MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Ahli Kawasan Permatang Pasir (Y.B. Dato’ Haji Ahmad Saad): Soalan saya No. 7. 7. Apakah persiapan dan persediaan Kerajaan Negeri untuk menjadi tuan rumah SUKMA pada tahun akan datang. Sekiranya persiapan dan persediaan telah dilakukan, sila nyatakan daripada sumber manakah Kerajaan Negeri memperolehi peruntukan bagi menjayakan SUKMA dan nyatakan jumlah peruntukan tersebut?
Dun -
Exco YB. DATO' KOAY KAR HUAH
Perkara Sukan

Jawapan

Y.B. Encik Koay Kar Huah menjawab bagi pihak YAB. Ketua Menteri :

7. Dato’ Speaker, Kerajaan Negeri telah membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah SUKMA pada tahun 2000 sebaik-baik sahaja negeri ini diistiharkan sebagai negeri hos bagi SUKMA 2000 pada bulan Jun 1996. Pada mulanya Kerajaan Negeri telah memberi tumpuan kepada
dua aspek yang penting iaitu menyediakan kemudahan sukan dan penyediaan atlit. Aspek pengelolaan SUKMA akan diambil tindakan mulai awal tahun 1999.

Dalam aspek penyediaan kemudahan sukan, Kerajaan Negeri melalui MPPP telah membina PISA iaitu Stadium Tertutup di Relau. PDC sedang membina Stadium Terbuka Batu Kawan, MPSP akan membina Kompleks Sukan Bertam di Kepala Batas. MPPP juga akan membina Kompleks Sukan Balik Pulau. Pihak USM akan membina Kompleks Tenis. Semua kemudahan sukan yang baru dibina ini adalah untuk tujuan penganjuran SUKMA dan dijangka siap pada penghujung tahun 1999. Beberapa kemudahan yang sedia ada seperti Stadium, Sekolah Han Chiang, Kompleks Belia & Sukan, Stadium Bandaraya, Pusat Skuasy Bukit Dumbar, Dewan Sekolah Menengah Jit Sin, Dewan Tapak Pesta Lapangan Sasar Jalan Kebun Bunga, Empangan Mengkuang dan Pusat Kegiatan Sukan Air Tanjung Bunga akan dinaik taraf dandiubahsuai. Manakala kemudahan yang lengkap seperti Dewan Tuanku Dome, Stadium Hoki Sintetik USM, Gelanggang Bowling Mega Lane, Dewan Badminton Antarabangsa Bukit Dambar, Bukit Jawi Golf Resort dan Pusat Akuantik PISA akan digunakan sebagai tempat pertandingan.

Dalam aspek penyediaan atlit, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri telah melaksanakan beberapa tindakan semenjak awal tahun 1997 lagi dengan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan bagi setiap sukan yang terlibat dengan pertandingan SUKMA, mengadakan kursus latihan mental untuk jurulatih dan atlit, kem motivasi dan pertandingan pendedahan. Program ini telah menampakkan kejayaannnya di mana SUKMA 1998 tahun ini di Selangor, Pulau Pinang telah memperbaiki kedudukannya dari tangga ke 11 ke tangga ke 6 dengan merangkul 12 emas 5 perak dan 24 gangsa. Program yang sama akan dilipat gandakan untuk menghadapi SUKMA tahun 2000 akan datang.

Peruntukan untuk membuat persiapan penganjuran SUKMA adalah dari Badan Berkanan Negeri seperti PDC & PBA, Pihak Berkuasa Tempatan MPPP dan MPSP, Badan Berkanun Persekutuan (USM), Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta seperti berikut:

1) Stadium Terbuka Batu Kawan di laksanakan oleh PDC anggaran kos adalah RM121 juta.

2) Stadium tertutup di Relau dan kelengkapan baru di Pusat Akuatik di laksanakan oleh MPPP anggarannya adalah RM107 juta.

3) Kompleks Sukan Balik Pulau dilaksanakan oleh MPPP anggaran kos RM5 juta.

4) Kompleks Sukan Bertam dilaksanakan oleh MPSP anggaran kos RM15 juta.

5) Naiktaraf Pusat Skuasy Pulau Pinang oleh PBA anggaran kos RM2 juta.

6) Naiktaraf kemudahan Sukan Air Empangan Mengkuang oleh PBA anggaran kos RM1/2 juta.

7) Naiktaraf Stadium Bandaraya oleh MPPP anggaran kos RM4.5 juta.

