MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah mengalami banjir dan menyebabkan masalah kepada rakyat. Apakah punca masalah tersebut dan tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah ini untuk jangka masa panjang?
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
1. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang bersama Malaysia Airports Bhd (MAB) telah mengadakan perbincangan pada 23 November 2014 bertempat di Pejabat JPS Pulau Pinang. Pihak MAB memaklumkan bahawa telah melantik Perunding Zaidun Leeng bagi menjalankan kajian mengenalpasti punca sebenar banjir dan mengemukakan cadangan bagi mengatasi masalah banjir di Terminal Ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
2. Kajian mendapati punca berlakunya banjir di dalam kawasan Terminal Ketibaan adalah daripada masalah sistem saliran dalaman sediada yang tidak dapat menampung air hujan yang lebat ekoran daripada kerja-kerja pembesaran dan menaiktaraf bangunan terminal lapangan terbang.
3. Pihak MAB dan perundingnya telah mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan bagi mengatasi masalah ini. Antaranya adalah menyediakan kolam takungan setempat (OSD) yang akan dibina di bawah laluan teksi terminal, direkabentuk bagi menampung keamatan hujan (rainfall intensity) sehingga 300 mm/sejam, sebelum dialir keluar ke saluran akhir. Di samping itu, pihak perunding juga telah mencadangkan kerja-kerja penambahbaikan terhadap ‘sump rainwater downpipe’ di terminal tersebut bagi menampung air hujan yang turun daripada bumbung terminal untuk mengelakkan berlakunya limpahan air banjir seperti mana kejadian sebelum ini. Pihak MAB telah merekodkan bahawa kejadian banjir di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berlaku setelah menerima taburan hujan sejumlah 60 mm/sejam.
4. Memandangkan kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang diwartakan sebagai 'Kawasan Larangan', maka segala kerja-kerja pembangunan dan penyelenggaraan bagi menaiktaraf sistem saliran dalaman lapangan terbang seperti yang dicadangkan akan dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak MAB.

5. Dalam kajian berkenaan, didapati tiada keperluan bagi menaiktaraf sistem saliran di luar kawasan lapangan terbang sediada yang berada di dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Disediakan oleh:
Muhamad Azrai Bin Mohamad Zaini (019-5700737)
Penolong Pengarah (Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan) UPEN

Disemak oleh:
Encik Mohd Farulizam Bin Che Meh (019-4817678)
Timbalan Pengarah (Sektoral) UPEN
Kembali