MESYUARAT KEEMPAT PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Kerajaan negeri sedang giat melaksanakan strategi pemuliharaan warisan dalam kawasan bandaraya George Town dan cuba mencalonkan kawasan George Town ke dalam senarai warisan sedunia UNESCO. (a) Sila nyatakan manfaat pencalonan kawasan George Town dalam senarai warisan sedunia UNESCO. (b) Sila jelaskan bagaimana pencalonan ini dapat meningkatkan taraf hidup dan sosio-ekonomi penduduk-penduduk di sekitar George Town. (c) Sila nyatakan pelan dan rangka masa (time frame) kerajaan negeri dalam usahanya untuk menyenaraikan George Town sebagai satu warisan sedunia UNESCO. (d) Jikalau usaha ini tidak berjaya, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan negeri untuk membangunkan semula kawasan George Town.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Warisan

Jawapan
3. (a) Manfaat utama yang dijangka adalah peningkatan jumlah bilangan pelancong luar negara ke Pulau Pinang. Fakta ini telah terbukti bagi tapak-tapak Senarai Warisan Dunia UNESCO seperti Bandar Lijiang (China), Hoi An (Vietnam), Luang Prabang (Loas) dan lain-lain, di mana kadar bilangan kedatangan pelancong telah meningkat secara mendadak, sekurang-kurangnya 3 kali ganda berbanding dengan jumlah bilangan pelancong sebelum bandar-bandar tersebut berjaya disenaraikan.

(b) Peningkatan kadar bilangan pelancong secara langsung akan memberi kesan positif kepada perkembangan aktiviti-aktiviti ekonomi pelancongan di Pulau Pinang, menjana pertumbuhan industri-industri lain yang saling berkait dan yang penting sekali menghasilkan pulangan ekonomi yang memerangsang kepada penduduk-penduduk Pulau Pinang dari segi pertambahan kepada aktiviti-aktiviti perniagaan baru, pembukaan peluang-peluang pekerjaan baru serta peningkatan sumber-sumber pendapatan penduduk.

Senario ini akan membantu mengatasi masalah-masalah sosio-ekonomi akibat dari pemansuhan Akta Kawalan Sewa yang sedang dihadapi di sekitar kawasan George Town seperti aktiviti-aktiviti ekonomi yang kian merosot di pusat bandar, perkembangan aktiviti ekonomi baru terbantut, kekurangan peluang pekerjaan, masalah kemiskinan penduduk di pusat bandar, masalah bangunan-bangunan lama terbiar dan kosong, isu penghuni-penhuni bandar berpindah keluar dari pusat bandar George Town dan lain-lain.

(c) Dossier untuk penyenaraian ke Senarai Warisan UNESCO telah pun dihantar kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri. Seterusnya, ia akan dikemukakan ke UNESCO untuk urusan penilaian dan kelulusan sewajarnya.

(d) Selain daripada usaha Kerajaan Negeri menyenaraikan George Town ke Senarai Warisan Dunia UNESCO, MPPP juga bermatlamat “menghidupkan semula” (revitalised) kawasan-kawasan pemuliharaan di pusat bandar George Town melalui rancangan pelaksanaan projek-projek menaiktaraf dan pengindahan jalan di kawasan George Town seperti projek Lebuh Acheh – Lebuh Armenian, projek Little India, projek Lebuh Pantai, projek Penang Gold Bazaar dan projek Jalan Penang. Projek-projek menaik taraf sedemikian akan diteruskan dan melibatkan jalan-jalan yang lain dalam kawasan George Town agar pada akhirnya semua jalan dan kualiti persekitaran di George Town secara keseluruhannya dapat dinaiktaraf dan diperelokkan dengan sewajarnya.

Kembali