MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
06/11/2015 09:30:00 AM
Soalan Apakah langkah-langkah kerajaan negeri pulau pinang untuk mengatasi masalah banjir yang disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan di kawasan lereng bukit. adakah kelulusan pembinaan diberikan setelah kajian alam sekitar (eia) telah dijalankan oleh pemaju
Dun -
Exco
Perkara -

Jawapan
YB. CHOW KON YEOW
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
2. Bagi cadangan kerja pembinaan di kawasan lereng bukit, ianya perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Tanah Berisiko Negeri Pulau Pinang. Pihak pemaju perlu melantik Jurutera Geoteknikal, Pemeriksa Bebas dan Jurutera Perunding Bertauliah untuk memastikan kerja-kerja pembinaan di kawasan lereng bukit dirancang dan dilaksanakan dengan baik bagi memastikan ianya tidak menimbulkan masalah banjir. Di dalam syarat kelulusan pelan bangunan bagi sebarang tapak pemajuan, adalah disyaratkan sistem perparitan hendaklah disediakan dengan sempurna semasa dan selepas pembinaan dijalankan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan sekitar. Kelulusan EIA adalah perlu jika sesuatu pembangunan itu mempunyai keluasan melebihi 20 hektar atau berada di cerun Kelas 3 dan Kelas 4 (25-35 degrees slope).

Langkah-langkah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengatasi masalah banjir yang disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan di kawasan lereng bukit adalah seperti berikut:-

(i) Memastikan segala syarat-syarat yang ditetapkan bagi mengatasi masalah banjir dijadikan sebahagian dari syarat-syarat kelulusan kebenaran merancang;

(ii) Menjalankan pemantauan di tapak secara berkala;

(iii) Bagi pembangunan yang tidak mempunyai kelulusan PBT, tindakan mahkamah akan dikenakan terhadap pemilik tanah;

(iv) Bagi pembangunan yang mempunyai kelulusan PBT (PKM/Pelan Kerja Tanah/Pelan Bangunan), pemantauan secara berkala akan dijalankan terhadap pematuhan syarat-syarat teknikal berdasarkan langkah kawalan hakisan dan kelodak di tapak.

Aspek pemantauan lain adalah seperti berikut :-

a. Memastikan pemaju menyediakan kolam pembersihan tayar dan jet air tekanan tinggi terlebih dahulu sebelum kerja tanah lain dijalankan.

b. Penyediaan parit keliling, ban pengadang, dan kolam pemendapan.

c. Pembinaan tembok penahan / penanaman rumput di kawasan cerun terdedah atau lain-lain kaedah penstabilan cerun.

d. Kerja- kerja tambunan atau korekan tanah terutama di kawasan bercerun perlu dipastikan mempunyai rezab 3 meter pengorekan tanah bukit bagi melindungi kepentingan lot bersebelahan dan dilengkapi perlindungan keselamatan ketika kerja sedang berjalan.


(iv) Kawalan keadaan di tapak melalui Smart Monitoring System di mana pemaju perlu muatnaik gambar di tapak setiap dua (2) minggu sebagai laporan berkala kepada PBT. Kelulusan Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) hanya akan dikeluarkan kepada pemaju setelah mendapat sokongan semua ahli Jawatankuasa OSC terlibat dalam meluluskan PKM sesebuah kemajuan termasuk JAS sebagai agensi bertanggungjawab di dalam kelulusan laporan EIA.
Kembali