Jawapan
(a) Jumlah bilangan kes demam denggi yang dilaporkan di Negeri Pulau Pinang dari bulan Mac 2008 sehingga 21 Mac 2009 ialah sebanyak 2637 kes dan 34% (893) kes disahkan positif.
(b) Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengurangkan kes demam denggi di negeri ini. Rancangan tersebut yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri iaitu memastikan semua kes yang disyaki denggi termasuk mematuhi kriteria yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu dilapor atau dinotifikasi ke pejabat kesihatan mengikut peraturan di bawah Seksyen 10 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. Bagi setiap kes-kes yang dilaporkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan akan diambil segera tanpa menunggu ujian pengesahan. Tindakan kawalan terutamanya semburan kabus akan dijalankan segera dalam tempoh 24 jam selepas notifikasi diterima. Hasil daripada tindakan ini mendapati 79% penduduk di negeri Pulau Pinang boleh mengenal pasti tempat berpotensi membiak nyamuk Aedes tetapi malangnya hanya 14% sahaja yang mengamalkan aktiviti memusnahkan pembiakan jentik-jentik setiap minggu. Untuk meningkatkan sikap keprihatinan masyarakat, Program COMBI (Communication For Behavioural Impact) telah dilaksanakan di negeri Pulau Pinang. Sehingga kini, terdapat 11 lokaliti yang melaksanakan program ini dan seramai 257 sukarelawan telah dilatih.
Pemeriksaan premis juga dijalankan setiap hari oleh unit vektor dan jadual pemeriksaan ini disiarkan dalam akhbar tempatan bagi memastikan penduduk peka kehadiran pasukan kesihatan yang akan menjalankan pemeriksaan dan tindakan kompaun yang akan dikenakan sekiranya anggota yang menjalankan pemeriksaan menemui pembiakan di premis. Pengumuman ini juga memberi peringatan kepada masyarakat bahawa penghapusan pembiakan perlu dijalankan setiap minggu. Selain itu, peranan media radio, promosi di pasar raya dan maklumat di LCD turut disiarkan sebagai langkah meningkatkan kesedaran awam.
Sehingga 21 Mac 2009, sejumlah 108,111 premis telah diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Negeri. Dalam aktiviti pemeriksaan premis yang dijalankan didapati Index pembiakan yang tinggi ditemui di kawasan tanah lapang di antara premis kediaman yang dijadikan sebagai tempat pembuangan sampah haram. Sehingga 21 Mac 2009, sebanyak 779 premis ditemui positif berpembiakan tetapi 556 (73%) premis positif adalah premis tanah lapang dan sebagainya.
Bagi mengatasi masalah ini, aktiviti gotong royong dengan lebih kerap agar penduduk lebih peka dan turut memikul tanggungjawab bersama dalam menghapuskan pembiakan dan tidak menyediakan bekas berpotensi di persekitaran. Sehingga 21 Mac 2009, sebanyak 59 gotong royong telah berjaya dianjurkan. Aktiviti pendidikan kesihatan seperti ceramah, sebaran risalah, poster dan nasihat secara individu mengenai denggi juga diberikan kepada penduduk.
Selanjutnya, bagi mengatasi pembiakan aedes di dalam premis, Jabatan Kesihatan telah mengambil langkah menyediakan bekalan ubat pembunuh jentik-jentik (Abate) di klinik-klinik kesihatan secara percuma. Bagi sepanjang tahun 2009, 9750 peket abate telah diedarkan. Ia memberikan kemudahan kepada masyarakat untuk memastikan bekas yang menakung air tidak menjadi tempat pembiakan aedes.
Aktiviti-aktiviti penguatkuasaan iaitu mengeluarkan kompaun sehingga maksimum RM500 kepada pemilik premis yang didapati mempunyai tempat pembiakan nyamuk aedes dijalankan secara berterusan sehingga 21 Mac 2009, sebanyak 205 kompaun telah dikeluarkan dan hasil kutipan sejumlah RM10,840 telah dikumpulkan dan 23 notis amaran telah dikeluarkan.
Selain itu, aktiviti semburan kabus merupakan tindakan yang dijalankan dalam mengawal populasi nyamuk aedes di kawasan kes dan kawasan yang dikesan mempunyai index aedes yang tinggi. Semburan kabus tidak dilaksanakan dengan meluas bagi memastikan tahap ke rintangan nyamuk pada racun tidak berlaku dengan cepat. Sehingga 21 Mac 2009, sebanyak 258,629 premis telah disemburi kabus.
Selain itu, mesyuarat berkala bersama pelbagai agensi turut diadakan untuk tindakan segera semua pihak bersama pejabat kesihatan, MPPP dan MPSP dalam mengawal kejadian demam denggi. Di samping itu, Bilik Gerakan peringkat negeri dan daerah dibuka pada setiap hari termasuk hari cuti semasa wabak.