MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Ahli Kawasan Berapit (Encik Lau Chiek Tuan) bertanya kepada Ketua Menteri: 17. Nyatakan badan-badan kerajaan, agensi kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan lain yang telah menyertai program bercucuk tanam untuk membantu memulihkan ekonomi negara? Sebutkan tahap pencapaian program tersebut.
Dun -
Exco YAB.KETUA MENTERI
Perkara ADUN

Jawapan



Ketua Menteri:

17. Jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan yang telah menyertai program bercucuk tanam khususnya program Laman Hijau yang bertujuan membantu pemulihan ekonomi negara ialah seperti berikut:





Jabatan Kerajaan:

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Pejabat Daerah
Jabatan Pengairan dan Saliran
Jabatan Perikanan Negeri
Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) Pulau Pinang
Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta
Jabatan Perkhidmatan Haiwan
Jabatan Kerja Raya Jawi
Jabatan Kerja Raya
Jabatan Akauntan Negara
Jabatan Penjara
Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Pulau Pinang
Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara
Jabatan Kemajuan Masyarakat
Klinik Kesihatan Ayer Hitam, Balik Pulau

Institusi Pendidikan dan Sekolah :

Sekolah Menengah Sungai Rusa, Pulau Pinang
Sekolah Menengah Permatang Tok Jaya, Seberang Perai
Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Light
Sekolah Menengah Kebangsaan St. Xavier
Sekolah Menengah St. Georges
Sekolah Menengah Hutching
Sekolah Menengah Telok Kumbar, Pulau Pinang
Sekolah Menengah Westland
Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Tanjong Bungah
Kolej Jururawat Bukit Mertajam
Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang
Pusat Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia

Badan-badan Berkanun dan Pertubuhan

Lembaga Pertubuhan Peladang
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
MARDI
FAMA
UDA Pulau Pinang
JKKK dan Penduduk Padang Lalang, Tasek
JKKK dan Penduduk Kampong Permatang Pasir, Balik Pulau
RISDA Bagan Ajam
HAWA
Pertubuhan Peladang Kawasan Sg. Chenaam
Pertubuhan Peladang Kawasan Balik Pulau



Pertubuhan Peladang Kawasan Penaga
Pertubuhan Peladang Kawasan Lahar Bubu
Pertubuhan Peladang Kawasan Kampong Pelet
Persatuan Nelayan Pulau Pinang
Persatuan Penternak Pulau Pinang
Pusat Giat MARA
Kampung Desa Wawasan, Changkat

Untuk makluman program Laman Hijau yang telah dilancarkan merupakan program sepanjang masa yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan sekolah, pertubuhan dan persatuan serta pihak-pihak swasta di seluruh negeri ini yang akan berkembang dan meningkat dari masa kesemasa. Malahan penyertaan sektor swasta didapati cukup memberansangkan, melibatkan perniagaan secara kecil-kecilan seperti Pasar Tani dan Pasar Malam sehinggalah pasaraya-pasaraya ternama dan syarikat-syarikat besar (kilang plastik).

(a) Program Laman Hijau yang dilancarkan oleh YAB Ketua Menteri pada 22 Februari 1998 lalu telah mendapat sambutan menggalakkan dari semua lapisan masyarakat di seluruh Negeri Pulau Pinang. Pihak swasta telah memberi tindakbalas yang cukup positif, melibatkan diri secara langsung dengan menyediakan bahan-bahan seperti baja dan benih, peralatan hidroponik serta kepakaran dan pengetahuan teknologi yang berkaitan. Hasil daripada program tersebut, sehingga akhir April 1998 sebanyak 9,000 paket benih sayur dimana 4,800 paket sayur daun dan 4,200 paket sayur buah telah dijual kepada orang ramai. Di samping itu, sebanyak 3,555 anak pokok sayur-sayuran dari jenis bunga (seperti cili, terung, tomato dan bendi) telah dijual. Sambutan terhadap penggunan sistem hidroponik juga memberangsangkan khusus bagi penduduk bandar dimana dalam tempoh yang sama sebanyak 5,000 set sistem hidroponik telah dijual oleh Jabatan Pertanian dan PPK. Pihak pembekal swasta juga telah berjaya menjual sebanyak 6,700 set tersebut melalui program kursus dan demonstrasi Jabatan Pertanian. Penjualan tersebut masih diteruskan menerusi pasaraya-pasaraya, pasar tani dan pasar malam diseluruh negeri.

