MESYUARAT KETIGA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Baru-baru ini pemegang konsesi Jambatan Pulau Pinang, Penang Bridge Sdn Bhd bercadang untuk menaikkan kadar tol. (a) Apakah alasan yang diberikan oleh syarikat itu untuk berbuat demikian. (b) Berapakah kadar baru yang telah dicadangkan. (c) Apakah alasan kerajaan negeri untuk menentang kenaikan kadar tol. (d) Sila huraikan secara purata berapa banyak kenderaan yang menggunakan jambatan itu setiap hari, bulan dan tahun. (e) Sila huraikan secara purata jumlah kutipan tol setiap hari, bulan dan tahun. (f) Berapa peruntukan yang disediakan oleh syarikat untuk kerja-kerja penyelenggaraan pada setiap tahun. (g) Adakah syarikat ini mencatat keuntungan atau kerugian sepanjang operasinya mengendalikan Jambatan Pulau Pinang. Sila jelaskan.
Dun -
Exco YABKM
Perkara -

Jawapan
Mengikut Perjanjian Konsesi di antara Kerajaan Persekutuan dan syarikat Mekar Idaman Sdn Bhd, kadar tol Jambatan Pulau Pinang akan dinaikkan setiap 5 tahun pada kadar 10%. Kenaikan yang pertama dijadualkan pada tahun 1998 tetapi tidak dipersetujui oleh Kerajaan Negeri kerana seluruh negara sedang mengalami kegawatan ekonomi yang amat teruk dan kenaikan kadar tol pada masa itu akan memberi kesan yang besar kepada rakyat Pulau Pinang khususnya.

Pada Ogos 2003, sekali lagi pihak pemegang konsesi mengemukakan permohonan untuk menaikkan kadar tol sebanyak 10% mengikut terma Perjanjian Konsesi. Saya bagi pihak kerajaan negeri sekali lagi membantah cadangan tersebut ketika bercakap dengan Y.B. Menteri Kerja Raya melalui telefon. Walaupun kerajaan negeri bukan merupakan pihak yang berkepentingan secara langsung dalam perjanjian tersebut, tetapi saya telah mencadangkan bahawa Kerajaan Persekutuan patut mengaudit pendapatan pihak pemegang konsesi sebelum sebarang kelulusan mengenai kenaikan tol diberikan. Saya mempunyai dua hujah untuk membuat cadangan sedemikian:-

(1) Kerajaan negeri berpendapat pendapatan pihak pemegang konsesi adalah jauh melebihi pendapatan yang disasar mengikut Perjanjian Konsesi berdasarkan kepada jumlah trafik yang melebihi 19 juta setahun pada tahun 2002.

(2) Pihak pemegang konsesi perlu menjalankan kerja-kerja menaik taraf jambatan tersebut, termasuk melebarkan jambatan dari dua lorong kepada tiga lorong sebagaimana terma Perjanjian konsesi. Kerja-kerja ini masih belum dilaksanakan lagi maka tiada sebab pihak pemegang konsesi perlu menaikkan kadar tol.

Pihak Kerajaan Persekutuan seterusnya telah bersetuju dengan cadangan saya ini dan memutuskan permohonan pemegang konsesi untuk menaikkan kadar tol Jambatan Pulau Pinang ini ditangguhkan ke tahun 2004 bagi memberi masa Kerajaan Persekutuan meneliti cadangan saya berdasarkan dua hujah tersebut. Dalam proses berbuat demikian, aspek-aspek berikut memang akan diaudit antaranya bilangan kenderaan yang menggunakan jambatan, jumlah kutipan tol setiap hari, kos penyelenggaraan dan sebagainya. Angka-angka yang agak terperinci ini akan diteliti oleh pihak Kerajaan Persekutuan.




Kembali