MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Ahli Kawasan Air Itam (Y.B. Encik Lye Siew Weng) bertanya kepada Ketua Menteri: 3. Kesedaran untuk memelihara alam sekitar telah menjadi semakin penting dan perlu ada pada setiap warganegara Malaysia. Murid dan pelajar sekolah adalah golongan yang paling penting untuk membangkitkan kesedaran ini. Untuk belanjawan kali ini, berapakah peruntukan bagi mendidik murid dan pelajar tentang pentingnya menjaga kebersihan dan alam sekitar?
Dun -
Exco YB DR TENG HOCK NAN
Perkara Alam Sekitar

Jawapan

YB DR TENG HOCK NAN MENJAWAB BAGI PIHAK KETUA MENTERI:

3. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan sememangnya menjadikan pembangunan dan pendidikan alam sekitar sebagai agenda utama yang dilaksanakan secara berterusan melibatkan seluruh jentera Kerajaan di samping penyertaan berkesan oleh pihak swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat umum khususnya murid dan pelajar-pelajar sekolah. Berbagai program, aktiviti, projek dan kajian alam sekitar yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit dilaksanakan bagi menangani, menyelesai, mengesan dan mengenalpasti masalah serta isu alam sekitar yang dihadapi. Mengenai pendidikan dan kesedaran alam sekitar dikalangan murid dan pelajar sekolah yang merupakan antara komponen penting pembangunan alam sekitar, satu program tetap “Kem Kesedaran Alam Sekitar” disediakan dan diselaraskan menerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri.

Kejayaan menubuhkan Kadet Alam Sekitar pada tahun 1997 pula, merupakan titik tolak penting ke arah penglibatan yang lebih dominan dan berkesan dikalangan murid dan pelajar sekolah di dalam proses pembangunan alam sekitar negeri ini. Rentetan dari peristiwa tersebut menyaksikan lebih banyak program dan aktiviti gotong royong, penghijauan, kursus, bengkel, seminar, lawatan sambil belajar serta projek-projek alam sekitar yang melibatkan murid dan pelajar sekolah dilaksanakan. Peruntukan untuk pelaksanaannya disediakan menerusi pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar, MPPP dan MPSP. Untuk makluman Y.B., pada tahun belanjawan 2000, peruntukan awal yang dicadangkan untuk maksud tersebut ialah sebanyak RM150,000.00.

Kembali