8) Kompleks Tennis USM oleh USM anggaran kos RM1.5 juta.

Peruntukan sebanyak RM5 juta telah dipohon oleh Maktab Perguruan, Sekolah dan Kompleks Belia dan Sukan kepada Agensi Pusat masing-masing untuk menaiktaraf dan ubahsuai kemudahan sukan dan tempat penginapan yang akan digunakan semasa SUKMA. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM5 juta untuk kerja-kerja menaiktaraf kemudahan sukan dan peralatan sukan.Bagi tahun 1997, Majlis Sukan Negeri telah membelanjakan RM750,000.00 bagi program menyediakan atlit sukan 1998 dan 2000. Bagi tahun ini, peruntukan sebanyak RM650,000.00 telah dikhaskan untuk kesinambungan program penyediaan atlit yang telah dimulakan pada awal 1997. Semuanya peruntukan ini adalah dari Kerajaan Negeri.

Bagi menganjurkan SUKMA, anggaran perbelanjaan sedang disediakan oleh Jawatankuasa Kecil. Peruntukan dari Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sebanyak RM1 juta akan diperolehi. Jawatankuasa Induk SUKMA akan berusaha untuk mendapatkan tajaan dan yang bakinya akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri. Sekian terima kasih.

Tuan Speaker:

Soalan tambahan Ahli Kawasan Jawi.

Ahli Kawasan Jawi (Y.B. Puan Tan Cheng Liang):

Dato’ Speaker, saya ucap tahniah memang nampaknya pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah banyak berusaha untuk membuat persiapan untuk sukan SUKMA 2000 tetapi peruntukan yang dikeluarkan untuk membina stadium-stadium ini adalah untuk saya nampaknya adalah untuk sukan bola yang kemungkinan boleh dapat satu pingat dan saya sudah banyak kali bangkit di dalam Dewan ini berkenaan dengan stadium untuk jimnastik yang ada 20 pingat yang kita boleh perolehi. Jadi saya tidak tahu apakah pendirian Kerajaan berkenaan dengan sukan ini. Ada sama kita tidak mementingkan sukan ini sampai hari ini kita tidak nampak apapun dibuat persiapan untuk sukan jimnastik untuk tahun SUKMA 2000. Dahulu saya dijanji bahawa pihak Kerajaan akan bina satu stadium jimnastik lepas itu ini dibatalkan projek ini dan saya diberitahu bahawa pihak Kerajaan akan mengubahsuai Dewan di dalam pesta untuk dijadikan satu tempat tetap latihan dan juga untuk pertandingan. Projek ini juga dibatalkan dan sekarang saya juga diberitahu bahawa Dewan di Komtar Dome akan diguna sebagai satu kawasan pertandingan sementara. Kalau kita tidak ada tempat untuk buat latihan yang kekal, macamana kita hendak mengharap bahawa sukan jimnastik ini hendak bawa kecemerlangan dan juga pingat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Saya minta supaya Yang Berhormat boleh terangkan berkenaan dengan pendirian Kerajaan terhadap sukan jimnastik ini.

Ahli Kawasan Bukit Gelugor (Y.B. Encik Koay Kar Huah):

Dato’ Speaker, satu keputusan mengenai Dewan jimnastik telah dibuat di Jawatankuasa Induk SUKMA yang dipengerusi oleh YAB Ketua Menteri kita untuk latihan jimnastik ini, kita sudah ada satu tapak di Tapak Pesta untuk latihan jimnastik dan jawatankuasa kita ingatlah latihan buat di sini adalah lengkap dengan alat-alatan dan untuk menjalankan jimnastik apabila kita menganjur SUKMA pada tahun 2000 kita akan membuat jimnastik di Dewan Dome di Komtar sebab dewan ini cukup luas untuk jimnastik pada SUKMA 2000. Inilah sudah cukup untuk kegiatan sukan ini.

Tuan Speaker:

Soalan tambahan, Ahli Kawasan Padang Kota.

Ahli Kawasan Padang Kota (Y.B. Encik Teng Chang Yeow):

Dato’ Speaker, kita hendak tahu samada sasaran pingat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri itu realistik dan dalam bidang sukan manakah sasaran-sasaran pingat emas ini dibuat. Yang kedua dari segi sasaran bilangan penonton, peminat sukan adakah satu strategi sasaran dibuat supaya kita dapat menarik ramai peminat dan justeru itu dapat mengimbang sedikit perbelanjaan yang telah digunakan oleh Kerajaan dalam menyediakan tempat-tempat di dalam sukan ini.

