MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Adakah kejadian banjir yang sering berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berpunca daripada sistem peparitan di sekitar, atau oleh sebab-sebab lain? Sila huraikan punca kebanjiran dan jelaskan usaha yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk membanteras masalah banjir di lapangan terbang ini?
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
1. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengadakan perbincangan dengan Malaysia Airports Bhd (MAB) pada 23 September 2014 untuk mengenalpasti punca banjir yang kerap berlaku di kawasan Terminal Ketibaan. Susulan itu, pihak MAB telah melantik Perunding Zaidun Leeng bagi menjalankan kajian mengenalpasti punca sebenar banjir dan mencadangkan langkah-langkah bagi mengatasinya.

2. Kajian tersebut mendapati banjir di kawasan Terminal Ketibaan adalah berpunca daripada masalah sistem saliran dalaman sediada yang tidak dapat menampung air hujan yang lebat ekoran daripada kerja-kerja pembesaran dan menaiktaraf bangunan terminal lapangan terbang.

3. Pihak MAB dan perundingnya telah mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan bagi mengatasi masalah ini. Antaranya, menyediakan kolam takungan setempat (OSD) yang akan dibina di bawah laluan teksi terminal, direkabentuk bagi menampung keamatan hujan (rainfall intensity) sehingga 300 mm/sejam, sebelum dialir keluar ke saluran akhir. Di samping itu, pihak perunding juga telah mencadangkan kerja-kerja penambahbaikan terhadap ‘sump rainwater downpipe’ di terminal tersebut bagi menampung air hujan yang turun daripada bumbung terminal untuk mengelakkan berlakunya limpahan air banjir seperti mana kejadian sebelum ini. Pihak MAB telah merekodkan bahawa kejadian banjir di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berlaku setelah menerima taburan hujan sejumlah 60 mm/sejam.

4. Memandangkan kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di bawah tanggungjawab pihak MAB, maka segala kerja-kerja pembangunan dan penyelenggaraan bagi menaiktaraf sistem saliran dalaman lapangan terbang seperti yang dicadangkan akan dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak MAB.

5. Dalam kajian berkenaan, di dapati tiada keperluan bagi menaiktaraf sistem saliran di luar kawasan lapangan terbang sediada yang berada di dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Disediakan oleh:
Muhamad Azrai Bin Mohamad Zaini (019-5700737)
Penolong Pengarah (Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan)
UPEN

Disemak oleh:
Encik Mohd Farulizam Bin Che Meh (019-4817678)
Timbalan Pengarah (Sektoral)
UPEN
Kembali