MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Nyatakan statistik bilangan ibu tunggal dan ibu tinggal sehingga setakat ini. Apakah hasrat dan perancangan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan ini misalnya dari segi meningkatkan sumber pendapatan mereka, sokongan moral dan sebagainya? Sila huraikan.
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
Sehingga Oktober 2014, seramai 14,595 ibu tunggal dan ibu tinggal telah didaftarkan melalui Sistem i-Sejahtera Kerajaan Negeri dan dijangka terdapat lebih ramai lagi yang belum berdaftar.

Bagi membantu golongan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang menyediakan bantuan kewangan kepada golongan miskin dan bekeperluan termasuklah ibu tunggal. Bantuan yang disediakan adalah termasuk bantuan kewangan bulanan, bantuan geran pelancaran, bantuan persekolahan, bantuan alat tiruan dan sokongan serta khidmat nasihat dan kaunseling.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) telah melaksanakan usaha bagi meningkatkan usahawan wanita khususnya golongan ibu tunggal dan ibu tinggal melalui langkah-langkah berikut:-

(i) Memberikan tumpuan khas kepada usahawan wanita melalui Briged Wanita Pulau Pinang (BWPP) yang merupakan sebuah badan sukarela di bawah Kerajaan Negeri. BWPP ditugaskan untuk mendaftarkan wanita yang layak untuk membuat permohonan PTSR di peringkat kawasan setempat.

(ii) Menganjurkan program Fiesta Keusahawanan Wanita bertemakan “Wanita Pemangkin Ekonomi” yang telah mendapat sambutan baik dengan penyertaan seramai 227 orang peserta.

(iii) Menganjurkan “Dialog Suara Wanita” di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Daerah Barat Daya yang telah disertai oleh seramai lebih 600 peserta wanita.

(iv) Kerajaan Negeri melalui PWDC juga sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) untuk mengenal pasti faktor-faktor sosio-ekonomi yang menyumbang kepada isu kemiskinan di kalangan wanita di Taman Jawi Jaya, Daerah Seberang Perai Selatan.

(v) Melalui Dasar dan Pelan Tindakan Penjagaan Kanak-Kanak Pulau Pinang yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, PWDC telah menjalankan latihan bersubsidi bagi Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Di Rumah kepada lebih daripada 200 orang peserta. Keutamaan penyertaaan program ini diberikan kepada golongan ibu tunggal yang tiada punca pendapatan tetap.

(vi) Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan beberapa projek dan latihan bagi menggalakkan wanita khususnya ibu tunggal dan ibu tinggal menceburkan diri dalam bidang usahawan dan perniagaan, antaranya seperti diberikut:

(a) Kontrak Komuniti Program Pembersihan PPR Jalan Sungai
Projek ini juga telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada seramai
enam (6) orang penduduk dan tiga (3) daripadanya adalah wanita.

(b) Latihan kemahiran
Kerajaan Negeri melalui PWDC telah turut mengadakan kerjasama dengan
pertubuhan bukan kerajaan NGO, Soroptomist International Penang (SIP)
dalam menyediakan latihan kemahiran kepada wanita untuk program
menjahit, memasak dan cerdik IT.

(c) Projek Menjana Pendapatan Komuniti
Apabila dilaksanakan, projek ini akan dapat membantu usahawan wanita untuk menjalankan perniagaan secara kolektif dalam komuniti mengikut kemahiran masing-masing antaranya seperti perkhidmatan katering dalam komuniti; pembuatan kek dan pastri; dan sebagainya.

(vii) Melalui program i-Sejahtera, Kerajaan Negeri telah memberi bantuan kewangan kepada golongan ibu tunggal sebanyak RM100 setahun bagi membantu mereka dalam menguruskan kehidupan.
Kembali