Ahli Kawasan Bukit Gelugor (Y.B. Encik Koay Kar Huah):

Dato’ Speaker, saya ingat ini adalah soalan lain. Ini mengenai sasaran ini satu perkara yang lain sebab mengenai sasaran pingat kita sudah buat dan kita juga di setiap sukan adalah juga satu rancangan oleh persatuan-persatuan sukan dan saya ingat mereka sudah buat sasaran yang patut dan ada juga perkara yang kita ingin sebut sini sebab ini ada satu pertandingan yang kita perkara yang rahsia, strategi.

Ahli Kawasan Padang Kota (Y.B. Encik Teng Chang Yeow):

Tuan Speaker, persiapan atlit untuk SUKMA kalau dikatakan rahsia, saya ingat tidak berapa betul. Kita hendaklah tahu setakat perbelanjaan kita terhadap persiapan ini adalah atlit-atlit kita telahun bersiap sedia, apakah peningkatan dari segi kemajuan mereka, apakah mereka mampu bertanding kelak, adakah kita akan adakan pertandingan-pertandingan persahabatan supaya kita dapat menguji atlit-atlit kita dan saya rasa itu bukan satu rahsia sebab kita telah katakan itu sasaran kita. Kita patut bagi tahu Dewan ini apakah persiapan-persiapan setakat ini dan apakah pencapaian atlit kita?

Ahli Kawasan Bukit Gelugor (Y.B. Encik Koay Kar Huah):

Dato’ Speaker, seperti saya sebut tadi setiap persatuan sukan kita telah buat satu rancangan latihan dan mereka juga ada sasaran masing-masing dan saya ingat kalau mengikut perbelanjaan yang kita akan bagi kepada setiap persatuan dan dengan program-program yang kita telah rancang seperti program kursus, motivasi, kursus-kursus untuk latihan jurulatih, kursus-kursus untuk atlit, saya ingatlah mereka akan buat persiapan yang cukup mencapai sasaran yang kita sudah tentukan.

Tuan Speaker:

Soalan tambahan, Ahli Kawasan Bayan Lepas.

Ahli Kawasan Bayan Lepas (Y.B. Encik Lim Chien Aun);

Saya hendak tanya sedikit mengenai kemudahan-kemudahan contohnya stadium di Batu Kawan dan kemudahan-kemudahan di stadium Mengkuang dan sukan air. Dari segi kedua-dua kemudahan ini stadium terbuka di Batu Kawan nampaknya kita mengalu-alukan apa yang telah dibuat dari segi stadium tetapi dari segi kawasan itu contohnya Batu Kawasan itu satu kawasan baru dan untuk jalan masuk dan keluar ke kawasan itu kita hendak gunakan TOL Highway dan dari segi sukan itu kita mesti ada banyak penonton untuk melawat ke kawasan itu dan saya tidak tahu kemudahan seperti jalan dan lain-lain boleh memberi apa sebab kepada sukan-sukan yang telah dikendalikan di dalam stadium itu. Contohnya saya mengambil kesempatan untuk memberi ini Mengkuang sebagai satu contoh dulu kita ada sukan air tetapi bila orang ramai yang hendak pergi jalan itu sangat kecil tidak cukuplah.

Tuan Speaker:

Jadi soalannya apa dia Yang Berhormat.

Ahli Kawasan Bayan Lepas (Y.B. Encik Lim Chien Aun):

Jadi soalannya ialah senang, adakah Kerajaan Negeri ambil tindakan untuk mengatasi masalah-masalah seperti ini.

Tuan Speaker:

Masalah kemudahan asas untuk memberikan penonton-penonton yang akan pergi ke tempat-tempat yang berkenaan untuk menikmati sukan-sukan yang dijalankan.

Ahli Kawasan Bukit Gelugor (Y.B. Encik Koay Kar Huah):

Dato’ Speaker, sebenarnya kita ada satu jawatankuasa kecil mengenai kemudahan-kemudahan sukan dan di jawatankuasa kecil ini kita akan membincang apa-apa masalah yang dibangkitkan kepada tempat-tempat yang kita akan adakan tapak-tapak untuk SUKMA 2000. Saya ingat mungkin Y.B. dari Bayan Lepas bolehlah bagi kita semua masalah mengenai kalau ada dan kita akan bincang di dalam jawatankuasa ini untuk satu keputusan atau satu resolution untuk mengatasi semua masalah mengenai tapak-tapak sukan ini.

