MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah pelan kecemasan untuk Jambatan Pulau Pinang dan jeti jikalau berlakunya kemalangan yang besar?
Dun -
Exco LHS
Perkara Invest Penang

Jawapan
24. Penang Port Sdn Bhd (PPSB)

(a) Pihak Berkuasa bagi kedua-dua kawasan mempunyai jalan kecemasan masing-masing jikalau berlakunya kemalangan besar. Sekiranya berlaku kecemasan di terminal feri, Penang Port Sdn. Bhd akan mempertingkatkan lagi kawalan trafik dengan menambah kakitangan keselamatan di setiap sudut pintu-pintu masuk, kawasan-kawasan menunggu dan pintu-pintu keluar feri dan terminal.

(b) Sekiranya berlaku kemalangan besar di Jambatan Pulau Pinang, pihak syarikat akan bertindak pantas mengikut response time yang telah ditetapkan (dalam masa 20 minit) sekiranya berlaku sebarang kecemasan di mana Pasukan Penang Bridge Ronda (PB Ronda) akan bertindak
memindahkan keluar kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ataupun mengalami kerosakan. Sekiranya kejadian yang berlaku adalah di luar kawasan dan keupayaan pasukan PB Ronda akan menghubungi agensi-agensi dan pihak berkuasa tempatan iaitu Polis, Bomba, Ambulan dan sebagainya untuk tindakan susulan.

(c) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Pulau Pinang telah mengambil beberapa langkah yang terbaik bagi menghadapi sebarang kemungkinan kemalangan di kedua-dua lokasi tersebut.

Kemalangan di Jambatan Pulau Pinang.

(i) Jika kemalangan berlaku di kedua-dua laluan jambatan, jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dan Jalan Perak akan menghadiri kemalangan tersebut. Jarak dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai ke tol masuk ke Jambatan Pulau Pinang ialah sejauh 700 meter dan mengikut masa Response Time yang telah diukur ialah 3 minit pada waktu puncak. Manakala jarak Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak ke Jambatan Pulau Pinang ialah sejauh 5 kilometer dengan masa Response Time pada waktu puncak ialah 45 minit.

(ii) Balai Bomba dan Penyelamat Perai dan Jalan Perak juga dilengkapi dan keanggotaan dengan Unit RIM ( Rapid Intenvation Motorised ) iaitu 3 buah motorsikal berkuasa 750cc yang dilengkapi dengan pam, alat memadam kebakaran kenderaan dan peralatan memotong bagi kerja-kerja penyelamatan. Unit ini akan bergerak terus dari kedua-dua buah balai jika menerima sebarang panggilan kecemasan di atas jambatan dan masa yang telah diukur untuk sampai lebih kurang 2 minit dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dan 6 minit dari Balai Bomba dan Penyelamat, Jalan Perak.

(iii) Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah menubuhkan satu lagi unit baru di dalam jabatan iaitu Unit EMRS ( Emergency Medical Rescue Service) yang mana kedua-kedua Balai Bomba dan Penyelamat ini juga turut dibekalkan dengan kenderaan Ambulance. Walau bagaimanapun setiap jentera bomba yang hadir kemalangan di atas jambatan di dalam akan ada seorang anggota paramedic bagi kerja-kerja bantuan perubatan di peringkat awal.

(v) Jabatan Bomba dan Penyelamat menghadapi sedikit masalah untuk mendapatkan sumber bekalan air yang banyak bagi kerja-kerja pemadaman jika berlaku sebarang kemalangan yang memerlukan penggunaan air yang banyak kerana di atas jambatan tiada kemudahan pili bomba. Bagi mengatasi masalah ini jabatan telah dibekalkan dengan kemudahan jentera tangki dengan kapasiti air sebanyak 10,000 liter yang ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak. Manakala setiap jentera bomba mengandungi 3,636 liter air di dalam tangki tanpa bantuan pili bomba.

(iv) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sedang membina pangkalan udara bagi Zon Utara yang telah hampir siap sepenuhnya dan dijangka mula beroperasi pada awal Julai 2009 di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.






