MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Setiap kali hujan lebat, akan berlaku banjir kilat. Apakah punca utamanya dan apakah langkah drastik yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah ini?
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
Punca utama berlaku banjir kilat mengikut analisa yang dibuat adalah seperti berikut:

1. Hujan lebat setempat berkeamatan tinggi (localized high intensity rainfall) dalam tempoh yang singkat. Ini ditambah jika hujan lebat serentak dengan air laut pasang yang akan meningkatkan aras air sungai -sungai utama.

2. Ketidakupayaan sistem saliran sediada (existing drainage system under capacity) untuk menampung pertambahan air larian permukaan semasa hujan berikutan pembangunan pesat melibatkan pemajuan tanah berskala besar tanpa kawalan yang rapi, contohnya berlaku bottleneck dalam pengaliran keluar; atau terdapat halangan akibat soffit level jambatan sediada yang rendah

3. Sistem saliran dan perparitan dalaman yang tersumbat dengan sampah sarap disebabkan tidak diselenggara dengan sempurna (insufficient maintenance)

4. Limpahan air daripada sungai, cabang sungai atau sistem saliran yang mengalir melalui kawasan bandar.

5. Topografi kawasan banjir kilat adalah kawasan dataran rendah (low-lying areas) dan/atau landai

6. Kesan perbandaran/ perubahan gunatanah/ pembangunan tidak lestari

7. Kesan air berpatah balik (back-water effect) iaitu air yang mengalir berlawanan arah yang sepatutnya, akibat kejadian pasang surut air laut dan/atau aras air sungai yang tinggi semasa hujan lebat.

8. Pengurangan kawasan yang telap air disebabkan pembangunan pesat yang akan mengakibatkan jumlah air larian permukaan bertambah apabila hujan lebat.

Langkah drastik yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah ini adalah seperti :

MPPP

Langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah banjir di Pulau Pinang adalah melalui tiga pendekatan seperti berikut:


i) Melalui kawalan pembangunan baru
ii) Melalui projek-projek tebatan banjir
iii) Mempertingkatkan kemudahan dan operasi pembersihan parit

i Melalui kawalan pembangunan baru

Bagi projek pembangunan yang baru di dalam kawasan bandaraya George Town, MPPP akan mengenakan syarat kepada pemaju untuk menaiktaraf parit utama yang berada di sekeliling kawasan pembangunan mengikut Pelan Induk yang dijalankan oleh Japan International Corporation Agency (JICA). Manakala bagi projek pembangungan baru di luar kawasan bandaraya George Town, JPS akan mengenakan syarat kepada pemaju untuk menaiktaraf sistem saliran yang terlibat dengan pembangunannya mengikut Panduan Manual Saliran Mesra Alam Malaysia (MSMA).

ii. Melalui projek-projek tebatan banjir

Masalah banjir kilat memang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Projek-projek tebatan banjir yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri adalah bertujuan untuk menguruskan masalah banjir supaya impak banjir dapat dikurangkan kepada tahap yang minimum. Dalam pelaksanaan rancangan tebatan banjir, JPS merupakan agensi utama (lead agency) yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan tugas ini. Selama ini, MPPP, JPS dan JKR memang memainkan peranan masing-masing untuk menjalankan projek tebatan banjir bagi mengurangkan impak banjir yang melanda negeri ini.

MPPP memang berusaha untuk menjalankan projek-projek mitigasi banjir untuk mengurangkan impak masalah banjir kilat dalam kawasan bandar. Projek-projek tebatan banjir yang telah dan sedang dirancang untuk mengurangkan masalah banjir kilat dalam kawasan ‘hotspot’.

Jumlah wang yang telah dan akan dibelanjakan sejak tahun 2011 adalah sebanyak RM13,032,876.41

iii) Mempertingkatkan kemudahan dan operasi pembersihan parit

Tindakan pembersihan yang dibuat adalah seperti berikut:

(1) Pembersihan parit-parit utama secara mekanikal dengan menggunakan jentera pembersihan Art Gully Emptier sebanyak 3 unit. Perancangan telah dibuat untuk pembelian sebanyak 4 unit tambahan bagi pembekalan untuk keseluruhan kawasan perkhidmatan pada awal tahun 2015.

(2) Penswastaan pembersihan parit besar sebanyak 15 buah pakej dengan melibatkan 28 buah parit seperti berikut:

PAKEJ PARIT BESAR
1 a) Parit Besar Gat Lbh Armenian / Lbh. Pantai
b) Parit Besar Jalan Jelutong
2 a) Parit Besar Lebuh Carnarvon
3 a) Parit Besar Jalan Patani
b) Parit Besar Lrg. Ngah Aboo Lane/Lbh. Kimberly/Lbh. Cintra
c) Parti Besar Gat Lbh. Leith
4 a) Parit Besar Gat Lbh. Macallum
5 a) Parit Besar Lorong Prangin
b) Parit Besar Jalan Arratoon
6 a) Parit Besar Jalan Burmah/ Jalan Chow Thye
b) Parit Besar belakang Barakath Marines
7 a) Parti Besar Jalan Transfer
b) Parit Besar Lebuh Cecil
8 a) Parit Besar Jalan Pangkor
b) Parit Besar Jalan Pintal Tali
9 a) Parit Besar Prangin Canal
10 a) Parit Besar FIZ Fasa 1
b) Parit Besar Jalan Burma
11 a) Parit Besar Jalan Gurdwara
12 a) Parit Besar Lorong Seratus Tahun
b) Parit Besar Jalan Barrack
c) Parit Besar Jalan Cantonment
13 a) Parit Besar Kampong Jawa Baru
b) Parit Besar Jln. Sungai / Jln. Veterinari
c) Parit Besar Jalan Kelawei / Tingkat Kelawei
14 a) Parit Besar Jalan Kampung Jawa FIZ Fasa 3
b) Parit Besar Lorong Perak
15 a) Parit Besar Jalan Macalister

