Jawapan
5. 1. Dasar Kerajaan bagi pengurusan sisa pepejal yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-8 adalah untuk mengadakan strategi dan sistem pengurusan yang mampan (sustainable) dan bersepadu (integrated). Penekanan diberi kepada peningkatan pengurusan dan pelupusan sisa pepejal serta pengurangan penghasilan sisa pepejal. Kini pengurusan sisa pepejal di Malaysia di peringkat alihan (transition) untuk penswastaan. Dalam hubungan ini Kerajaan Persekutuan telah memberi konsesi penswastaan pengurusan sisa pepejal untuk zon utara kepada Konsortium Metacorp bagi tempoh selama 22 tahun. Konsesi merangkumi hanya kutipan dan pengangkutan sisa pepejal dan syarikat konsesi bertanggungjawab untuk perbelanjaan modal (capital expenditure) operasi tersebut. Kerajaan-kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan masih bertanggungjawab terhadap aktiviti-aktiviti pelupusan di tapak-tapak pelupusan yang sedia ada. Kerajaan Persekutuan pula akan membiayai perbelanjaan modal untuk kemudahan dan tapak pelupusan yang baru. Ke arah perancangan yang menyeluruh dan untuk mengukuhkan rangka institusi yang sedia ada, Kerajaan Persekutuan akan mengambil alih tanggungjawab terhadap pengurusan sisa pepejal daripada kerajaan-kerajaan negeri melalui Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal yang sedang digubal. Dasar Strategik Negara bagi Pengurusan Sisa Pepejal juga sedang dirangka di samping beberapa kajian yang lain, antaranya kajian bagi Penutupan Selamat dan Pemulihan (Rehabilitation) Tapak-Tapak Pelupusan, kajian tentang komposisi dan ciri-ciri sisa pepejal dan lain-lain lagi.
2. Untuk makluman, Unit Perancang Ekonomi pada tahun 2000 telah meluluskan Projek Loji Rawatan Thermal di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Cameron Highlands bagi menyelesaikan masalah pelupusan sisa pepejal yang kritikal di kawasan-kawasan ini. Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa Kerajaan Persekutuan akan membiayai kos projek dan Kerajaan Negeri dikehendaki menyediakan tanah bagi projek. Kos projek bagi Negeri Pulau Pinang dianggarkan RM500 juta, peruntukan siling RM20 juta telah disediakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-8. Mesyuarat Penyelarasan Projek di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada April 2002 telah mencadangkan supaya Loji Rawatan Thermal berkapasiti 800 tan sehari dibina untuk bahagian pulau, Pulau Pinang. Tiga tapak awal yang diutarakan untuk pertimbangan ialah tapak jeti sementara Batu Maung, tapak kolam oksidasi di Batu Maung dan tapak pelupusan sampah di Jelutong. Kajian kebolehlaksanaan dan teknologi yang sesuai masih dalam penelitian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Keputusan muktamad belum dibuat.
3. Apa yang perlu disedari ialah pengurusan dan pelupusan sisa pepejal telah menjadi satu masalah yang kritikal dan perlu diselesaikan dengan segera. Mengikut laporan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Semenanjung Malaysia kini menjana 17,000 tan sisa pepejal sehari dan angka ini dijangka naik kepada 30,000 tan sehari pada tahun 2020. Ini dibanding dengan 9664 tan sehari pada tahun 1988. Daripada jumlah ini 95%–97% dilupuskan di tapak pelupusan tetapi dalam kajian kementerian pada tahun 2002, daripada anggaran 112 tapak pelupusan yang beroperasi di Malaysia, kurang daripada 10% dikategorikan sebagai tapak pelupusan sanitari, langkah-langkah perlindungan alam sekitar telah dipertimbangkan dalam kemudahan dan operasinya. Kebanyakan adalah tapak terbuka atau open dumps yang boleh membawa kepada pencemaran alam sekitar. Lebih daripada 50% tapak-tapak pelupusan tersebut juga mempunyai hayat kurang daripada 5 tahun. Kuala Lumpur dilaporkan menghasilkan 2500 tan sampah sehari dan Pulau Pinang menghasilkan lebih daripada 1300 tan sehari atau 1 kg seorang sehari dibanding 880 tan sehari pada tahun 1988. Angka dijangka naik ke 2400 tan pada tahun 2020. Masalah menjadi lebih rumit di Pulau Pinang kerana kekurangan tanah dan kos tanah yang tinggi.