Kemalangan di Jeti.

(i) Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai dan Butterworth adalah Balai Bomba yang terdekat dengan kedua-dua jeti. Jarak Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth ke Jeti Sultan Abdul Halim sejauh 500 meter dengan masa 2 minit waktu puncak dan jarak Balai Bomba dan Penyelamat, Lebuh Pantai ke Jeti Pengkalan Raja Uda atau Weld Quay ialah sejauh 500 meter dan masa diambil ialah 2 minit.

(ii) Pra Rancang adalah satu pelan tindakan kecemasan telah dibuat oleh balai kawasan jagaan iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai dan Butterworth bagi kawasan jeti yang mengandungi maklumat seperti berikut:

- Jarak, masa dan laluan balai-balai bomba yang terdekat dengan dengan kawasan jeti untuk sampai jika berlaku kecemasan;

- Senarai dan kedudukan sistem kebombaan yang terdapat di bangunan jeti yang boleh digunakan oleh pekerja dan pengguna jeti semasa kecemasan. Lokasi pili bomba dan access jentera bomba;

- Cara dan teknik yang akan digunakan semasa elaksanakan kerja-kerja pemadaman kebakaran dan penyelamatan. Bilangan jentera dan anggota yang mungkin terlibat;

- Kajian risiko-risiko yang mungkin berlaku dan cara bertindak;

- Masalah yang mungkin dihadapi dan cara mengatasinya;

- Nombor dan alamat agensi bantuan yang lain untuk dihubungi;

- Pelan ini sentiasa dikemaskini maklumat di dalamnya pada setiap tahun bagi memastikan tiada berlaku sebarang kelemahan semasa operasi; dan

- Untuk makluman, kelengkapan peralatan kebombaan yang disyaratkan untuk diadakan didalam bangunan di kedua-kedua jeti iaitu sistem pasif sahaja.

(iii) Pihak Bomba tidak menghadapi masalah berkaitan dengan punca bekalan air kerana boleh menggunakan air laut dan pili bomba di dalam kawasan jeti sebanyak 4 unit. Pemeriksaan dan penyelenggaraan pili bomba sentiasa dijalankan oleh unit pili bomba balai bagi memastikan airnya dapat digunakan semasa kecemasan.

(v) Penyelamatan di air.

Jabatan Bomba dan Penyelamat juga mempunyai kelengkapan menyelamat di air seperti unit SCUBA dan Unit Bot Dolphin.

- Unit Skuba
Unit ini di tempatkan di bawah pengurusan balai Bomba Perai di mana kekuatan anggota seramai 18 yang terlatih khas dalam bidang ini.

- Unit Bot Dolphin dan Kevler ( berkuasa tinggi)
Unit ini ditempatkan dibawah seliaan Bahagian Operasi Negeri dan akan diaktifkan sekiranya terdapat kemalangan besar di kawasan perairan Selat Melaka khususnya Negeri Pulau Pinang dan juga kawasan yang berdekatan.


- Unit Jet-ski/ bot-bot kecil
Bertindak segera berdasarkan kemalangan di air dan ditempatkan di Balai Bomba Bagan Jermal, manakala unit–unit bot kecil juga ditempatkan di kedua-dua belah bahagian, (bahagian pulau dan bahagian Tanah Besar) dibalai-balai yang strategik bagi mengawal kemalangan yang berlaku sekitar Negeri Pulau Pinang. Setiap anggota yang mengendalikan unit-unit ini telah mendapat pendedahan dan latihan yang baik khas dalam bidang yang berkaitan.

- Jabatan Bomba dan Penyelamat, Malaysia sedang membina pangkalan udara bagi zon utara yang telah hampir siap sepenuhnya dan dijangka mula beroperasi pada awal Julai 2009 di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang

(vi) Bangunan jeti adalah jenis bangunan terbuka, oleh itu risiko berlakunya kebakaran agak rendah dan ianya juga mempunyai jalan keluar yang banyak bagi pengguna untuk melepaskan atau menyelamatkan diri jika berlaku sebarang kebakaran.


Kembali