Berdasarkan angka biji benih sayur yang telah terjual, dianggarkan sebanyak 28,900 kg sayur jenis daun dapat dihasilkan selepas 1 bulan, dan jika penanaman dibuat secara berterusan akan menghasilkan 260,000 kg sayur daun menjelang hujung tahun ini. Bagi sayur jenis buah pula dianggarkan sebanyak 11,000 kg dapat dihasilkan selepas tiga bulan atau 77,000 kg menjelang hujung tahun.

Selain daripada aktiviti penjualan bahan-bahan untuk tujuan pertanian, program khidmat nasihat juga disediakan sepanjang masa menerusi Pusat Khidmat Nasihat dan Jualan yang telah ditubuhkan oleh Jabatan Pertanian Negeri. Sebanyak 5 buah pusat khidmat nasihat dan jualan telah ditubuh iaitu di Bumbung Lima, Cherok To’ Kun, Jawi, Relau dan Genting. Sambutan adalah menggalakkan dimana, sehingga 30 April 1998 seramai 3,578 orang telah diberi latihan secara berkumpulan dan lebih 1,200 orang telah datang secara individu untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Pengeluaran sayur-sayuran secara komersial terus dipertingkatkan di kawasan sediada melibatkan 38 kelompok sayur seperti di Tasik Junjong di Seberang Perai Selatan, Kampong Pelet, Kepala Bukit dan Kampong Berangan Sembilan di Seberang Perai Tengah serta Kampong Tok Bedu, Pokok Tampang dan Kampong Pongsu Seribu di Seberang Perai Utara. Kawasan tanaman sediada seluas 107.6 hektar akan diperluaskan lagi di samping penambahan pengeluaran hasil dengan pengurusan ladang yang lebih sempurna dan penggunaan teknologi yang lebih efisien. Selain memperbanyakkan pengeluaran sayur-sayuran, usaha juga ditumpukan kepada penanaman sayur-sayuran yang bernilai tinggi yang diimport seperti `cauliflower’, `brocolli’, `flocolli’ dan kobis. Peningkatan pengeluaran jenis buah-buahan yang mengeluarkan hasil yang cepat dan tidak bermusim seperti betik, pisang dan nenas sebagai gantian kepada buah-buahan yang diimpot juga dilaksanakan.

Selain itu, Kerajaan Negeri menerusi jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pendidikan, Jabatan Pengairan dan Saliran, PERDA dan Kementerian Pertahanan telah mengagihkan tanah seluas 195.2 hektar kepada para petani untuk diusahakan dengan tanaman kontan dan lain-lain projek pertanian bagi menampung hasil pengeluaran makanan di negeri ini. Agihan keluasan, bilangan peserta dan jenis projek yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

______________________________________________________________________
Daerah Luas Bilangan Jenis Projek
(Hektar) Peserta
______________________________________________________________________

Seb. Perai Utara 118.2 PPN Ternakan Lembu
Daging

20 peserta Tanaman Kontan
3 peserta Sayur-sayuran
25 peserta Kontan

Seb. Perai Tengah 64 5 peserta Kontan
(Bekas tentera)

Seb. Perai Selatan 5 5 peserta Kontan dan sayur
7 peserta Kontan

Barat Daya 8 5 peserta Kontan
________________________________________________________________

JUMLAH 195.2 71 peserta
________________________________________________________________

Untuk menjayakan projek-projek ini kerajaan memberi bantuan dalam bentuk penyediaan tanah dan infrastruktur ladang di mana perlu.



Kembali