MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Ahli Kawasan Batu Lanchang (Y.B. Encik Law Heng Kiang) bertanya kepada Ketua Menteri: 39. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk memanjangkan Akta Kawalan Sewa hingga tahun 2003. Apakah alasan Kerajaan Negeri dalam rayuan ini? Kepada siapakah rayuan ini disampaikan? Apakah sebabnya rayuan ini tidak berjaya? Bilakah Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa rayuan ini telah ditolak? Seandainya Akta Kawalan Sewa dimansuhkan mengikut jadual iaitu pada 1.1.2000, nyatakan: (a) jumlah bilangan penyewa yang telah ditawarkan unit perumahan kos rendah atau kos sederhana rendah tetapi pemajunya tidak dapat menyiapkan projek perumahan berkenaan mengikut jadual. Sila namakan projek dan jumlah bilangan penyewa yang terlibat masing-masing, jumlah penghuni yang telah diberi notis untuk mengosongkan premis. Berikan pecahan mengikut premis kediaman dan premis perniagaan. (b) Dalam penyediaan untuk menghadapi pemansuhan Akta Kawalan Sewa, berapa unitkah premis perniagaan alternatif yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri atau agensi-agensi kerajaan yang lain dan adakah bilangan ini mencukupi? (c) Apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan bahawa tiada seorang penghuni pun yang akan kehilangan tempat tinggal?
Dun -
Exco Y.B. DATO' DR. TOH KIN WOON
Perkara Akta Kawalan Sewa

Jawapan

Y.B.DATO' DR TOH KIN WOON MENJAWAB BAGI PIHAK KETUA MENTERI:

39. Y.B. Dato’ Speaker, Saya memohon kebenaran Y.B. Dato’ untuk menjawab soalan ini bersama Soalan No. 3 dan No. 18 daripada Y.B. Kawasan Pengkalan Kota dan Soalan No. 39 daripada Y.B. Kawasan Batu Lanchang.


Kerajaan Negeri memang sedar bahawa dengan pemansuhan Akta Kawalan Sewa ada di antara penyewa-penyewa premis kawalan sewa akan menghadapi masalah kenaikan kadar sewa yang tinggi, antaranya yang berlipat kali ganda, atau masalah kehilangan tempat kediaman kerana pemilik ingin mengambil balik premis.

Y.A.B. Ketua Menteri sendiri dan Y.B. Ahli Kawasan Machang Bubok, selaku Pengerusi Jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri khas untuk mengendalikan masalah-masalah pemansuhan Akta Kawalan Sewa, telah mengadakan perbincangan dengan pemilik-pemilik harta yang utama supaya membenarkan penyewa-penyewa sedia ada terus menduduki rumah dan supaya tidak mengenakan kenaikan kadar sewa yang terlalu tinggi. Y.B. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan-kawasan terlibat, termasuk Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mengemukakan soalan, juga kuat berusaha untuk membantu penduduk-penduduk di kawasan masing-masing dengan mengadakan rundingan dengan pemilik-pemilik individu. Hasil daripada usaha-usaha ini, banyak kes telah dapat diselesaikan secara berpatutan.

Beberapa rumah kongsi, misalnya, telah bersetuju untuk tidak menaikkan kadar sewa melebihi 50%. Begitu juga dengan pemilik-pemilik individu yang tertentu yang sudi mengurangkan tahap kenaikan sewa selepas perundingan. Terdapat juga kes-kes yang telah diselesaikan sendiri antara pemilik dengan penyewa tanpa dirujuk kepada Kerajaan Negeri atau wakil rakyat dan terdapat pemilik yang telah tidak menaikkan kadar sewa. Kerajaan Negeri ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pemilik-pemilik yang terlibat yang begitu prihatin.

