MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Ahli Kawasan Air Itam (Y.B. Encik Lye Siew Weng) bertanya kepada Ketua Menteri: 5. Adakah Kerajaan Negeri masih meneruskan Program Cintai Sungai untuk membersihkan sungai-sungai selepas hujan? Jika ada, berapakah jumlah wang yang akan diperuntukkan bagi program ini?
Dun -
Exco YB DR TENG HOCK NAN
Perkara Alam Sekitar

Jawapan

YB TENG HOCK NAN MENJAWAB BAGI PIHAK KETUA MENTERI:

5. Untuk makluman Yang Berhormat, Kempen Cintailah Sungai Kita merupakan program berterusan Kerajaan yang telah dilancarkan pada tahun 1993. Pelaksanaannya yang diselaraskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran serta dibantu oleh lain-lain jabatan dan agensi Kerajaan, pada dasarnya telah menepati objektif yang ditetapkan seperti berikut:

(a) Memberi kesedaran tentang betapa pentingnya sungai dalam kehidupan setiap individu bagi menimbulkan keinginan untuk sama-sama memelihara dan mencintai sungai.

(b) Memperkenalkan kepada orang awam langkah dan amalan yang boleh menyumbang ke arah pengekalan keindahan semulajadi dan perlindungan sungai.

(c) Mempertingkatkan pengetahuan dan teknik pengurusan sungai dan kawasan tadahan di kalangan agensi yang terlibat bagi menjamin pembangunan harmonis yang berkekalan.

Program, aktiviti dan projek-projek gotong royong membersihkan sungai, program sungai angkat, mengindahkan koridor sungai terus digerakkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh lapisan masyarakat. Untuk makluman Yang Berhormat, kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan sungai dilaksanakan pada kadar di antara 4 hingga 6 pusingan setahun. Jumlah pusingan yang disediakan untuk menjayakan Kempen Cintailah Sungai Kita khususnya program pembersihan sungai bagi tahun belanjawan 1999 adalah sebanyak 1,516,600.00. Untuk tahun belanjawan 2000 pula sebanyak RM1,325,070.00 telah dicadangkan untuk maksud yang sama.





Kembali