Jawapan
9. Kerajaan Negeri menyedari bahawa ada segelintir remaja-remaja kini menghadapi masalah dalam bidang pendidikan sehingga meninggalkan kesan dalam aspek sosial dan jenayah. Walau bagaimanapun, isu ini melibatkan tanggungjawab banyak pihak seperti jabatan-jabatan kerajaan lain dan peranan masyarakat itu sendiri.
Di antara langkah-langkah yang telah diambil ialah:
a) Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menempatkan pegawai polis di semua sekolah menengah dan sekolah rendah (difikirkan perlu) yang dikenali sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah bagi mengawal selia serta mendidik di mana pegawai yang dilantik akan sentiasa mendampingi, bekerjasama dan berinteraksi dengan pihak sekolah dan murid-murid sebagai langkah awal pencegahan jenayah bagi menyemai perasaan negatif dan benci kepada perlakuan yang melanggar undang-undang;
b) Jabatan Kebajikan Masyarakat melatih guru-guru dalam kursus Literasi Undang-undang untuk memberi penerangan kepada guru-guru memahami peraturan dan membuat tindakan mengikut prosedur yang betul. Selain itu, Jawatankuasa Petugas Anti Ponteng Daerah- Penglibatan PPD, PDRM dan Jabatan-jabatan lain telah diwujudkan. Kerjasama dan permuafakatan antara PPD Daerah bersama PIBG juga telah ditubuhkan pada tahun 2009.
c) Program Pendidikan yang diadakan adalah bagi mencegah murid-murid sekolah terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan menyalahi undang-undang dan tidak bermoral sama ada di dalam atau pun di luar sekolah. PDRM Pulau Pinang telah mengadakan 145 sesi ceramah dan 98 sesi dialog sepanjang tahun 2008;
d) Sebanyak 130 program pameran telah dijalankan iaitu pameran pencegahan jenayah, penyalahgunaan dadah, keselamatan jalan raya dan lain-lain subjek yang boleh membantu mempertingkatkan tahap keselamatan diri dan kesedaran sosial mereka;
e) Pihak PDRM juga telah melibatkan diri di dalam segala aktiviti sosial yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti sukan, pasar ria, lawatan perkhemahan dan lain-lain yang mana disepanjang tahun 2008 sebanyak 86 siri kegiatan social telah diadakan di seluruh Pulau Pinang. Sebanyak 11 sesi kaunseling telah dianjurkan dan 65 siri mesyuarat telah dijalankan di antara PDRM dan sekolah. Pegawai Perhubungan Sekolah juga mengadakan lawatan sekurang-kurangnya dua minggu sekali, sebanyak 2,386 siri lawatan telah dijalankan dalam tahun 2008; dan
f) Jabatan Kebajikan Masyarakat pula telah menjalankan beberapa program dengan menggunakan pendekatan tersendiri iaitu pelaksanaan program Kelab Pencegahan Jenayah di semua sekolah menengah dan rendah. Pelbagai seminar PIBG bagi setiap daerah diadakan bagi menimbulkan kesedaran mengenai isu-isu remaja ini. Bagi remaja-remaja bermasalah pula, Program Jati Diri Sekolah Menengah telah dilaksanakan dan begitu juga dengan Program Rancangan Integrasi Murid Perpaduan (RIMUP) untuk meningkatkan semangat perpaduan di kalangan remaja.