MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menaik taraf kawasan-kawasan pelancongan yang sedia ada untuk menarik kedatangan pelancong asing? Jika ada, sila huraikan. Jika tiada, mengapa?
Dun -
Exco LHK
Perkara ADUN

Jawapan

Negeri Pulau Pinang amat bertuah kerana dikurniakan dengan
kekayaan dari segi kepelbagaian produk pelancongan. Produk
pelancongan ini termasuk tempat yang menarik yang terletak di
persisiran pantai, bukit-bukit, pulau-pulau yang kecil disekeliling
dan keindahan semulajadi disamping bangunan warisan,
kepelbagaian budaya dan makanan enak.
Pada tahun 2008, Pulau Pinang telah dikunjungi lebih kurang 6.3
juta pelancong berbanding 5.1 juta pelancong pada tahun 2007. Ini
menunjukkan peningkatan sebanyak 21 peratus.
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menarik kedatangan
pelancong asing ke negeri ini memandangkan pelancongan
merupakan aset penting yang mampu membawa Pulau Pinang di
mata dunia. Di antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan
Negeri ialah:
1. Perlaksanaan Projek-projek Pembangunan Pelancongan
Di antara projek-projek yang telah dilaksanakan sebagai produk
pelancongan di Pulau Pinang adalah seperi Batu Feringgi, Taman
Botani, Bukit Bendera, Taman-taman Rekreasi, hutan Lipur dan
juga sebagainya. Selain itu, Kerajaan Negeri sentiasa memelihara
kawasan-kawasan ini dengan menaiktaraf infrastruktur dan
memperindahkan kawasan pelancongan yang sedia ada.
2. Pengikitirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO
Kerajaan Negeri amat berbangga dengan penganugerahan
UNESCO kepada George Town sebagai Tapak Warisan Dunia
pada Julai 2008. Di antara tempat-tempat yang dikategorikan
sebagai produk pelancongan ialah projek Little India, Penang Gold
Bazar, Lebuh Acheh, Lebuh Union, Lebuh Pantai, Upper Penang
Road dan menaiktaraf Padang Kota Lama. Sejajar dengan status
tersebut Kerajaan Negeri juga telah merancang untuk
mempertingkatkan, memulihara dan menambahbaikkan bangunan
warisan dalam zon yang terlibat.
Selain itu, dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020
kawasan selatan pulau telah dikenalpasti sebagai ‘zon pelancongan
dan pemeliharaan pantai’ iaitu bermula daripada Batu Maung
sehingga ke Gertak Sanggul. Ianya bertujuan untuk menambah
produk pelancongan yang sedia ada di negeri ini. Pulau Jerejak
juga telah diwartakan sebagai Taman Negeri di mana segala
pembangunan di masa hadapan adalah menjurus kepada aktiviti
pelancongan.
3. Produk ‘Mesti Beli’ Di Pulau Pinang
Kerajaan Negeri turut bercadang untuk menjadikan dua belas
barangan sebagai produk yang harus dimiliki oleh pelancong yang
mengunjungi Pulau Pinang. Produk berkenaan adalah Biskut
Tambun, Buah Pala, Jeruk, Batik, Capal, Songkok, Rojak, Kuih
Bahulu, Sangkar Burung, Belacan, Kasut Teromah dan barangan
porselin.
Bagi tahun 2009, Kerajaan Negeri berharap agar dapat menarik
lebih kurang 6.5 juta pelancong melalui kepelbagaian program dan
aktiviti menarik di Pulau Pinang. Namun demikian, tumpuan juga
akan diberi kepada menaiktaraf kawasan-kawasan pelancongan
yang sedia ada.
4. Bukit Bendera
Bukit Bendera merupakan salah satu tempat tarikan utama Pulau
Pinang. Banyak pelancong mengunjungi Bukit Bendera untuk
menikmati udara yang nyaman serta pemandangan Pulau Pinang
dari puncak setinggi 735 meter dari aras laut.