Usaha mengadakan rundingan di antara tuan rumah dan penyewa akan diteruskan dengan memberi perhatian khas untuk membantu para penyewa yang miskin dan menghadapi masalah. Untuk menjadikan proses perundingan lebih berkesan dan teratur, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk mewujudkan tiga buah badan timbang tara (arbitration) yang diketuai oleh ADUN Padang Kota, Kampong Kolam dan Pengkalan Kota masing-masing kerana bilangan premis kawalan sewa di tiga KADUN ini adalah yang tertinggi sekali. Setiap badan timbang tara akan disertai oleh beberapa orang pegawai dari MPPP, Pejabat Dearah dan Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Di samping itu sebuah badan timbang tara di peringkat negeri akan juga ditubuhkan untuk menangani kes-kes yang tidak dapat diselesaikan oleh badan timbang tara di peringkat KADUN. Badan tersebut akan diketuai oleh Y.B. Dato’ Dr Toh Kin Woon dan dibantu oleh Y.B. Dr Loh Hock Hun dan Y.B. Puan Jahara bt Hamid dengan penyertaan Pengurus Perumahan atau wakilnya, Pengarah Penilaian dan Pengarah Perancang MPPP, wakil Pengarah Tanah dan Galian dan Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerajaan Tempatan). Satu urus setia khas juga telah ditubuhkan untuk memberi khidmat sokongan kepada badan timbang tara peringkat negeri dan badan timbang tara peringkat KADUN.





Semangnya Kerajaan Negeri sejak awal tahun 90-an telah mulai mengambil beberapa langkah untuk cuba menangani masalah-masalah yang timbul dari kawalan sewa dan kemungkinan pemansuhan Akta Kawalan Sewa. Satu bancian khas telah diadakan pada tahun 1993 untuk mengenal pasti semua premis kawalan sewa dan butir-butir para penghuni premis tersebut.

Berdasarkan kepada hasil bancian ini, Kerajaan Negeri telah mempergiatkan program penyediaan perumahan yang mampu dibeli oleh rakyat dan telah memperkenalkan satu strategi perumahan kos sederhana rendah (LMC) di Daerah Timur Laut pada tahun 1994. Sambutan dari para pemaju swasta adalah amat menggalakkan. Projek-projek perumahan yang dirancang dan diluluskan pelan pembangunan sejak 1994 dijangka mencukupi untuk memenuhi keperluan perumahan rakyat termasuk mereka yang terjejas dengan pemansuhan Akta Kawalan Sewa.

Sejak tahun 1994 sejumlah 3887 unit rumah kos rendah dan 5352 unit rumah kos sederhana rendah telah siap dibina dan diduduki, sebahagian besarnya oleh bekas penyewa premis kawalan sewa. 1056 unit lagi telah siap dan akan didiami sebaik saja Sijil Kelayakan Menduduki dikeluarkan. 23169 unit lagi ada dalam berbagai peringkat pelaksanaan sedangkan 12782 unit telah dilulus tetapi belum memulakan kerja pembinaan.

Usaha-usaha Kerajaan jelas berhasil kerana daripada sejumlah 13326 keluarga yang dikenal pasti menyewa premis kawalan sewa, mengikut bancian khas 1993, hanya 6685 telah berdaftar untuk mendapatkan bantuan perumahan semasa pendaftaran semula dijalankan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 1997. Daripada yang berdaftar, 3889 didapati layak mengikut kriteria sedia ada, antaranya pendapatan, umur, saiz keluarga dan tidak mempunyai rumah. Sejak awal tahun 1998 sehingga 17 Disember 1999, kesemua pemohon yang layak telah ditawarkan perumahan sekurang-kurangnya sekali. Bagi Daerah Timur Laut, ini melibatkan 10 projek perumahan di Bandar Baru Air Itam, Jalan Perak, Green Lane, Paya Terubong dan Relau. .

Masalah timbul apabila kegawatan ekonomi mulai melanda dan menjejas sektor hartanah secara seriusnya, khasnya selepas pertengahan tahun 1998. Pelaksanaan banyak projek perumahan dan komersial telah dilewatkan atau menjadi tergendala dan terbengkalai. Sejak penghujung tahun 1998, Kerajaan Negeri telah berusaha membantu memulih dan menghidupkan semula projek-projek bermasalah ini. Daripada 10 projek di Daerah Timur Laut, 6 projek dapat berjalan, 2 projek memerlukan pindaan pelan pembangunan dan 2 projek lagi terbengkalai. Walau bagaimanapun selepas berjaya dipulihpun kebanyakan projek akan hanya dapat disiapkan pada tahun 2001 atau 2002.

