MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan VI. Ahli Kawasan Berapit (Y.B. Encik Lau Chiek Tuan) bertanya kepada Ketua Menteri: 1. Apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk membantu penyewa unit komersial yang turut terlibat dalam pemansuhan Akta Kawalan Sewa? (a) Nyatakan bilangan unit komersial kos rendah yang telah dibina setakat ini. (b) Nyatakan bilangan yang telah ditawarkan unit tersebut berbanding dengan jumlah permohonan secara keseluruhan mengikut pecahan kaum dan daerah.
Dun -
Exco YB DATO DR TOH KIN WOON
Perkara Akta Kawalan Sewa

Jawapan


YB DATO DR TOH KIN WOON MENJAWAB BAGI PIHAK KETUA MENTERI:

1. (a) Majlis Perbandaran Pulau Pinang dalam Projek Perumahan dan Perniagaan Bersepadu Jalan Sungai sedang membina 360 unit ruang kedai antara 250 hingga 350 kaki persegi. Ruang ini akan diberi keutamaan untuk dijual kepada penyewa-penyewa premis yang terlibat dengan pemansuhan Akta Kawalan Sewa dan yang telah berdaftar dengan Kerajaan Negeri.

(b) Setakat ini Kerajaan Negeri belum lagi membuat tawaran unit komersial kepada mereka yang terlibat dengan pemansuhan Akta Kawalan Sewa. Statistik daripada pendaftaran yang diadakan pada tahun 1997 menunjukkan sejumlah 2266 orang yang telah memohon ruang perniagaan. Kelayakan pemohon masih dalam penelitian. Daripada jumlah ini, 1661 memohon ruang perniagaan di Daerah Timur Laut, 122 di Daerah Barat Daya, 70 di Seberang Perai Utara, 111 di Seberang Perai Tengah, 56 di Seberang Perai Selatan dan 246 tidak menyatakan daerah pilihan. 411 menyuarakan hasrat menyewa unit, 1815 yang lain sanggup membelinya dan 40 tidak memberi maklumat langsung. 77% daripada pemohon telah juga minta bantuan perumahan dan sebahagian besar telah diberi tawaran rumah. Memandangkan ada di antara penyewa-penyewa komersial yang memang sedang membayar kadar sewa hampir sama dengan kadar pasaran, masalah dijangka tidak begitu serius dan boleh diselesaikan sendiri antara pemilik dan penyewa. Buat masa ini keutamaan diberi untuk menyelesaikan masalah perumahan penyewa-penyewa yang terjejas.

Dalam pendaftaran yang dijalankan Kerajaan Negeri pada tahun 1997, sejumlah 2,266 orang telah memohon ruang perniagaan. 411 hendak menyewa sahaja, 1,815 hendak membeli dan 40 tidak menyatakan pilihan. 77% pemohon telah juga minta bantuan perumahan. Kelayakan pemohon dan peruntukan ruang komersial masih dalam penelitian. Buat masa ini keutamaan diberi untuk menyelesaikan masalah perumahan penyewa-penyewa yang terlibat.



Kembali