Jawapan
Ketua Menteri:
1. Projek Tebatan Banjir Kawasan Perbandaran Pulau Pinang sedang dan akan diteruskan pelaksanaannya dalam tempoh RM ke-7 dan RM ke-8. Projek dibiayai Kerajaan Persekutuan dan diberi peruntukan RM ke-7 sebanyak RM62 juta. Projek melibatkan kerja membesarkan dan mendalamkan sungai-sungai termasuk pembinaan jambatan-jambatan gantian. Sungai-sungai yang terlibat ialah Sungai Pinang, Sungai Air Itam, Sungai Dondang, Sungai Jelutong, Lencongan Sungai Air Terjun-Sungai Bab I, Sungai Keluang, Sungai Ara, Sungai Dua Besar dan Sungai Gelugor.
Tiga projek kerja saliran bandar iaitu Projek Saliran S-10, S-18 dan N-12 sedang dan akan terus dilaksanakan melibatkan pembinaan sistem parit utama, kolam takungan dan rumah pam. Fasa 1 Projek S-10 melibatkan pembinaan parit utama Prangin dan rumah pam telah siap dilaksanakan manakala Fasa II yang melibatkan pembinaan kolam takungan dan pembinaan rumah pam akan
dilaksanakan dalam tahun 2000. Fasa I Projek S-18 yang melibatkan pembinaan parit utama di sepanjang Jalan Gurdwara dan Lebuh Tye Sin ke Sungai Pinang dan pembinaan sebuah tidal gate sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada bulan Ogos 2000. Fasa II yang melibatkan pembinaan kolam takungan dan rumah pam akan dilaksanakan dalam tempoh RM ke-8. Fasa I Projek N-12 pula yang melibatkan pembinaan saluran keluar di Gurney Drive dan parit utama di sepanjang Jalan Pangkor ke Simpang Jalan Perak dan Lebuhraya peel sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada bulan Jun 2000. Sambungan kepada sistem parit utama ini akan dilaksanakan di bawah Fasa II yang dijangka pelaksanaannya dalam tempoh RM ke-8.
Apabila siap nanti, projek dan kemudahan sistem saliran bandar akan diserah kepada MPPP untuk dikendali dan diselenggara manakala sistem sungai akan terus dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran. Penyenggaraan dan pembaikan parit memang merupakan sesuatu servis yang sentiasa diberi perhatian yang serius dan dilaksanakan secara berterusan oleh MPPP mengikut kemampuan dari segi kewangan dan tenaga buruh. MPPP membelanjakan lebih kurang RM2 juta setahun bagi tujuan ini. Pada tahun hadapan MPPP juga bercadang melaksanakan satu projek tebatan banjir di Gat Lebuh Leith yang akan melibatkan kos lebih kurang RM 1 juta.