Oleh itu Kerajaan Negeri telah merayu kepada Kerajaan Pusat agar melanjutkan tempoh peralihan bagi pemansuhan Akta Kawalan Sewa yang akan tamat pada akhir bulan ini. Selepas beberapa perbincangan dengan pucuk pimpinan Kerajaan Pusat, surat rayuan rasmi dan draf pindaan kepada Akta Kawalan Sewa (Pemansuhan) 1997 telah diserahkan sendiri oleh Y.A.B. Ketua Menteri kepada

Y.A.B. Perdana Menteri, Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Julai 1999. Beberapa perbincangan lanjut diadakan selepas itu.

Di Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada awal Ogos 1999, Y.A.B. Ketua Menteri telah dimaklumkan bahawa Jemaah Menteri kemungkinan besar tidak akan bersetuju dengan rayuan Kerajaan Negeri kerana pemansuhan kawalan sewa adalah untuk seluruh negara dan bukan sahaja Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri telah diminta mengkaji kemungkinan mengadakan langkah-langkah pentadbiran ke arah menyelesaikan masalah-masalah yang timbul.

Selepas Mesyuarat MNKT, Kerajaan Negeri telahpun menggubal satu skim insentif yang baru di mana tuan-tuan rumah akan diberi geran dan pinjaman dengan faedah rendah untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pengubah suaian rumah-rumah mereka dengan syarat penyewa-penyewa sedia ada dibenarkan terus tinggal di premis tersebut bagi tempoh selama 3 tahun lagi pada kadar sewa yang dipersetujui di antara pemilik dengan penyewa. Keutamaan akan diberi kepada kes-kes di mana penyewa telah ditawarkan perumahan oleh Kerajaan Negeri tetapi projek telah terlambat.

Cadangan skim ini telah dibentang oleh Y.A.B. Ketua Menteri kepada Y.A.B. Perdana Menteri, Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri dan Y.B. Menteri Kewangan pada September 1999 dan pinjaman RM80 juta daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah diluluskan Jemaah Menteri pada Oktober 1999. Keputusan muktamad Jemaah Menteri untuk tidak melanjutkan tarikh pemansuhan Akta telah disampaikan secara rasmi kepada semua Kerajaan Negeri oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada November 1999.

Pinjaman daripada Kerajaan Pusat akan dilengkapkan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta daripada Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk diberi secara geran. Pinjaman dan geran dijangka akan diagihkan dalam tempoh 3 tahun mulai tahun 2000.

Satu Enakmen akan dibentang dalam Sesi Dewan ini untuk mewujudkan tabung tersebut. Mekanisme pelaksanaan akan diterangkan semasa membentang Enakmen. Perjumpaan awal telah diadakan oleh Y.A.B. Ketua Menteri dengan pelbagai pihak mengenai skim ini dan sambutan adalah menggalakkan.

Di samping itu Kerajaan Negeri terus mengadakan perbincangan dengan pemaju-pemaju projek perumahan untuk menyegerakan pelaksanaan projek masing-masing dan juga untuk mengetahui dan menyelesaikan sebarang masalah yang ada yang melewatkan pelaksanaan projek.







Memandangkan bahawa prestasi pihak swasta untuk menyediakan perumahan telah terjejas akibat kegawatan ekonomi, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk melibatkan diri secara langsung dalam pembinaan rumah dengan bantuan biayaan daripada Kerajaan Persekutuan. Beberapa tapak tanah Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan telah dikenal pasti untuk tujuan pembinaan projek perumahan rakyat dan perumahan awam kos rendah yang dijangka akan menghasilkan lebih kurang 3000 unit rumah untuk dijual atau disewa. Walau bagaimanapun pelaksanaan projek-projek ini juga akan mengambil masa.

Setakat ini, Kerajaan Negeri belum lagi membuat tawaran unit komersial kepada mereka yang terlibat dengan pemansuhan Akta Kawalan Sewa. Statistik daripada pendaftaran yang diadakan pada tahun 1997 menunjukkan sejumlah 2266 orang yang berminat memperolehi ruang perniagaan tetapi kelayakan pemohon masih dalam penelitian. Daripada jumlah ini, 411 menyuarakan hasrat menyewa unit, 1815 yang lain sanggup membelinya dan 40 tidak memberi maklumat langsung. Ada di antara penyewa sedia ada yang memang sedang membayar kadar sewa hampir sama dengan kadar pasaran dan masalah dijangka tidak begitu serius dan boleh diselesaikan sendiri antara pemilik dan penyewa. Majlis Perbandaran Pulau Pinang dalam Projek Perumahan dan Perniagaan Bersepadu di Jalan Sungai sedang membina 360 unit ruang kedai dengan keluasan lantai antara 250 hingga 350 kaki persegi. Ruang perniagaan tersebut akan diberi keutamaan untuk dijual atau disewa kepada penyewa-penyewa premis AKS yang telah berdaftar dengan Kerajaan Negeri.

