MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Ahli Kawasan Batu Lancang (Puan Chong Eng) bertanya kepada Ketua Menteri: 26. Apakah usaha yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri untuk mengadakan kemudahan pusat asuhan di KOMTAR dan pejabat-pejabat kerajaan yang lain untuk anak-anak kakitangan kerajaan yang bertugas di sana? Apakah kesulitan yang dihadapi untuk menyediakan kemudahan ini?
Dun -
Exco DATO' DR. HILMI BIN HJ. YAHAYA
Perkara Kerajaan Tempatan

Jawapan

DATO' DR. HILMI BIN HJ. YAHAYA

26. Usaha-usaha bagi mewujudkan Pusat Asuhan Kanak-kanak di KOMTAR telah dijalankan sejak tahun 1997 lagi. Beberapa siri perbincangan di antara Kerajaan Negeri dengan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan telah diadakan, bagi membolehkan sebuah Pusat Asuhan Kanak-kanak dapat diadakan di KOMTAR bagi menyediakan kemudahan dan mengatasi masalah anggota-anggota perkhidmatan awam wanita yang menghadapi masalah penjagaan kanak-kanak.

Kerajaan baru-baru ini telah mengenalpasti satu ruang di Paras 3, KOMTAR untuk dicadangkan sebagai Pusat Asuhan Kanak-kanak. Walau bagaimanapun, setelah pemeriksaan tapak yang dijalankan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat didapati ruang yang dimaksudkan tersebut tidak sesuai dijadikan Pusat Asuhan Kanak-kanak memandangkan dari aspek keselamatan kebakaran. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih juga berusaha untuk mencari alternatif lain bagi mewujudkan pusat sedemikian di luar KOMTAR yang lebih sesuai dan memenuhi aspek-aspek keselamatan.

Setakat ini terdapat beberapa agensi kerajaan yang telah menjalankan Pusat Asuhan Kanak-kanak (TASKA). Antaranya ialah Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya, Universiti Sains Malaysia dan RECSAM.

Dalam menyediakan kemudahan Pusat Asuhan, kesulitan utama yang dikenalpasti ialah dari segi mendapatkan bangunan yang sesuai dan untuk dijadikan tempat asuhan serta menjalankan aktiviti-aktiviti. Di samping itu bangunan tersebut perlu memenuhi syarat-syarat dari segi keselamatan oleh Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat.

Kembali