Para pengunjung boleh menaiki keretapi kabel dari Air Itam atau
meredah hutan melalui trek yang telah tersedia dari Taman Botani
Pulau Pinang untuk sampai ke puncak Bukit Bendera.
Di situ, para pengunjung boleh menjamu selera di restoran, gerai –
gerai makanan dan warung teh sambil menikmati keindahan Bukit
Bendera. Selain itu, pengunjung juga boleh melawat taman
burung, masjid dan kuil yang dibina untuk komuniti Bukit
Bendera. Mereka yang berminat bermalam di Bukit bendara juga
boleh menyewa bilik ataupun bungalow.
Tambahan pula, di puncak Bukit Bendera juga mempunyai sebuah
meriam bermuatan 32 paun. Adalah dipercayai yang meriam ini
merupakan salah satu daripada empat meriam yang terbaik di
dunia dan dibuat sekitar tahun (1796). Sehingga kini, meriam
tersebut berada dalam keadaan yang baik dan bebas dari karat.
Kerajaan Negeri juga bercadang untuk mempelbagaikan dan
memperbaharui lagi kemudahan untuk menjadikan ia sebagai pusat
eko-pelancongan.
5. Kota Cornwallis
Antara salah satu daripada projek yang sedang diteruskan ialah di
mana fasiliti-fasiliti dan aktiviti-aktiviti kebudayaannya di Kota
Cornwallis akan dinaik taraf dari masa ke semasa.
Kota lama yang berbentuk bintang yang terletak ditimur laut Pulau
Pinang dibina oleh Francis Light dengan menggunakan kayu
nibong tanpa binaan kekal yang melitupi kawasan seluas 417.6
kaki persegi.
Pada tahun 1804, kota ini dibina semula dengan batu-bata dan batu
dan siap sepenuhnya pada tahun 1810. Ia bertujuan bagi
mempertahankan kepentingan British dari serangan Perancis.
Pada asalnya ia dibina bagi kegunaan tentera. Namun, fungsinya
lebih kepada pentadbiran berbanding pertahanan dan ia tidak
pernah terlibat dalam sebarang pertempuran. Selain digunakan
oleh pasukan artileri Diraja United Kingdom, kota ini pernah
diduduki oleh Polis Sikh Negeri-negeri Selat pada tahun 1920-an.
Ia kini merupakan tumpuan pelancong di Georgetown dan di sana
terdapat galeri sejarah, kedai cendera hati dan Meriam Sri Rambai.
Kini, ia merupakan salah satu tarikan pelancong utama Pulau
Pinang dan Kerajaan Negeri telah bercadang untuk mengadakan
persembahan tradisional mingguan di kota tersebut. Lokasi serta
infrastruktur Kota Cornwallis amat bersesuaian dan ini juga
berfungsi untuk meningkatkan kesedaran orang ramai serta para
pelancong akan kebudayaan masyarakat majmuk Pulau Pinang
disamping menyediakan lebih hiburan sihat untuk para pelancong.
Kerajaan Negeri juga telah membuat keputusan untuk tender
secara terbuka untuk mempelawa konsep baru bagi Kota
Cornwallis. Pembaharuan sedemikian akan memberi nafas baru
kepada warisan Pulau Pinang ini.
6. Pulau Aman
Pulau Aman merupakan sebuah pulau kecil yang terletak di dalam
daerah Seberang Perai Selatan. Para pengunjung perlu menaiki bot
selama lima minit untuk pergi dari Jeti Gua Musang atau dari jeti
Bukit Tambun ke jeti kepulauan yang indah dan tenteram itu.