Jumlah penghuni yang telah diberi notis untuk mengosongkan premis tidak diketahui dengan tepat kerana bukan semua kes dilapor kepada Kerajaan Negeri walaupun terdapat banyak kes yang telah dirujuk dan diselesaikan di peringkat ADUN. Sebagai petunjuk, mengikut maklumbalas Y.B. Kawasan Padang Kota, daripada sejumlah 395 notis keluar atau kenaikan sewa yang dirujuk untuk bantuan beliau setakat ini, pemilik-pemilik bagai 115 kes telah dapat dihubungi. Di antara ini, 64 kes telah diselesaikan dengan memuaskan antara kedua-dua pihak, 23 pemilik sedia menurunkan sewa tetapi penghuni masih merayu untuk kadar sewa yang lebih rendah lagi manakala 28 pemilik enggan melanjutkan penyewaan premis. Yang baki 280 masih menunggu maklum balas pemilik. Ini bermakna bahawa daripada 115 kes rundingan, 56% berjaya, 20% masih boleh dirunding tara dan 24% tidak berjaya. Y.B. Kawasan Machang Bubok telah juga melibatkan diri secara aktif dan membuat rayuan bagi pihak 116 penyewa. Saya percaya Y.B. Kawasan Pengkalan Kota, Y.B. Kampong Kolam dan Y.B.-Y.B. yang lain telah juga berjaya menyelesaikan banyak kes walaupun angka-angka tidak dapat diperolehi.

Pihak Kerajaan yakin bahawa proses rundingan kemungkinan besar akan berjaya bagi kebanyakan kes. Selain daripada sikap positif para pemilik, sebenarnya keadaan pasaran hartanah pada masa ini masih lembab dan pembangunan semula bukan satu opsyen yang baik bagi pemilik dan pemaju. Justeru itu persetujuan pemilik untuk terus menyewa kepada penyewa sedia ada dengan kadar yang dipersetujui akan memanfaatkan kedua-dua pihak.




Untuk makluman, Y.B.-Y.B. ADUN dan Kerajaan Negeri akan terus mengadakan rundingan dengan pemilik-pemilik. Walau bagaimanapun bantuan akan ditumpukan hanya kepada golongan yang betul-betul miskin dan memerlukan, yang tidak mampu membayar sewa baru atau dikehendaki berpindah kerana pemilik berkehendakkan balik premis mereka. Kerajaan Negeri mempunyai pelan kontigensi untuk membantu mereka.

Sebagai rumusan, tindakan telah diambil oleh Kerajaan Negeri secara multi-prong iaitu:

(a) membantu menyegerakan dan memulih projek-projek perumahan;

(b) mengatur dan membantu dalam rundingan sewa antara pemilik dan penyewa. Badan timbang tara akan diwujudkan. Adalah dipercayai kebanyakan pemilik memang bertimbang rasa dan bersedia untuk berunding supaya mencapai penyelesaian, dan

(c) memberi geran dan pinjaman dengan faedah rendah kepada pemilik sebagai insentif untuk membenarkan penyewa terus menduduki premis sementara menunggu rumah-rumah siap dibina dan supaya mengenakan kadar sewa yang berpatutan. Pada masa yang sama skim ini dijangkakan akan membawa kepada pembaharuan bandar (urban renewal) dengan memulihara dan membaiki premis-premis kawalan sewa yang kebanyakannya berada dalam keadaan yang usang serta membantu menggiatkan industri pembinaan.

Dengan langkah-langkah tersebut, saya berharap akan mendapat kerjasama semua pihak untuk kita bersama-sama menangani dan menyelesaikan masalah ini. Pada akhirnya kita akan berjaya mendapat satu wajah baru untuk pusat bandaraya kita yang mempunyai ciri-ciri unik dan daya majunya.


Kembali