MESYUARAT KEEMPAT PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Sehingga kini apakah langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kesihatan di Negeri Pulau Pinang.
Dun -
Exco KR
Perkara Kesihatan

Jawapan
Adalah menjadi matlamat kerajaan untuk terus berusaha bagi meningkatkan tahap kesihatan masyarakat di negeri ini. Bagi tujuan tersebut berbagai langkah dan pendekatan telah dilakukan oleh kerajaan melalui pelaksanaan berbagai projek dan aktiviti bagi mempastikan tahap kesihatan masyarakat dapat ditingkatkan.

Dalam tempoh 5 tahun yang lalu, iaitu antara 1999 sehingga 2003, kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM224,658,586.00 bagi tujuan melaksanakan berbagai projek kemudahan kesihatan di negeri ini.

Pada masa yang sama kerajaan telah membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar bagi mempastikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang disediakan kepada rakyat berada pada tahap yang tinggi. Sepanjang tahun 2003 sejumlah RM273,430,350.00 telah dibelanjakan bagi tujuan mengurus perkhidmatan kesihatan dan perubatan di Negeri Pulau Pinang, jumlah ini telah meningkat sebanyak 35.9% berbanding dengan jumlah yang dibelanjakan dalam tahun 1999 iaitu sejumlah RM175,400,000.00 sahaja. Pertambahan jumlah peruntukan yang besar ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap usaha untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat di Negeri Pulau Pinang. Sila lihat Jadual 1 untuk belanja peruntukan mengurus dalam tempoh 5 tahun Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Dalam masa 5 tahun yang lalu sebanyak 16 projek pembangunan kemudahan kesihatan telah berjaya disiapkan, manakala sebanyak 16 projek lagi dijangka dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini.

Di antara projek-projek yang telah berjaya disiapkan adalah: sebuah hospital iaitu Projek Hospital Kepala Batas, 4 buah klinik kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Seberang Jaya (SPT), Klinik Kesihatan Penaga (SPU), Klinik Kesihatan Sungai Dua (SPU), dan Klinik Kesihatan Bayan Baru (DBD). Terdapat 3 buah Klinik Desa yang telah disiapkan iaitu Klinik Desa Paya Keladi (SPU), Klinik Desa Permatang Pasir (DBD) dan Klinik Desa Juru (SPT). Sebuah kompleks kuarters dengan 32 unit kediaman telah disiapkan di daerah Timur Laut, sebuah bangunan 8 tingkat untuk Kolej Pergigian Pulau Pinang juga telah disiapkan dan digunakan. Kerja-kerja menaik taraf Hospital Pulau Pinang merangkumi kerja-kerja menaik taraf dapur hospital, wad pesakit (Blok C), kemudahan pendermaan darah telah berjaya disiapkan. Beberapa kemudahan klinik pergigian juga telah disiapkan iaitu Klinik Pergigian Sekolah dan Klinik Pergigian Bergerak juga telah berjaya disiapkan. Sila lihat Jadual 2 untuk projek-projek yang telah berjaya disiapkan dalam tempoh 5 tahun (1999-2003)

Di antara beberapa projek yang sedang dalam pembinaan pada masa ini adalah: Projek Ambulatory Care Center di Hospital Pulau Pinang, projek rumah mayat yang moden (mortuary), projek stor integrasi bagi pengurusan ubat hospital, Klinik Kesihatan dan Kemudahan Pejabat Kesihatan di Jalan Perak, di samping sejumlah 10 projek Klinik Pergigian Statik di sekolah-sekolah di negeri ini. Sila lihat Jadual 3 untuk projek-projek yang dijangka akan disiapkan pada Disember 2004.

Semua pembangunan kemudahan kesihatan yang telah disiapkan dan yang sedang dibangunkan sudah pasti akan meningkatkan kemudahan kepada rakyat untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang bermutu di negeri ini.



Di samping pembangunan kemudahan infrastruktur kesihatan, usaha juga dibuat untuk meningkatkan kemahiran dan kemampuan anggota kesihatan dalam melaksanakan pelayanan kesihatan yang berkesan. Usaha berterusan dibuat bagi memperkukuhkan lagi penjagaan kesihatan kepada ibu-ibu hamil dan juga penjagaan kesihatan kepada bayi dan kanak-kanak. Aktiviti lawatan ke rumah dilakukan oleh anggota kesihatan untuk meneliti dan mempastikan tahap kesihatan ibu mengandung dan ibu lepas melahirkan dan juga kesihatan bayi yang baru lahir berada pada tahap yang memuaskan.

Usaha memberikan suntikan immunisasi kepada bayi mencapai tahap liputan yang tinggi. Sepanjang tahun 2002, sejumlah 99.5 bayi mendapat liputan immunisasi bagi penyakit tuberculosis (BCG), manakala bagi suntikan immunisasi pencegahan penyakit hepatitis B, sejumlah 97.1% bayi telah berjaya diberikan liputan suntikan hepatitis B. Manakala liputan immunisasi bayi bagi penyakit-penyakit diphtheria, tetanus, whooping cough dan measles mencapai liputan yang tinggi juga. Pencapaian liputan immunisasi yang tinggi ini menunjukkan usaha yang berterusan dan komitmen kita untuk melindungi bayi dari jangkitan penyakit yang merbahaya ini.

Bagi tempoh antara 1999 sehingga 2001 didapati terdapat penurunan kadar kematian bayi iaitu dari 6.2 kepada 5.1 bagi setiap 1000 kelahiran hidup, manakala kadar kematian sewaktu lahir (still birth) juga berkurangan dari 6.2 kepada 4.6 bagi setiap 1000 kelahiran hidup, manakala kadar kematian perinatal berkurangan dari 9.3 kepada 7.5 bagi setiap 1000 kelahiran hidup. Penurunan kadar kematian ini menunjukkan tahap kesihatan yang bertambah baik di kalangan masyarakat kita.

