MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Apakah pelan Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan masalah banjir di Negeri Pulau Pinang seperti yang diwar-warkan dalam MalaysiaKini pada Disember 2008?
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
Langkah yang diambil bagi mengatasi banjir di Pulau Pinang

Masalah banjir kilat memang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Projek-projek tebatan banjir yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri adalah bertujuan untuk menguruskan masalah banjir supaya impak banjir dapat dikurangkan kepada tahap yang minimum. Dalam pelaksanaan rancangan tebatan banjir, JPS merupakan agensi utama (lead agency) yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan tugas ini. Selama ini, MPPP, JPS dan JKR memang memainkan peranan masing-masing untuk menjalankan projek tebatan banjir bagi mengurangkan impak banjir yang melanda negeri ini.

Langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan masalah banjir di Pulau Pinang adalah melalui dua pendekatan seperti berikut :-

i) Melalui kawalan pembangunan baru
ii) Melalui projek-projek tebatan banjir
iii) Mempertingkatkan kemudahan dan operasi pembersihan parit


(a) Melalui kawalan pembangunan baru

Bagi projek pembangunan yang baru di dalam kawasan bandaraya George Town, MPPP akan mengenakan syarat kepada pemaju untuk menaiktaraf parit utama yang berada di sekeliling kawasan pembangunan mengikut Pelan Induk yang dijalankan oleh Japan International Corporation Agency (JICA). Manakala bagi projek pembangungan baru di luar kawasan bandaraya George Town, JPS akan mengenakan syarat kepada pemaju untuk menaiktaraf sistem saliran yang terlibat dengan pembangunannya mengikut Panduan Manual Saliran Mesra Alam Malaysia (MSMA).

(b) Melalui projek-projek tebatan banjir

MPPP memang berusaha untuk menjalankan projek-projek mitigasi banjir untuk mengurangkan impak masalah banjir kilat dalam kawasan bandar. Projek-projek tebatan banjir yang telah dan sedang dirancang untuk mengurangkan masalah banjir kilat dalam kawasan ‘hotspot’ adalah seperti di Lampiran A.

(c) Mempertingkatkan kemudahan dan operasi pembersihan parit

Tindakan pembersihan yang dibuat adalah seperti berikut:

(i) Pembersihan parit-parit utama secara mekanikal dengan menggunakan jentera pembersihan Art Gully Emptier sebanyak 3 unit. Perancangan telah dibuat untuk pembelian sebanyak 4 unit tambahan bagi pembekalan untuk keseluruhan kawasan perkhidmatan pada awal tahun 2015.

(ii)Penswastaan pembersihan parit besar sebanyak 15 buah pakej dengan melibatkan 28 buah parit seperti dalam ‘Jadual A’ (salinan dikepilkan):

(iii)Mewujudkan skuad pemantauan dan tindakan operasi bencana mengikut kawasan Parlimen untuk menyelaraskan mekanisme dan mengenalpasti punca kejadian kejadian banjir. Pasukan ini juga bertindak serta membantu mencegah kejadian banjir melalui kaedah control at source serta mengenal pasti punca kejadian banjir dan merancang langkah-langkah pemulihan operasi pembersihan.

Langkah yang diambil bagi mengatasi banjir di Seberang Perai

(a) MPSP telah melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf parit dan pintu air untuk menyelesaikan masalah banjir di taman-taman perumahan. Disenaraikan projek-projek yang telah dilaksanakan oleh MPSP dan jumlah yang telah dilaksanakan mengikut tahun dari Januari 2008 hingga September 2014 seperti di Lampiran A.

(b) MPSP juga telah membina Rumah Pam Kawalan Banjir di taman perumahan yang mempunyai masalah banjir. Rumah pam ini dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan ianya dapat beroperasi dengan baik sewaktu hujan lebat. Disenarai rumah pam di bawah seliaan MPSP seperti di Lampiran ID 223B.

(c) Pihak JPS Pulau Pinang sedang dalam proses penyediaan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran untuk Daerah Seberang Perai Tengah. Kajian ini telah bermula pada 1 Mei 2014 dan dijangka siap pada 30 April 2015. Kos kajian ini adalah sebanyak RM 1.5 juta. Kerajaan negeri juga telah bersetuju pada 2 Oktober 2014 meluluskan peruntukan sebanyak RM 1.75 juta untuk pihak JPS melantik perunding menyediakan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran untuk Daerah Seberang Perai Selatan. Sehubungan itu, pihak JPS sedang dalam proses melantik perunding yang berkelayakan untuk tujuan tersebut. Kajian pelan induk ini akan menyediakan :-

(i) Pelan jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir dan sistem saliran sediada dan akan datang dengan menyediakan satu pelan induk yang menyeluruh yang merangkumi aspek kawalan kuantiti dan kualiti selaras dengan keperluan MASMA untuk kawasan Seberang Perai Tengah.


(ii) Pelan dan garis panduan kawalan hakisan dan sedimen bagi aktiviti-aktiviti pembangunan tanah, kerja tanah dan sebagainya di peringkat kawalan di punca.

(iii) Pelan bahaya banjir (flood hazard map) bagi membantu pihak JPS mengenalpasti kawasan yang mudah banjir dengan lebih menyeluruh.

(iv) Pelan aras platform untuk tujuan pembangunan akan datang untuk mengelak berlakunya banjir kilat.

(d) Pemantauan ke atas projek pembangunan dijalankan dari masa ke semasa bagi memastikan pemaju mengikut spesifikasi Pelan Jalan dan Parit yang ditetapkan terutama dari segi penyediaan kolam tadahan dan penyelenggaraan parit-parit dalam kawasan pembangunan yang sedang dilaksanakan.

(e) Skuad Khas MPSP diberi tanggungjawab bagi memantau keadaan parit-parit monsun dan saliran perparitan di seluruh kawasan Seberang Perai khususnya kawasan berisiko banjir dan menjalankan pembersihan dari masa ke semasa bagi mengelakkan saliran tersumbat.

(f) “Pasukan Respon Perbandaran” ditubuhkan oleh MPSP bagi membantu semasa banjir untuk membersihkan sampah yang dihanyutkan oleh air ke perangkap sampah dan sampah yang menyebabkan saluran tersumbat supaya aliran air berjalan lancar.

Kembali