Jawapan
Akauntabiliti adalah membawa maksud kebertanggungjawaban untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Bagi penjawat awam, pelaksanaan tugas dan tanggungjawab ini adalah dibuat berasaskan kepada kuasa-kuasa yang diperolehi melalui proses perundangan. Akauntabiliti dalam perkhidmatan awam adalah merupakan pra syarat kepada penurunan kuasa yang diberikan dan ini diterjemahkan dalam bentuk pembahagian tugas yang telah ditentukan bagi sesuatu perjawatan yang disandang.
Adalah menjadi kewajipan bagi pegawai Kerajaan untuk mematuhi peraturan-peraturan berhubung dengan perkhidmatan yang diberikan semasa melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan. Hakikat ini dapat dilihat menerusi kewajipan mematuhi peraturan sedia ada berkaitan dengan pengurusan kewangan, pengurusan pejabat, pengurusan sumber manusia, kawalan keselamatan fizikal dan dokumen serta aktiviti yang berkaitan. Penjawat awam boleh dikenakan tindakan surcaj dan tindakan tatatertib sekiranya terdapat pelanggaran ke atas peraturan tersebut.
Terdapat pelbagai undang-undang dan peraturan yang diguna pakai bagi memastikan sistem akauntabiliti tersebut dilaksanakan secara berkesan dan di antaranya termasuklah:-
i) Perlembagaan Persekutuan
ii) Perlembagaan Negeri
iii) Akta Pencegahan Rasuah
iv) Akta Rahsia Rasmi 1972
v) Akta Audit 1957
vi) Perintah Am dan Arahan Perkhidmatan
vii) Pekeliling Perbendaharaan
viii) Surat Pekeliling Perbendaharaan
ix) Akta Acara Kewangan 1957
x) Akta-akta lain yang berkaitan