MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan (a) Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menambahkan lagi peruntukan / bantuan kepada sektor perikanan seperti mewujudkan satu "One Stop Centre" pendaratan ikan yang lebih efektif dan efisien di Daerah Timur Laut? (b) Apakah bantuan dari Kerajaan Pusat kepada sektor perikanan di Pulau Pinang ?
Dun -
Exco
Perkara Peruntukan Kerajaan

Jawapan
(a) Buat masa ini Kerajaan Negeri tiada cadangan untuk menambahkan lagi peruntukan atau bantuan kepada sektor perikanan bagi mewujudkan sebarang fasiliti pendaratan ikan di Daerah Timur Laut. Namun begitu Kerajaan Negeri membantu menerusi inisiatif-inisiatif berikut :

i)Manifesto kerajaan negeri ketika Pilihanraya Umum KE-13 yang lalu menjanjikan pemberian pukat sebanyak 2 kali setahun kepada nelayan yang berdaftar di Pulau Pinang. Sebelum ini pemberian pukat hanya dilakukan sekali setahun. Pada tahun 2013 seramai 2,981 nelayan telah mendapat manfaat dan melibatkan kos sebanyak RM437,807.00. Manakala pemberian pertama pada tahun 2014 adalah melibatkan seramai 2981 nelayan yang melibatkan kos sebanyak RM 497,538.70 dan pemberian kedua pada tahun ini akan dilakukan pada bulan Disember.

ii) Pihak kerajaan negeri sedang berusaha untuk menempatkan kesemua nelayan jelutong untuk berpindah masuk ke kompleks pendaratan ikan Jelutong di bawah kelolaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Kerajaan Negeri percaya lokasi ini bukan sahaja mampu menjadi pusat untuk mendapatkan bekalan hasil laut malahan boleh menjadi pusat tarikan baru pelancong dan secara tidak langsung dapat membantu nelayan-nelayan memasarkan produk pelancongan yang lain

(b) Antara bantuan dari kerajaan pusat kepada sektor perikanan adalah seperti berikut

(i) Skim Insentif Hasil Tangkapan Ikan merupakan bayaran insentif hasil tangkapan ikan pada kadar RM0.10 sekilogram kepada pemilik vesel yang berlesen.

(ii) Skim Bayaran Elaun Sara Hidup di bawah skim ini bayaran elaun sara hidup nelayan adalah RM200.00 sebulan kepada pemilik individu vesel perikanan dan pekerja warga tempatan yang bekerja di atas vesel berlesen.

(iii) Insentif Kotak Ikan Berinsulasi Food Grade (KIBFG)
Bagi Ikan Tempatan

Selaras dengan kehendak pasaran global, perhatian perlu diberikan kepada pengekalan kualiti ikan dan aspek keselamatan makanan kepada pengguna. Bagi tujuan tersebut, MOA telah menetapkan beberapa garis panduan amalan baik seperti Amalan Pertanian Baik, Amalan Akuakultur Baik dan Amalan Pengendalian Baik khususnya bagi produk mudah rosak. Bagi sektor perikanan pula, pengendalian ikan merupakan elemen yang penting dalam usaha menjamin kualiti ikan di sepanjang rantai bekalan sehingga kepada pengguna.

(iv)Skim Subsidi Diesel dan Petrol dimana objektif pelaksanaan insiatif ini adalah bagi membantu menampung sebahagian dari kos operasi penangkapan ikan akibat dari kenaikan harga bahan api dipasaran.


(v) Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan
Objektif Pelaksanaan Skim ini adalah seperti berikut:-

a) Memberi bantuan/sumbangan segera dalam bentuk kewangan kepada nelayan yang terlibat dalam kemalangan atau bencana alam yang melibatkan kehilangan/kemusnahan/kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa bagi meringankan beban mangsa dan juga keluarga.

b) Memberi bantuan dan sumbangan kepada nelayan yang ditimpa kemalangan bencana alam yang tidak dilindungi oleh syarikat insuran.




(v) Bantuan Pinjaman Dana Nelayan merupakan satu skim pinjaman mudah khusus untuk membantu golongan nelayan dalam meningkatkan pendapatan dan produktiviti tangkapan. Bantuan dana ini diberi mengikut kategori nelayan yang terlibat.



Disediakan oleh : omar Bin Muhamed (012-4338843)
Penolong Pengarah (S)7 UPEN
Kembali