Tuan Speaker:

Ahli Kebun Bunga, soalan tambahan.

Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):

Penjelasan tadi Ahli dari kawasan Bukit Gelugor, ada berikan satu maklumat tentang kos pembinaan kompleks sukan di Balik Pulau sebagai RM5 juta mungkin ada kesilapan, bukan RM5 juta adakah RM5 juta?

Ahli Kawasan Bukit Gelugor (Y.B. Encik Koay Kar Huah):

Dato’ Speaker, anggaran saya jawapanya ialah RM5 juta ringgit.

Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):

Mungkin lebih sedikitlah saya ingat.

Ahli Kawasan Bukit Gelugor (Y.B. Encik Koay Kar Huah):

Lebih sikitlah Y.B. dari Kebun Bunga akan tambahan anggaran ini.

Ahli Kawasan Batu Lanchang (Y.B. Puan Chong Eng):

Soalan tambahan.

Tuan Speaker:

Soalan tambahan, Ahli dari Batu Lanchang.

Ahli Kawasan Batu Lanchang (Y.B. Puan Chong Eng):

Dato’ Speaker, memandangkan kegawatan ekonomi pada masa sekarang dan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan untuk SUKMA memakan perbelanjaan yang agak besar tapi masalahnya ialah selepas SUKMA adakah kemudahan-kemudahan ini akan diguna secara penuh ataupun adalah seperti PISA pada waktu sekarangpun telah dikatakan seperti white elephant kerana under utilise, sekiranya tidak ada rancangan yang selepas SUKMA bagaimana hendak menggunakan kemudahan-kemudahan ini. Ini akan merupakan satu tidak ada membazirkan memang under utilise, apakah rancangan yang ada.

Ahli Kawasan Bukit Gelugor (Y.B. Encik Koay Kar Huah):

Dato’ Speaker, sungguhpun Negara kita menghadapi kegawatan ekonomi tetapi negeri kita amat memberi perhatian yang serius terhadap pembangunan sukan. Ini adalah kerana sukan dapat membangunkan para belia kita dalam aspek fisikal dan mental. Sukan juga dapat menjamin satu gaya hidup yang sihat dan cergas, yang perlu dipertingkatkan di sesebuah negara yang sedang membangun. Sebenarnya Pulau Pinang telah banyak ketinggalan dalam bidang sukan dari segi kemudahan dan prestasi atlit, kalau dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain. Oleh yang demikian dengan menjadi tuan rumah SUKMA 2000 kita mengambil kesempatan ini untuk manaiktarafkan kemudahan-kemudahan sukan dan meningkatkan prestasi sukan negeri kita dengan harapan Pulau Pinang akan kembali ke zaman kegemilangan dan kecemerlangan dalam bidang sukan. Oleh sebab ini Kerajaan ini masih terus dengan projek-projek pembinaan kompleks-kompleks sukan untuk SUKMA tahun 2000, tetapi kos pembinaan dikurangkan mengikut keperluan pertandingan SUKMA sahaja.

Kemudahan-kemudahan sukan ini amat perlu dibina bukan sahaja untuk SUKMA tetapi akan terus digunakan oleh orangramai untuk bersukan dan rekreasi selepas SUKMA sebagai memenuhi tanggungjawab Kerajaan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan pembangunan sosial untuk rakyat. Selain daripada itu kemudahan-kemudahan ini akan digunakan untuk menganjurkan acara-acara sukan peringkat antarabangsa untuk menarik pelancong berkunjung ke negeri kita, bermakna beberapa acara sukan akan diadakan di Pulau Pinang apabila negera kita menjadi host Sukan SEA Game pada tahun 2001.

Ahli Kawasan Batu Lanchang (Y.B. Puan Chong Eng):

Soalan tambahan.

Tuan Speaker:

Cukup, sudah dijawab tadi.

Ahli Kawasan Batu Lanchang (Y.B. Puan Chong Eng):

Soalan tambahan ke atas jawapan.

Tuan Speaker:

Saya ingat sudahlah Yang Berhormat cukuplah, sudah jelas tadi. Ada juga orang lain hendak tanya soalan tambahan, sila.

Ahli Kawasan Telok Kumbar (Y.B. Tuan Syed Amerruddin bin Dato’ Haji Syed Ahmad):

Soalan tambahan.

Tuan Speaker:

Soalan tambahan sila.

