MESYUARAT KETIGA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Sila nyatakan secara terperinci mengenai program-program Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang di dalam membantu bumiputra di Negeri Pulau Pinang setakat ini. Apakah pencapaian yang dicapai itu seimbang dengan purata penduduk bumiputra di negeri ini.
Dun -
Exco TKM
Perkara -

Jawapan
PDC telah banyak membantu bumiputera di Negeri Pulau Pinang melalui pelaksanaan program-program utama seperti pembangunan kawasan-kawasan perumahan & pembangunan bandar yang mewujudkan peluang-peluang pemilikan hartanah dan peruntukan kerja-kerja kontrak, serta pembangunan kawasan-kawasan perindustrian yang mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan.

Disamping itu PDC turut memain peranannya bersama-sama dengan agensi-agensi Kerajaan yang lain seperti PERDA dan MARA dalam strategi pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) bagi Negeri Pulau Pinang.

Melalui pembangunan kawasan-kawasan perumahan & pembangunan Bandar, sejak tahun 1974 sehingga 31 Ogos 2003, PDC telah berjaya membina sejumlah 21,459 unit perumahan pelbagai jenis. Pada asalnya PDC telah mengamalkan polisi pengagihan sekurang-kurangnya 30% dari jumlah unit kediaman kepada bumiputera, namun bermula pada 12 Oktober 1994, peruntukan kuota ini telah ditingkatkan kepada 50%. Sejak Mei 1998, PDC juga telah memberi potongan harga sebanyak 10% kepada bumiputera yang membeli rumah yang berharga kurang daripada RM150,000.00.

Setakat ini sejumlah 7,999 unit perumahan pelbagai jenis yang merupakan 37% telahpun dimiliki oleh Bumiputera. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 51.9% adalah rumah kos rendah, 27.8% rumah kos sederhana rendah, 26.6% rumah kos sederhana dan sebanyak 46.6% adalah rumah kos tinggi.

Penyertaan bumiputera di dalam bidang perniagaan juga merupakan sebahagian daripada rancangan pembangunan PDC. Bagi unit-unit komersil pula, PDC telah membina sejumlah 798 unit komersil di Bandar Bayan Baru, Georgetown dan di kawasan Seberang Perai. Setakat ini sejumlah 232 unit atau 29% telahpun dibeli oleh Bumiputera. PDC juga telah melaksanakan satu projek komersil di Jalan Chow Thye dan Jalan Burma bagi memberi peluang kepada bumiputera berniaga di lokasi strategik di Bandar Georgetown. Sebanyak 20 unit atau sebanyak 50% telahpun disewakan kepada bumiputera.

Penyertaan bumiputera di dalam ruang niaga Podium KOMTAR semenjak tahun 1981 telah mencapai 34% daripada jumlah keluasan ruang perniagaan yang dibina. Selain daripada itu, pada tahun 1989 PDC telah menyewakan ruang perniagaan seluas 1,972 k.p di Tingkat 2, KOMTAR kepada Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang di mana 23 gerai telah disewakan kepada peniaga-peniaga bumiputera .

Dalam membantu usahawan bumiputera yang menyertai sektor industri kecil dan sederhana (IKS), PDC telah menyediakan peruntukan khas sebanyak 121 unit atau 50% daripada 262 unit kilang IKS di kawasan Taman Perindustrian Bayan Lepas, Sungai Pinang, Bukit Tengah dan Bukit Minyak kepada bumiputera. Sebanyak 68 unit atau 56% telah dibeli atau disewa oleh usahawan bumiputera. PDC juga telah melaksanakan skim penyewaan dan skim sewabeli, memberi diskaun 5% dari kadar sewa dan jualan, serta memberi pakej penjualan/sewa yang istimewa bagi menggalakkan bumiputera mampu memiliki unit-unit kilang IKS PDC.
Berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas kilang-kilang yang beroperasi di dalam kawasan-kawasan perindustrian yang dibangunkan oleh PDC seperti di Bayan Lepas, Sungai Pinang, Prai, Bukit Minyak, Bukit Tengah, Bandar Seberang Jaya dan Mak Mandin, PDC telah berjaya mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada seramai 114,439 orang. Setakat ini sejumlah 60,439 orang (52.9%) adalah golongan bumiputera. Daripada jumlah ini, seramai 11,927 (36.6%) adalah tergolong di dalam kategori pengurusan dan penyeliaan yang terdiri daripada kumpulan pengurusan, jurutera, penyelia dan juruteknik, manakala seramai 48,510 (59.3%) adalah tergolong di dalam kategori pekerja mahir, pekerja tidak mahir dan operator pengeluaran.

