MESYUARAT KETIGA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Adakah kerajaan negeri masih berhasrat untuk melaksanakan projek elektrik tram bas. Kalau ada, bilakah projek tersebut akan dilaksanakan dan dijangka siap.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Pembangunan

Jawapan
1. Semenjak beberapa tahun lepas, pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) telah menerima beberapa cadangan melaksanakan sistem LRT, Monorel dan Tram Elektrik di Pulau Pinang.

2. Antara syarikat yang telah mengemukakan cadangan tersebut adalah syarikat Unit Transit Aliran Ringan (UTARA) dan syarikat Business Focus yang mengemukakan cadangan sistem LRT, syarikat KL Monorel Sdn. Bhd. yang mengemukakan cadangan sistem monorel dan Tram Elektrik serta yang terbaru syarikat MMC-Metrail yang mencadangkan pembinaan sistem monorel.

3. Bagaimanapun, baru-baru ini pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU)telah memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju mempertimbangkan cadangan syarikat MMC-Metrail Sdn Bhd untuk melaksanakan projek monorel di Pulau Pinang. Pihak MMC-Metrail ini telah diminta mengemukakan cadangan terpeinci penswastaan serta deraf perjanjian konsesi untuk dipertimbangkan.

4. Pada masa yang sama pihak pemaju juga sedang berbincang dengan kerajaan negeri mengenai cadangan jajaran, cadangan pengambilan balik tanah sekiranya ada serta struktur tambang yang akan dikenakan kepada para pengguna sistem monorel ini nanti. Pandangan serta persetujuan kerajaan negeri perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum pihak EPU memberi kelulusan.

5. Secara ringkasnya, cadangan sistem monorel oleh syarikat MMC-Metrail ini merangkumi pembinaan sistem monorel menghubungi kawasan-kawasan berpenduduk padat dan menjadi tumpuan orang ramai seperti di Tanjong Tokong, Weld Quay, Pulau Tikus, kawasan dalaman George Town, KOMTAR, Gelugor, Bayan Baru, Bayan Lepas, Air Hitam, Farlim dan Paya Terubong. Pihak pemaju juga bercadang untuk melaksanakan projek ini dalam dua fasa mengikut jajaran iaitu jajaran pertama dari utara ke selatan iaitu dari Paya Terubong melalui Farlim, Air Itam, KOMTAR dan Weld Quay manakala jajaran kedua pula dari timur ke barat iaitu dari Tanjong Tokong melalui Air Itam, Gelugor, Bukit Jambul dan Bayan Lepas. Pihak pemaju juga bercadang untuk mewujudkan satu stesyen pertemuan kedua-dua jajaran ini bertujuan untuk menjimatkan masa dan kos para penumpang.

6. Mengenai "electric tram bus" untuk kawasan dalam George Town, kerajaan negeri juga sedang berunding dengan pihak MMC-Metrail untuk menetapkan sistem dan reka bentuk yang terbaik dan paling sesuai sekali.

7. Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan-cadangan tersebut dengan mengutamakan kepentingan rakyat negeri ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan satu sistem pengangkutan awam yang bersepadu.









Kembali