Jawapan
Ketua Menteri:
5. Projek KOMTAR dibangunkan secara berperingkat dalam 5 fasa. Pembangunan Fasa 1 dan fasa 2 (kecuali fasa 2E) telah siap pada tahun 1987. Bagi tapak Fasa-fasa 2E, 3 dan 4 ianya telah diswastakan kepada pihak swasta. Pembangunan projek-projek ini telah tergendala oleh kerana kegawatan ekonomi pada pertengahan tahun 1997 yang telah melanda seluruh sektor komersial .
Bagi fasa 2E (Metrojaya) tahap pencapaian adalah 20% dan bagi Fasa 3 (Mutiara Parade) ianya masih belum memulakan pembinaan lagi oleh kerana masalah kewangan. Kedua-dua pemaju sedang berusaha mendapatkan dana untuk meneruskan pembangunan projek-projek masing-masing.
Projek di fasa 4 (Prangin Mall) telah memulakan pembinaan pada akhir Oktober 1996 tetapi terpaksa dihentikan kerja oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang pada awal tahun 1997 oleh kerana keretakan kepada bangunan-bangunan di sekitar KOMTAR akibat kerja-kerja pembangunan Prangin Mall. Pembinaannya telah diteruskan pada pertengahan tahun 1997 dan kini mencapai tahap 85% dan dijangka siap pada pertangahan tahun 2000. Kegawatan ekonomi yang melanda negara pada pertengahan 1997 juga telah melewatkan kerja-kerja pembinaan.
Bagi tapak fasa 5 ianya belum dibangunkan lagi oleh kerana bangunan-bangunan yang sedia ada masih diduduki oleh penyewa-penyewa. Penyewa-penyewa kediaman baru sahaja diberikan kunci kepada rumah pangsa yang di beli oleh mereka di Sungai Pinang. Penyewa-penyewa komersial belum lagi diperuntukkan kemudahan penempatan semula. Kemudahan bagi penyewa-penyewa komersial telah dirancangkan di Gat Lebuh Macallum.
Penyewa-penyewa akan dibayar bayaran ex-gratia selepas mereka berpindah dari rumah yang terlibat. Setakat ini, hanya terdapat 36 penyewa perniagaan dan 95 keluarga di Fasa 5 yang belum dibayar bayaran ex-gratia oleh kerana mereka belum lagi berpindah dari bangunan-bangunan yang terlibat.
Untuk membangunkan KOMTAR, PDC telah membayar kos tanah kepada pemilik asal, bayaran ex-gratia dan sebagainya kepada penyewa-penyewa yang terlibat. Selain daripada itu, kemudahan-kemudahan awam seperti tukarantara bas, Dewan Tunku, astaka makanan, tempat meletak kereta, dan sebagainya telah disediakan. Selaras dengan pembangunan KOMTAR, infrastruktur seperti jalanraya, stesyen janaeletrik, kemudahan telekom telah disediakan. Setelah KOMTAR dibina, PDC perlu terus menyelenggara dan menaiktaraf alat-kelengkapan dan pemasangan yang sedia ada. Ini memerlukan kos yang tinggi dan PDC telah menanggung kosnya. Objektif pembangunan KOMTAR adalah bertujuan bagi memberi faedah kepada semua golongan rakyat dan bukan untuk mengaut keuntungan. Oleh itu, dalam hal ini, isu keuntungan adalah tidak berkaitan.