Jawapan
a. Projek perumahan yang dibina di Jalan Thamby Kecil, Bagan Ajam adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan bukannya Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Konsep perumahan ini adalah untuk disewakan bagi tempoh selama lima tahun sahaja. Dalam tempoh tersebut, penghuni-penghuni perlulah berusaha meningkatkan kemampuan untuk membeli rumah sendiri kerana notis untuk mengosongkan unit rumah PPR akan dikeluarkan apabila tamat tempoh sewaan.
Projek di Jalan Thamby Kecil ini dijangkakan siap sepenuhnya pada bulan Jun, 2004 dan pendaftaran permohonan akan dibuka pada bulan Mac, 2004.
b. Syarat-syarat untuk memohon rumah PPR adalah seperti berikut :
i). Warganegara
ii) Berkahwin
iii) Bermastautin di Negeri Pulau Pinang
iv) Suami/isteri tidak pernah memiliki rumah (sekiranya telah ada rumah walaupun telah dijual adalah tidak layak)
v) Tanggungan keluarga sekurang-kurang lima (5) orang (suami + isteri dan tiga orang anak yang masih dalam tanggungan)
vi) Pendapatan tidak melebihi RM750.00 atau pendapatan keluarga tidak melebihi RM1,500,00 sebulan.
vii) Keadaan tempat tinggal sekarang daif
viii) Berkemampuan untuk membayar sewa
ix) Pertimbangan khas kepada pemohon-pemohon kurang upaya/balu-balu pasukan keselamatan/ibu tunggal dan setinggan-setinggan yang terlibat dengan pembangunan projek-projek Kerajaan dengan tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan di atas.
Pada dasarnya kadar sewa bulanan rumah PPR adalah RM100.00 sebulan. Walau bagaimanapun bagi projek ini kerajaan negeri belum lagi menentukan kadar sewa yang sebenar. Bilangan unit yang dibina adalah sebanyak 382 unit. Walau bagaimanapun sebanyak 326 unit sahaja akan dibuka untuk disewakan kepada orang awam, manakala selebihnya sebanyak 56 unit lagi akan diserahkan kepada Pejabat Daerah Seberang Perai Utara sebagai gantian tapak kuarters.