MESYUARAT KETIGA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan 27. Bilakah jambatan kedua Pulau Pinang akan dibina. Sila huraikan dengan teliti mengenai projek berkenaan.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Pembangunan

Jawapan
27. Sejak tahun 1997, Kerajaan Persekutuan telah mula menerima beberapa cadangan untuk membina Jambatan Kedua atau laluan kedua secara terowong bawah dasar laut (undersea tunnel) di negeri Pulau Pinang.

2. Pada Oktober 2001, Jemaah Menteri telah membuat keputusan bersetuju untuk membina Jambatan Kedua ini dari Batu Kawan ke Batu Maung atau dikenali sebagai jajaran selatan.

3. Antara sebab Kerajaan Negeri mencadangkan Laluan Selatan sebagai jajaran Jambatan Kedua ini ialah kerana beberapa faktor:-

i. Pembangunan Ekonomi Secara Seimbang

Pembinaan jambatan kedua di Laluan Selatan akan dapat mengagih, memangkin serta menjanakan pertumbuhan ekonomi di kawasan-kawasan selain Georgetown dan Butterworth. Kawasan yang akan mendapat manfaat daripada pembinaan jambatan ini ialah Juru, Nibong Tebal, Batu Kawan dan Seri Ampangan (Transkrian) di kawasan Seberang Perai Selatan dan Bayan Baru, Bayan Lepas, Teluk Kumbar sehingga Balik Pulau di kawasan Pulau. Adalah dijangkakan bahawa kawasan-kawasan lain seperti Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara, Georgetown dan Pantai Utara akan turut mendapat manfaat dan pertumbuhan ekonomi di kawasan terbabit. Ini juga adalah selaras dengan matlamat dan usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan yang seimbang antara daerah-daerah di Pulau Pinang.

ii. Penyambungan ke Lapangan Terbang

Laluan Selatan yang berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas akan turut menyumbang kepada hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai `Cargo-Hub’ di kawasan Utara Semenanjung dan kawasan IMT-GT.

iii. Penyuraian Trafik

Kawasan Georgetown, Pantai Utara dan Butterworth kini sedang menghadapi masalah kesesakan lalulintas yang serius. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri sedang menrancang untuk meningkatkan taraf Pengangkutan Awam di kawasan ini sebagai satu langkah mengurangkan kesesakan lalulintas. Sekiranya Laluan Utara menghubungkan Bagan Ajam ke Bagan Jermal atau Laluan Tengah menghubungkan Butterworth ke Jelutong dipilih sebagai laluan, masalah kesesakan lalulintas di kawasan Georgetown, Pantai Utara dan Butterworth akan bertambah. Sebaliknya, Laluan Selatan, adalah lokasi terbaik untuk penyuraian trafik kerana Jambatan Kedua ini akan menghubungkan Lebuhraya Bayan Lepas dan juga Lebuhraya Utara Selatan melalui satu susur keluar yang akan dibina di Valdor.

iv. Pembangunan Pelabuhan

Laluan Utara tidak dipilih kerana ianya melibatkan pembinaan terowong dasar laut dan jambatan. Sekiranya ini dilaksanakan, kedalaman maksimum dan paras laut bagi bahagian terowong dasar laut dianggar tidak melebihi 15 meter ACD (Admiralty Chart Datrun). Ini akan menjejaskan keupayaan Pelabuhan Pulau Pinang menerima kapal-kapal besar pada masa hadapan. Di samping itu, kerja-kerja pembinaan jambatan dan Laluan Utara ini akan menjejaskan operasi Pelabuhan Pulau Pinang untuk tempoh yang lama.

v. Pengambilan Balik Tanah dan Penempatan Semua Penduduk Laluan Utara melibatkan prime areas dan kepadatan penduduk yang tinggi. Justeru itu, sekritanya Laluan Utara dipilih sebagai jajaran Jambatan Kedua, kos pengambilan tanah akan menjadi tinggi di samping masalah bantahan penduduk yang terlibat. Laluan Utara juga akan memberi pesan kepada kawasan warisan khususnya di Georgetown. Laluan Selatan sebaliknya akan melibatkan tanah pertanian milik Kerajaan di Batu Kawan.

4. Laporan Kesan Alam Sekitar

Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi cadangan Jambatan Kedua Pulau Pinang antara Batu KaWAN DI Seberang Perai dan Batu Maung, Pulau Pinang telah disediakan oleh perunding Environmental Asia Sdn. Bhd. HSS Integrated Sdn. Bhd. dan Yachiyo Engineering Company Ltd. Untuk Kementerian Kerja Raya Malaysia dan telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 14 Februari 2003.

Kesan alam sekitar yang dikenalpasti boleh berlaku semasa pelaksanaan projek ini nanti adalah masalah bunyi bising, gegaran, kemerosotan kualiti air, kemungkinan berlakunya banjir serta boleh mejejaskan pendapatan nelayan. Bagaimanapun langkah-langkah pencegahan dan pengawalan kesan-kesan alam sekitar ini telah diutarakan di dalam Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA). Dengan melaksanakan langkah-langkah yang dicadangkan ini, kesan-kesan yang dinyatakan di atas akan dapat diminimakan.

Di samping itu, penggerak projek juga dikehendaki menyediakan “Emergency Response Plan” (ERP) mengenai langkah-langkah dan tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kemalangan, letupan, tumpahan minyak atau bahan merbahaya yang boleh menyebabkan pencemaran udara, tanah, sungai, laut dan air bawah tanah berpunca dari kerja-kerja pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang ini.

5. Cadangan Jambatan Kedua

Mengikut cadangan awal yang disediakan oleh juruperunding yang dilantik, rekabentuk Jambatan Kedua ini merupakan struktur Jambatan keseluruhannya dengan panjang Jambatan 16.5 km dan approach road 6 km. Sebuah pulau buatan yang terletak kira-kira 7 km dari Batu Maung dicadangkan dibina. Laluan kenderaan pula merupakan 4 lorong selebar 3.65m setiap lorong dan lorong khas motosikal selebar 3m di kiri dan kanan jambatan. Jumlah kos pembinaan Jambatan Kedua ini belum dapat ditentukan tertakluk kepada jenis bahan binaan. Jumlah kos sebenar pembinaan Jambatan Kedua juga hanya akan diketahui apabila rekabentuk terpeinci disediakan oleh pihak juruperunding. Walaubagaimanapun, rekabentuk terpeinci Jambatan Kedua ini belum disediakan.

6. Perkembangan Terkini Projek Jamabtan Kedua

Pada masa ini, Unit Perancang ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kerja Raya sedang berunding untuk menetapkan jenis rekabentuk, anggaran kos, kebolehlaksanaan (viability) dan cara pembiayaan (financing) projek tersebut. Kerajaan Negeri juga sedang memantau dan meneliti perkembangan ini dan pada masa yang sama telah memulakan kajian sistem penyuraian lalulintas khasnya disekitar Batu Maung dan Bayan Lepas.








Kembali