Jawapan
Sebenarnya, 16 jabatan kerajaan menambahkan ruang pejabat berbanding dengan hanya 4 yang berpindah keluar
Setakat ini, hanya 4 Jabatan Kerajaan yang berpindah keluar dari KOMTAR ia itu, Pejabat Kebudayaan & Kesenian, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA). Jumlah keluasan yang terlibat adalah 58,905 kaki persegi.
Sebaliknya, dalam jangkamasa yang sama, sebanyak 16 Jabatan Kerajaan Pusat dan Negeri telah menambahkan ruang pejabat atau berpindah masuk ke KOMTAR yang melibatkan sewaan seluas 124,069 kaki persegi.
Dari aspek membantu peniaga-peniaga KOMTAR, Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC) sentiasa mengambil tindakan-tindakan dan membelanjakan peruntukan yang perlu bagi memastikan KOMTAR kekal sebagai pusat perniagaan yang terunggul bukan sahaja kepada peniaga-peniaga di KOMTAR tetapi juga bagi kawasan bandaraya dalaman George Town.
Kerja-kerja peningkatan taraf KOMTAR sentiasa dirancang dan dilaksanakan oleh PDC dari semasa ke semasa. Ini adalah untuk memastikan semua kemudahan di KOMTAR yang merangkumi sistem hawa dingin, lif, eskalator, sistem pencegahan kebakaran, kemudahan tandas dan lain-lain sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Misalnya, jubin lantai yang telah ditukar ganti baru-baru ini telah menjadikan kawasan konkos di Tingkat 3, KOMTAR lebih menarik.
Sejak tahun 1993 sehingga tahun 2003 sejumlah RM33.2 juta telah dibelanjakan bagi meningkatkan kemudahan-kemudahan ini.
Bagi menarik lebih ramai pengunjung ke KOMTAR, PDC telah menetapkan syarat kepada pemaju Prangin Mall supaya jejambat dibina menghubungkan KOMTAR dan Prangin Mall. Jejambat pertama yang menghubungkan Aktif Lifestyle dan Prangin Mall telah dibuka kepada orang ramai pada bulan Julai 2002, manakala jejambat kedua yang menghubungkan Super Komtar dan Prangin Mall dijangka akan dibuka kepada orang ramai pada bulan November 2003 ini. Pembukaan jejambat ini dapat memudahkan laluan atau akses kepada pengunjung-pengunjung dari satu lokasi ke lokasi lain di KOMTAR tanpa gangguan dari faktor cuaca dan juga kesesakan lalulintas. Ini sudah pasti akan dapat memberangsangkan kegiatan perniagaan di KOMTAR.
Bagi penyewa-penyewa utama (anchor tenants) seperti Aktif Lifestyle Stores Sdn. Bhd. dan Super Departmental Stores ( Super KOMTAR) Sdn. Bhd., PDC mengenakan kadar sewa yang berpatutan dalam suasana ekonomi yang belum kukuh sepenuhnya. Ini bertujuan untuk memudahkan dan memastikan penyewa-penyewa utama ini terus menjalankan perniagaan dan kekal di KOMTAR supaya turut membantu memastikan peniaga-peniaga kecil yang lain terus menikmati peluang perniagaan di KOMTAR.
Sejak tahun 1989, PDC menyewakan ruang awam di Tingkat 2, KOMTAR kepada Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang untuk mewujudkan dan menguruskan gerai-gerai supaya lebih ramai peniaga kecil Bumiputera dapat menjalankan perniagaan di KOMTAR.
PDC juga membenarkan Persatuan Pedagang-Pedagang Melayu Malaysia (Perdasama) mewujudkan sebanyak 52 gerai sebagai bazar di Tingkat 3, KOMTAR untuk memberikan peluang perniagaan kepada lebih ramai peniaga Bumiputera.
Di samping itu, Astaka Makanan di Tingkat 5, KOMTAR telah dibuka kepada orang ramai mulai 1 Januari 2003. Di samping memberi peluang kepada peniaga-peniaga baru, khususnya Bumiputera, Astaka Makanan yang baru ini dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung ke KOMTAR agar dapat membantu memajukan perniagaan peniaga-peniaga lain juga.
PDC juga menyediakan kaunter pertanyaan dan maklumat di Tingkat 3 yang dikendalikan oleh PenEvents Sdn. Bhd. bagi memberikan maklumat kepada pengunjung dan pelancong ke KOMTAR. Pen-Events Sdn Bhd juga menyediakan risalah “Buletin KOMTAR†dua bulan sekali untuk menyebarkan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti promosi dan juga mengenai peniaga-peniaga di KOMTAR.
PDC sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan Persatuan Peniaga KOMTAR (KMA), Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan juga Perdasama melalui mesyuarat dan perbincangan, untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh para peniaga di KOMTAR di samping bekerjasama dalam usaha meningkatkan kemudahan dan mempromosikan KOMTAR.