MESYUARAT KETIGA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Sila berikan perkembangan terkini mengenai projek Tanjong Pinang Development yang akan menebus tanah seluas 980 ekar di pinggir laut Tanjong Tokong. Sejak projek tersebut telah dijalankan pada tahun 1997, berapakah pelaburan telah digunakan dan berapa kerugian yang telah dialami oleh pemaju Tanjong Pinang Development Sdn. Bhd. Berapa jumlah saham yang diperolehi oleh Perbadanan Pembanguan Pulau Pinang (PDC) dalam Syarikat Tanjong Pinang Development Sdn. Bhd. dan berapakah kerugian yang telah dialami oleh PDC sejak ia berkecimpung dalam pelaburan tersebut.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Tanah

Jawapan
Melalui suatu perjanjian di antara kerajaan negeri dan KGN-PDC Holdings Sdn Bhd (KGN-PDC) pada Oktober 4, 1990, kerajaan negeri telah memberi kebenaran kepada KGN-PDC untuk menjalankan kerja-kerja tebus guna ke atas tanah seluas 980 ekar di Tanjong Tokong. KGN-PDC merupakan sebuah syarikat usahasama di antara Koperasi Gabungan Negeri Pulau Pinang (KGN) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), yang mana ekuiti yang dipegang adalah 60% KGN dan 40% PDC.

KGN-PDC kemudiannya telah menyerahkan hak penebusgunaan tanah ini kepada Tanjung Pinang Development Sdn. Bhd. (TPD), sebuah syarikat usahasama di antara Permaijana Ribu (M) Sdn. Bhd. (PR) dan KGN-PDC dengan ekuiti 70% dan 30% masing-masing, untuk menjalankan keseluruhan projek tersebut.

Kepentingan ekuiti 30% oleh KGN-PDC dalam TPD adalah percuma kepada KGN-PDC kerana telah dibayar sepenuhnya oleh PR disebabkan oleh penyerahan hak penebusgunaan tanah tersebut. Pada ketika itu, PR dikuasai oleh United Engineers (M) Bhd (UEM) yang memegang ekuiti 72%.
Kontrak untuk kerja tersebut telah ditawarkan kepada Syarikat Kencana TGI Sdn Bhd (KTGI) dan telah bermula pada tahun 1997. Seluas 50 ekar tanah telah ditebus guna tetapi projek tergendala disebabkan oleh kegawatan ekonomi.

Selanjutnya, pada Januari 2003, Bridgecrest Resources Sdn Bhd (Bridgecrest) yang merupakan sebuah anak syarikat Kamunting Corporation Bhd telah membeli keseluruhan ekuiti UEM melalui suatu perjanjian penjualan saham yang bersyarat (conditional share sale agreement). Pemegang-pemegang saham PR pada masa kini adalah Bridgecrest (72%), Mechmar Corporation Bhd (18%) dan Yayasan Bumiputera Pulau Pinang (10%).

Selanjutnya, Bridgecrest telah melantik Tidalmarine (M) Dredging Sdn Bhd (TMD) untuk meyambung kerja-kerja tebus guna tanah tersebut yang telah dimulakan semula pada bulan April 2003. Sehingga kini, jumlah keluasan kawasan tambahan yang telah ditebus guna adalah lebih kurang 34 ekar, menjadikan jumlah keseluruhan lebih kurang 84 ekar.

Sementara itu, TPD telah mengemukakan semula pelan susunatur cadangan pembangunan di atas bagi kawasan tebus guna Fasa 1 kepada Jabatan Perancang Bandar dan Desa, dan kelulusan telah diperolehi pada September 3, 2003.

Sejak projek tersebut telah dijalankan pada tahun 1997, jumlah yang telah digunakan oleh TPD sehingga kini adalah lebih kurang RM130 juta. Dari jumlah ini, sebanyak RM60 juta diperolehi dari pinjaman dan bakinya sebanyak RM70 juta adalah melalui pembiayaan pemegang saham. Berdasarkan akaun audit pada Disember 31, 2002, jumlah kerugian yang telah dialami oleh TPD adalah sebanyak RM7,937,272.

Ekuiti tidak langsung yang dipegang oleh PDC dalam TPD adalah 12% dengan jumlah saham sebanyak RM600,000. Pegangan ekuiti ini adalah berdasarkan ekuiti PDC sebanyak 40% dalam KGN-PDC and ekuiti KGN-PDC sebanyak 30% dalam TPD. Oleh itu, bahagian kerugian PDC secara tidak langsung dalam TPD adalah RM952,472.64.

Walaubagaimanapun, kerugian atas kertas (paper loss) yang ditanggung oleh PDC adalah hanya terhad kepada jumlah pelaburannya iaitu RM600,000 sahaja. Memandangkan ekuiti KGN-PDC dalam TPD adalah percuma, maka tiada kerugian sebenar yang dialami oleh PDC. Namun demikian, dengan pembelian saham UEM oleh Bridgecrest dalam PR, nilai saham KGN-PDC telah meningkat, manakala penyambungan kerja-kerja tebus guna tersebut akan mendatangkan keuntungan pada tahun-tahun hadapan kepada TPD yang mana KGN-PDC masih mempunyai ekuiti 30%.





Kembali