PDC juga telah melaksanakan program-program MPPB untuk mewujudkan peluang-peluang perniagaan kepada usahawan bumiputera melalui program pembangunan tanah secara penswastaan seperti projek perumahan di Bukit Jambul & Sungai Nibong, projek stesen minyak di Prai, Bandar Bayan Baru, Bayan Lepas & Bandar Seberang Jaya, projek pengusaha gerai makan di Prai, program pembangunan infrastruktur perniagaan automart di Bandar Seberang Jaya dan program pembangunan vendor PDC. Sejak tahun 1992 hingga kini seramai 35 orang usahawan bumiputera telah menikmati peluang perniagaan ini.

Disamping itu, peluang-peluang perniagaan juga diwujudkan menerusi peruntukan kerja-kerja kontrak kepada syarikat Bumiputera Kelas F hingga Kelas A. Sejak tahun 1990 hingga 31 Ogos 2003, PDC telah memperuntukkan kontrak kerja-kerja infrastruktur, projek-projek pembinaan bangunan, insuran dan perkhidmatan pembekalan yang berjumlah RM957 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM774 juta (80.9%) telahpun diperuntukkan kepada seramai 434 orang kontraktor bumiputera.

PDC juga telah melaksanakan Program-program Pembudayaan dan Latihan Keusahawanan yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan bumiputera serta membantu mereka untuk memaju dan mengembangkan perniagaan. Sejak tahun 1997 hingga kini, seramai 4,922 usahawan bumiputera telah terlibat dengan program pembudayaan dan latihan keusahawanan yang dianjurkan oleh PDC. PDC juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dalam usaha promosi bagi menarik minat usahawan dan bakal usahawan menceburi bidang perniagaan secara francais termasuklah penganjuran kursus asas sebagai persediaan untuk bumiputera menceburi di dalam bidang perniagaan secara francais.

Program Usahawan Muda juga telah diwujudkan sejak tahun 1998 dengan penglibatan seramai 2,475 orang pelajar. Memandangkan program ini telah berjaya memupuk budaya keusahawanan dikalangan pelajar, PDC akan terus memperkembangkan pelaksanaannya di sekolah-sekolah baru supaya dalam jangka panjang akan dapat menjana lebih ramai usahawan bumiputera menyertai sektor-sektor di mana penyertaan bumiputera kurang menyerlah.

Selain dari menganjurkan program-program keusahawanannya, PDC dari semasa ke semasa juga telah menjalan program penganjuran bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta. Antara program yang telah dijalankan secara bersama adalah Ekspo & Seminar Francais, Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang, Klinik Kontraktor, Seminar dan Kursus-kursus Keusahawanan.

Prestasi PDC dalam pembangunan ekonomi bagi Bumiputera seperti yang ditunjukkan oleh angka-angka mengenai program-program yang telah dilaksanakan setakat ini masih boleh dipertingkatkan lagi. Ini adalah memandangkan bahawa purata penduduk bumiputera dianggarkan sudah mencapai sebanyak 42.5% daripada keseluruhan penduduk Negeri Pulau Pinang sebanyak 1.31 juta orang.

Oleh itu PDC akan terus berusaha dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dan sektor swasta bagi meningkatkan lagi tahap ekonomi di Negeri Pulau Pinang.










Kembali