(3) Mewujudkan skuad pemantauan dan tindakan operasi bencana mengikut kawasan Parlimen untuk menyelaraskan mekanisme dan mengenalpasti punca kejadian kejadian banjir. Pasukan ini juga bertindak serta membantu mencegah kejadian banjir melalui kaedah control at source serta mengenal pasti punca kejadian banjir dan merancang langkah-langkah pemulihan operasi pembersihan.

MPSP

Langkah drastik yang telah diambil bagi mengatasi masalah ini adalah seperti berikut:

1. MPSP telah melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf parit dan pintu air untuk menyelesaikan masalah banjir di taman-taman perumahan.

2. MPSP juga telah membina Rumah Pam Kawalan Banjir di taman perumahan yang mempunyai masalah banjir. Rumah pam ini dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan ianya dapat beroperasi dengan baik sewaktu hujan lebat.

3. Pihak JPS Pulau Pinang sedang dalam proses penyediaan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran untuk Daerah Seberang Perai Tengah. Kajian ini telah bermula pada 1 Mei 2014 dan dijangka siap pada 30 April 2015. Kos kajian ini adalah sebanyak RM 1.5 juta. Kerajaan negeri juga telah bersetuju pada 2 Oktober 2014 meluluskan peruntukan sebanyak RM 1.75 juta untuk pihak JPS melantik perunding menyediakan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran untuk Daerah Seberang Perai Selatan. Sehubungan itu, pihak JPS sedang dalam proses melantik perunding yang berkelayakan untuk tujuan tersebut. Kajian pelan induk ini akan menyediakan :

a. pelan jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir dan sistem saliran sediada dan akan datang dengan menyediakan satu pelan induk yang menyeluruh yang merangkumi aspek kawalan kuantiti dan kualiti selaras dengan keperluan MASMA untuk kawasan Seberang Perai Tengah.

b. pelan dan garis panduan kawalan hakisan dan sedimen bagi aktiviti-aktiviti pembangunan tanah, kerja tanah dan sebagainya di peringkat kawalan di punca.

c. pelan bahaya banjir (flood hazard map) bagi membantu pihak JPS mengenalpasti kawasan yang mudah banjir dengan lebih menyeluruh.

d. pelan aras platform untuk tujuan pembangunan akan datang untuk mengelak berlakunya banjir kilat.

4. Pemantauan ke atas projek pembangunan dijalankan dari masa ke semasa bagi memastikan pemaju mengikut spesifikasi Pelan Jalan dan Parit yang ditetapkan terutama dari segi penyediaan kolam tadahan dan penyelenggaraan parit-parit dalam kawasan pembangunan yang sedang dilaksanakan.

5. Skuad Khas MPSP diberi tanggungjawab bagi memantau keadaan parit-parit monsun dan saliran perparitan di seluruh kawasan Seberang Perai khususnya kawasan berisiko banjir dan menjalankan pembersihan dari masa ke semasa bagi mengelakkan saliran tersumbat.

6. “Pasukan Respon Perbandaran” ditubuhkan oleh MPSP bagi membantu semasa banjir untuk membersihkan sampah yang dihanyutkan oleh air ke perangkap sampah dan sampah yang menyebabkan saluran tersumbat supaya aliran air berjalan lancar.

JPS

Langkah Drastik Yang Telah Diambil Oleh Kerajaan Negeri Bagi Mengatasi Masalah Ini adalah:

a). Penyelesaian Secara Struktur:

Penyelesaian secara struktur melibatkan komponen pembinaan kejuruteraan seperti rumah pam, barrage, ban, mengorek muara sunagi, pintu air, kerja-kerja pengukuhan tebing, mendalam dan melebarkan sungai, pembinaan kolam takungan, empangan dan juga pelencongan sungai.

Selain itu, setiap permohonan pembangunan dari pemaju di daerah ini dikenakan syarat agar rizab sungai dikekal dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri sebanyak 6 meter di kiri dan kanan sungai mengikut keadaan semasa.

Pemaju juga dikehendaki menaiktaraf sungai mengikut kawasan yang terdedah kepada banjir serta mewujudkan kolam takungan bagi mengelakkan aliran sungai terus ke hilir

b). Penyelesaian Secara Bukan Struktur:

Penyelesaian secara bukan struktur melibatkan pelbagai agensi yang berkaitan seperti kempen “Cleaner Greener Penang”, Program gotong royong bersama JKKK tempatan, penyediaan kajian-kajian dan rekabentuk terperinci bagi sesuatu lokasi yang mengalami masalah banjir,Sistem Ramalan Awal Banjir dan Penempatan Semula Penduduk seperti di RTB Sungai Pinang Fasa I dan II.


Disediakan Oleh: Hasnah Sulaiman (012-443 2112)
Disemak oleh : Mohd Lokman Hakim Bin Syed Sultan (017-4779796)
Kembali