4.Sepertimana Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, sisa pepejal dari kawasan pulau kini dibawa dengan tongkang untuk pelupusan di Pulau Burung. Tapak di Jelutong hanya digunakan untuk pembuangan sisa-sisa bukan organik seperti perabut, pokok dan buangan bahan binaan. Kos kutipan, pengangkutan dan pelupusan sisa pepejal yang dibelanjakan oleh MPPP adalah dalam lingkungan RM138.00 setan dan peruntukan bagi tujuan kutipan, pengangkutan dan pelupusan sisa pepejal untuk tahun 2003 sahaja adalah RM30 juta. MPSP pula membelanjakan dalam linkungan RM60.00 setan bagi kutipan dan pengangkutan sampah domestik sedangkan kos pelupusan ialah RM27.00 setan bagi sampah domestik dan RM32.00 setan bagi sampah industri. Peruntukan kutipan, pengangkutan dan pelupusan sisa pepejal oleh MPSP bagi tahun 2003 adalah sebanyak RM37 juta. Tapak pelupusan MPSP di Ampang Jajar adalah antara tapak pelupusan yang terbaik di Malaysia tetapi tapak tersebut telahpun sampai ke akhir hayatnya dan akan ditutup. Tapak ini merupakan salah satu daripada 3 tapak perintis dalam kajian JICA untuk mengadakan penutupan selamat tapak pelupusan ke arah menggubal garis panduan dan pelan tindakan untuk penutupan dan pemulihan tapak-tapak yang lain.
5. Jenis-jenis loji rawatan thermal adalah banyak yang menggunakan pelbagai teknologi. Antaranya ialah yang menggunakan konsep pembakaran atau combustion misalnya secara stoker, konsep gasification, konsep pyrolysis konsep plasma atau cantuman pelbagai teknologi. Ada antara teknologi ini dilaporkan telah digunakan dengan selamat untuk tempoh yang lama di negara-negara maju, ada juga yang baru dan belum dibuktikan keberkesanan dan keselamatannya. Kebaikan loji sedemikian ialah ianya tidak memerlukan kawasan yang luas dan boleh mengurangkan sehingga 90% isi padu sisa pepejal dalam keadaan proses rawatan yang terkawal serta menghasilkan semula tenaga elektrik. Jika teknologi yang sesuai dan peralatan pengawalan pencemaran yang canggih digunakan, impak kepada alam sekitar dari segi pencemaran leachate, udara dan habuk boleh diminimumkan. Akan tetapi penggunaan loji rawatan thermal akan memerlukan kos yang sangat tinggi bagi perbelanjaan modal, operasi dan penyelenggaraannya. Secara purata (rule of thumb) kos pelaburan diperlukan adalah dalam lingkungan RM500,000 hingga RM1 juta untuk satu tan sampah. Kos operasi pula dianggarkan dalam lingkungan RM120 hingga RM180 setan. Kepakaran tempatan dalam teknologi loji rawatan thermal juga masih terhad. Sehingga kini, pelupusan sisa pepejal secara pembakaran masih belum dapat diterima sepenuhnya oleh orang awam kerana kebimbangan tentang gas dan abu merbahaya yang dilepaskan seperti logam berat, dioxin dan furan,
6. Untuk makluman, kerajaan negeri masih lagi mengkaji opsyen-opsyen dan kaedah-kaedah lain yang ada untuk pelupusan sisa pepejal. Bagi mencari penyelesaian yang cost-effective, environmentally sound dan socially acceptable bukanlah senang. Pendirian kerajaan negeri adalah untuk menggunakan campuran teknologi yang ada dan sesuai bagi memastikan pendekatan yang bersepadu dan praktikal dengan mengambil kira implikasi ekonomi, alam sekitar dan sosial dalam konteks keadaan tempatan. Loji rawatan thermal, jika diperlukan, adalah untuk melengkapkan usaha-usaha lain dan bukan sebagai opsyen atau proses utama. Opsyen-opsyen dalam pertimbangan termasuk kemudahan untuk resource recovery dan sistem kompos, stesen pemindahan (transfer station) dan tapak pelupusan sanitari. Keutamaan dan tumpuan akan terus diberi kepada aktiviti-aktiviti 3 R iaitu reduce, reuse dan recycle.
7. Kemudahan Material Recovery Facility dengan sistem kompos melibatkan teknologi yang mudah dan flexible dan akan memaksimumkan penggunaan bahan-bahan yang terhad. Perbelanjaan modal dan operasi adalah dalam kemampuan kerajaan dan kaedah atau opsyen ini dipercayai lebih senang diterima oleh orang awam. Jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan akan berkurangan dan dengan ini melanjutkan usia tapak-tapak yang ada. Salah satu faktor penting ialah komposisi dan jenis sisa pepejal yang dijanakan di mana mengikut kajian Northern Waste Industries pada tahun 1999, 50% hingga 60% daripada sisa kita adalah terdiri daripada sisa organik dan sisa yang basah.