Di samping perkara-perkara yang disebutkan tadi, berbagai usaha dilakukan bagi menjaga tahap kesihatan masyarakat kita. Usaha pencegahan dan kawalan penyakit terus dilakukan. Usaha untuk mengawal penyakit TB terus dilakukan melalui pengesanan kes TB baru dan juga rawatan kes TB. Kerajaan menyediakan rawatan yang percuma kepada semua pesakit TB, sebagai satu usaha untuk menggalakan masyarakat mendapatkan rawatan dan mencegah dari terus merebak. Aktiviti kawalan penyakit demam denggi dilakukan secara berterusan. Dan sepanjang tahun 2003 kita berjaya mengawal kejadian penyakit demam denggi pada tahap yang rendah, iaitu hanya sejumlah 449 kes dilaporkan iaitu berkurangan sebanyak 29% berbanding dengan sejumlah 639 yang dilaporkan dalam tahun 2002.

Wabak SARS yang menyerang sebahagian dunia juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada negara/negeri kita. Tetapi berkat kerjasama yang padu semua pihak dan tindakan yang segera dilakukan oleh kerajaan / jabatan kesihatan kita telah berjaya mengawal wabak tersebut dari merebak di negeri kita. Kita sangat menghargai kerjasama semua pihak dalam mengawal kejadian wabak penyakit, dan kita harapkan kerjasama ini dapat diteruskan di masa-masa akan datang, supaya kita terus dapat mempertingkatkan tahap kesihatan dan produktiviti rakyat kita.

Aktiviti pengawasan penyakit berjangkit akan terus diperkukuhkan. Berbagai pendekatan diambil bagi mengesan kemungkinan terjadinya wabak penyakit supaya tindakan kawalan yang segera dapat dilakukan.

Di samping kejadian penyakit berjangkit, perhatian juga diberikan kepada masalah penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, penyakit darah tinggi dan penyakit kencing manis. Penyakit-penyakit ini berkait rapat dengan cara hidup dan corak pemakanan masyarakat kita. Aktiviti pendidikan kesihatan dan promosi kesihatan yang berterusan dibuat bagi menyedarkan masyarakat tentang bahaya penyakit ini. Di samping itu kemudahan pemeriksaan dan rawatan juga ditingkatkan. Bagi menyediakan perkhidmatan yang baik kepada masyarakat sebanyak 19 klinik khas diabetes telah diwujudkan di klinik-klinik kesihatan di samping sejumlah 14 buah klinik kardiovaskuler dan 11 buah klinik berhenti merokok. Penubuhan klinik-klinik ini dengan anggota yang terlatih untuk membantu masyarakat mendapat pemeriksaan dan rawatan/bantuan yang terbaik.

Bagi memenuhi keperluan kumpulan tertentu di dalam masyarakat, beberapa aktiviti di bawah program expanded scope telah diperkenalkan, antaranya: program untuk warga tua, program kesihatan remaja, program rehabilitasi kanak-kanak keperluan khas, program kesihatan mental. Melalui program-program ini berbagai kemudahan disediakan bagi keperluan mereka.

Bagi keperluan warga tua, sejumlah 6 buah klinik kesihatan telah disediakan kemudahan dengan ruangan yang khas dan peralatan rehabilitasi yang khas bagi tujuan meningkatkan aktiviti kesihatan bagi warga tua.

Bagi program kesihatan mental, usaha berterusan dibuat bagi mengintegrasikan perkhidmatan ini ke dalam komuniti. Bagi pesakit-pesakit yang stabil perkhidmatan rawatan dapat dilakukan di semua klinik kesihatan. Usaha ini dibuat bagi mempermudahkan pesakit mendapat rawatan dan diharapkan ia dapat memberikan kesan positif terhadap proses rawatan pesakit berkenaan.

Sejumlah 6 buah klinik kesihatan telah dikenal pasti dan melaksanakan klinik bagi mengendalikan perkhidmatan kepada kanak-kanak kurang upaya. Melalui klinik ini perkhidmatan fisioterapi dan aktiviti pemulihan diberikan kepada kanak-kanak, di samping pendedahan yang diberikan kepada ibu bapa penjaga tentang kaedah penjagaan kepada kanak-kanak mereka.

Bagi memenuhi keperluan para remaja, program kesihatan remaja diperkenalkan di klinik kesihatan. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada para remaja mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling berkaitan dengan kesihatan mereka khususnya kesihatan reproduktif, dan masalah kesihatan yang lain. Antara klinik yang menjalankan aktiviti ini adalah: Klinik Kesihatan Sungai Dua, Klinik Kesihatan Kepala Batas, Klinik Kesihatan Kubang Semang, Klinik Kesihatan Bukit Panchor, Klinik Kesihatan Bayan Lepas, Klinik Kesihatan Taman Tun Sardon.

Bagi memantapkan lagi usaha pembangunan kesihatan masyarakat, berbagai kempen dan promosi kesihatan dilaksanakan bagi tempoh 5 tahun yang lalu. Sejumlah RM1,756,863.00 telah diperuntukkan dan dibelanjakan dalam tempoh berkenaan bagi menjalankan siri Kempen Cara Hidup Sihat dan pendidikan kesihatan kepada masyarakat di negeri ini.

Dengan berbagai usaha yang dilakukan ini diharapkan ia dapat membantu usaha meningkatkan tahap kesihatan masyarakat di negeri ini.
Kembali