Ahli Kawasan Telok Kumbar (Y.B. Tuan Syed Amerruddin bin Dato’ Haji Syed Ahmad):

Saya amat tertarik kepada jawapan yang diberikan oleh Ahli Kawasan Bukit Gelugor. Cuma saya hendak sambung dengan soalan yang dikemukakan oleh Y.B. dari Batu Lanchang. Setelah SUKMA ini tadi ahli dari Bukit Gelugor katakan yang pembangunan yang dibina untuk rakyat tetapi apa yang telah berlaku seperti PISA ini dia bukan untuk rakyat, satu kos sewa sebanyak RM30,000.00 rakyat tidak mampu. Jadi saya hendak bertanya samada selepas bina stadium dan lain-lain lagi adakah projek ini akan diswastakan yang pertama. Yang kedua adakah sewa untuk rakyat ini mengikut kadar untuk rakyat.

Tuan Speaker:

Jadi soalanya ada atau tidak ada persiapan untuk masa hadapan?

Ahli Kawasan Bukit Gelugor (Y.B. Encik Koay Kar Huah):

Ia memang betul umpamanya PISA kita menghadapi masalah sebab kos yang tinggi saya ingat perkara ini telah dibangkitkan juga ke kerajaan sekarang kita juga dengan kerjasama dengan MPPP dan Kerajaan EXCO sedang membincang satu keputusan atau satu untuk mengatasi masalah ini dan oleh sebab ini untuk kemudahan-kemudahan yang lain kita mestilah mengadakan satu program yang lain sesuai untuk kita boleh menggunakan kemudahan-kemudahan ini selepas menjalankan SUKMA 2000 bagaimana kita boleh mengenakan kemudahan-kemudahan ini untuk rakyat dengan kos yang rendah.

Ahli Kawasan Batu Lanchang (Y.B. Puan Chong Eng):

Soalan tambahan.

Tuan Speaker:

Tadi telah di tanya, soalan Yang Berhormatkan.

Ahli Kawasan Batu Lanchang (Y.B. Puan Chong Eng):

Ada lagi tidak semua. Dato’ Speaker, yang sama ingin find out di sini apa yang diberitahu oleh Ahli Y.B. Bukit Gelugor. Semua kemudahan ini bukan untuk rakyat, kemudahan ini ialah untuk pertandingan SUKMA dan kemudahan-kemudahan ini tidak dapat diguna oleh rakyat seperti yang dikatakan oleh Y.B. Telok Kumbar. Sekiranya Kerajaan Negeri betul-betul peka ataupun hendak memikul tanggungjawab untuk mengadakan satu masyarakat yang cergas yang bersukan maka perlulah kita menyediakan lebih banyak kemudahan-kemudahan dekat dengan kawasan kediaman supaya penduduk-penduduk dapat menikmati kemudahan-kemudahan ini. stadium Batu Kawan siapa hendak pergi main sana bermain apa mungkin badminton atau apa. Apa yang dikatakan oleh Y.B. tidak tepat kerana ini bukan untuk rakyat.

Tuan Speaker:

Soalannya Yang Berhormat.

Ahli Kawasan Batu Lanchang (Y.B. Puan Chong Eng):

Soalannya apakah yang dibuat oleh Kerajaan supaya dapat membinakan atau menyediakan lebih banyak kemudahan sukan seperti di kawasan Tanjung Bungah dekat rumah saya, ada tempat hendak pergi juga atau Batu Lanchang. Sekarang orang ramai hendak main bola keranjang tidak ada tempat, mana ada public court selain di Esplanade. Dulu Pulau Pinang sudah ada mengeluarkan banyak atau ramai atlit seperti Shukor Salleh kerana beliau duduk dekat padang. Mesti ada padang dekat rumah supaya budak-budak boleh bermain, sekarang tidak ada padang, kekurangan padang. Kekurangan kemudahan-kemudahan, apakah yang akan dibuat oleh Kerajaan Negeri.

Tuan Speaker:

Ini soalan sudah terkeluar daripada SUKMA Yang Berhormat saya ingat kalau hendak jawab kena satu sesi lain, saya ingat tidak perlu jawab.

Ahli Kawasan Batu Lanchang (Y.B. Puan Chong Eng):

Dato’ Speaker, ini berkenaan kalau kita tidak yang sekarang kita hanya menumpu kepada atlit yang sudah capai satu standard, kita mesti memberi kemudahan-kemudahan kepada atlit-atlit yang berpotensi yang akan naik ke standard ini, kalau tidak ada kemudahan macamana ada atlit semua.

Kembali