Jawapan
Seperti yang telah dimaklumkan dalam mesyuarat Dewan yang lalu pada Oktober 2001 dan November 2002, cadangan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jabatan-jabatan kerajaan yang baru di Bayan Mutiara adalah bertujuan untuk menampung keperluan jangka masa panjang supaya mengadakan sebuah bangunan DUN yang lebih besar dengan adanya ruang dan kemudahan yang mencukupi, di samping diwujudkan pejabat bagi ahli-ahli Exco dan DUN, bagi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan beberapa jabatan kerajaan negeri yang lain.
Cadangan ini tidak melibatkan perpindahan semua jabatan dan agensi kerajaan yang kebanyakannya masih akan tetap berada di KOMTAR bahkan akan diperluaskan dan diperbesarkan untuk menampung peningkatan bilangan kakitangan dan pertambahan fungsi pada masa depan.
Walaupun beberapa reka bentuk awal bagi kempleks ini telah dikenal pasti dan anggaran peruntukan kasar sebanyak RM30 juta telah disediakan di bawah Rancangan Negeri Pulau Pinang (2001 - 2010), pelaksanaan projek ini hanya akan dimulakan apabila keadaan ekonomi negara dan kedudukan kewangan kerajaan negeri menjadi bertambah kukuh lagi.