8. Sehubungan ini kerajaan negeri memang telah giat mempromosikan amalan guna semula dan kitar semula di kalangan rakyat dalam dua tiga tahun kebelakangan ini. Kumpulan Alam Sekitar di bawah Forum Perundingan Kerajaan Tempatan telah dan terus menjalankan pelbagai aktiviti bagi mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat tentang akibat over-consumption, pengurangan penghasilan sisa pepejal dan amalan kitar semula. Kempen kesedaran dan pendidikan dijalankan melalui pameran, ceramah, pengedaran risalah, seminar dan aktiviti-aktiviti spesifik yang dijalankan di kalangan murid sekolah, persatuan penduduk, JKKK, sektor swasta dan pekilang-pekilang dengan bantuan dan kemudahan pihak berkuasa tempatan. Antara kursus, bengkel dan risalah yang diadakan ialah tentang pengurusan sisa pepejal domestik, sisa bahaya domestik, sisa organik dan kompos, vermiculture dan lain-lain. Dengan bantuan Kerajaan Persekutuan, lebih banyak lagi pusat pengumpulan atau collection centres akan dibina. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga giat menjalankan kempen pendidikan melalui pelbagai media massa. Usaha-usaha ini telah menunjukkan hasil dengan bertambahnya minat dan aktiviti-aktiviti berkaitan di peringkat masyarakat.
9. Apa yang perlu disedari dan diterima ialah masalah sisa pepejal bukanlah masalah kerajaan sahaja tetapi ianya adalah tanggungjawab semua orang. Kita semua bertanggungjawab menjanakan sampah dan kita bersama-sama bertanggungjawab untuk menguruskan sampah kita sendiri. Keperluan untuk memastikan kawasan persekitaran yang bersih dan selamat adalah tanggungjawab bersama. Orang awam hendaklah mempunyai kesedaran tentang perlunya mengadakan sistem pengurusan dan pelupusan sisa pepejal yang sempurna dan selamat dan kos yang tinggi yang terlibat. Sindrom NIMBY (not in my backyard) perlu ditangani. Walaupun semua orang menyedari dan berkehendakkan tapak atau sistem pelupusan disediakan, cadangan tapak atau kemudahan sentiasanya disambut dengan bantahan kuat daripada penduduk di sekitar projek kerana penduduk-penduduk berkenaan tidak bersetuju dengan penempatan kemudahan di kawasan rumahnya sendiri walaupun pada jarak dan dengan zon penampan yang secukupnya yang telah diluluskan oleh pihak-pihak yang berkuasa.
10. Kerajaan negeri bercadang menggunakan pendekatan yang bersepadu untuk menangani masalah pengurusan sisa pepejal. Sisa pepejal yang dihasilkan diharap dapat diguna semula, dikitar semula dan dikompos sebanyak yang boleh. Bakinya boleh dihantar ke tapak pelupusan atau dibakar, mengikut mana yang sesuai. Di samping aktiviti-aktiviti yang dijalankan di peringkat institusi dan masyarakat, penglibatan individu akan ditingkatkan. Dalam hubungan ini Pihak Berkuasa Tempatan telah diarah supaya mengkaji kemungkinan menyediakan tong sampah yang berasingan kepada setiap rumah supaya pengasingan sisa pepejal boleh dijalankan di puncanya iaitu separation at source. Kerjasama Kerajaan Persekutuan diperlukan untuk meninjau undang-undang dan incentive yang boleh diberi atau disincentive dikenakan supaya menggalakkan pengurangan penghasilan sisa pepejal dan penggunaan bahan-bahan yang bahaya atau tidak boleh dikitar semula oleh pihak industri.
11. Untuk makluman, sistem tapak pelupusan yang sedia ada di Pulau Burung dan Ampang Jajar adalah yang terbaik di Malaysia. Bagi jangkamasa sederhana dan panjang, baki tanah di Pulau Burung yang belum digunakan akan ditingkatkan ke tapak pelupusan sanitari Level 4 iaitu dengan mengadakan liner dan rawatan air leachate.
12. Pulau Pinang telah mencatat banyak kejayaan dalam pelbagai sektor sama ada ekonomi, industri atau pelancongan, juga dalam aspek pengurusan sisa pepejal, kebersihan dan pengindahan, masih terdapat ruang untuk ditingkatkan. Oleh itu bagi memastikan negeri ini akan bersama-sama dengan negeri-negeri lain ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, sokongan, kerjasama dan komitmen semua pihak diperlukan bagi menjayakan program-program dan usaha-usaha yang dirancang.