-tindakan di atas sebanyak 53 unit telah berjaya dikosongkan.

Manakala bagi rumah kos rendah/sederhana rendah yang berada di luar kawalan Bahagian Perumahan tindakan perundangan turut boleh diambil terhadap pemilik-pemilik berkenaan yang telah melanggari pengakuan di borang permohonan rumah dan mereka yang berkenaan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 420, Kanun Keseksaan di mana boleh disabitkan kesalahan penipuan dan dipenjarakan sehingga 10 tahun dengan sebatan dan didenda.

Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk mewujudkan undang-undang kecil di bawah MPPP/MPSP supaya masalah ini dapat diatasi dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, kedua-dua perkara ini akan dikaji dengan lebih teliti dan dirujuk kepada Penasihat Undang-undang Negeri terlebih dahulu untuk mendapatkan pandangan beliau.

(b) Jumlah bilangan unit yang disewakan kepada pihak ketiga (warga asing) di projek Perumahan Awam adalah seperti di Lampiran A. Pada masa kini tiada data atau rekod penyewaan untuk kawasan Perumahan Swasta dan yang melibatkan penyewa-penyewa penduduk tempatan.
Kembali