Antara aktiviti-aktiviti para pengunjung biasanya ialah
memancing, meredah hutan dan aktiviti sukan air. Di Pulau Aman
juga terdapat tempat yang bersejarah seperti Telaga Emas dan Batu
Perompak yang masing-masing mempunyai sejarah atau cerita
yang menarik. Suatu masa dahulu kawasan Batu Perompak
merupakan kawasan persembunyian lanun dan disitu juga terdapat
sebuah kubur yang dipercayai adalah kubur ketua lanun yang
bernama Panglima Garang.
Pulau Aman lengkap dengan lebih daripada sepuluh chalet-chalet
kediaman dan dua puluh pengusaha “homestay”. Para pengunjung
gemar tinggal bersama-sama penghuni-penghuni “homestay”
kerana ia merupakan pengalaman yang unik terutamanya bagi para
pelancong dari Barat.
Para pengunjung juga dapat menikmati Mee Udang yang enak dan
juga makanan laut yang segar telah menjadi tarikan para
pengunjung dari dalam dan luar negara.
Memandangkan Pulau Aman merupakan destinasi ekopelancongan
dan menjadi pilihan para pengunjung yang ingin
menikmati suasana tenang dan keindahan semulajadi alam, maka
tumpuan yang perlu di beri ialah kepada memastikan Pulau Aman
kekal bersih dan bebas daripada pencemaran dan juga untuk
mempertingkatkan kemudahan yang sediaada. Jawatankuasa
MMK Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan
Warisan akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk
mempromosikan eko-pelancongan di Pulau Aman dengan lebih
giat lagi.
7. Hutan Lipur
Pembangunan kemudahan infrastruktur dan akitiviti rekreasi hutan
lipur di Telok Bahang, Bukit Mertajam dan Bukit Panchor juga
turut dilakukan. Disamping itu, agensi-agensi kerajaan turut
memberi kerjasama seperti Jabatan Perhutanan telah menyiapkan
kerja-kerja pembangunan iaitu seperti membaiki laluan pejalan
kaki di kawasan tersebut.
8. Taman Negara Pulau Pinang.
Bagi para pengunjung yang gemar akan persisiran pantai yang
bersih dan alam semulajadi yang masih terpelihara, Taman Negara
Pulau Pinang merupakan pilihan yang terbaik sebagai tempat
berkunjung.
Taman Negara Pulau Pinang juga merupakan satu-satunya taman
negara yang terkecil dan terletak paling dekat dengan pusat
bandar. Tasik Meromitik di Taman Negara Pulau Pinang juga
merupakan tasik yang unik dan tidak terdapat di lain-lain tempat di
Malaysia dan Asia. Sejak Taman Negara Pulau Pinang dirasmikan
pada 5hb Januari 2008.
Taman Negara Pulau Pinang ini lengkap dengan pelbagai
kemudahan asas seperti pos kawalan renjer, tandas, dewan, tapak
perkhemahan, tempat memasak dan jeti.
Bagi memastikan pengunjung selesa, pihak pengurusan Taman
Negara Pulau Pinang kini juga sedang menaik taraf tandas, pondok
wakaf dan tapak perkhemahan.
Tarikan terbaru Taman Negara Pulau Pinang adalah jambatan
gantung atau Canopy Walk yang berukuran 200 meter panjang.
Mengikut perancangan, titian ini akan dibuka secara rasminya
pada bulan Mei. Yuran masuk ke titian tersebut bagi orang dewasa
adalah RM5 dan para pelajar yang berpakaian seragam sekolah
dan budak-budak di bawah 12 tahun perlu membayar yuran masuk
sebanyak RM3 setiap orang.
Projek pembangunan sedang dalam fasa terakhir iaitu mendirikan
papan tanda. Di samping itu, kerja-kerja naik taraf galeri dan
auditorium telah pun siap. Pelawat ke Taman Negara Pulau Pinang
akan diberi taklimat ringkas mengenai Taman Negara Pulau
Pinang sebelum dibawa melawat galeri Taman Negara. Taklimat
ringkas dan galeri ini akan memberikan pengunjung lebih banyak
maklumat mengenai flora dan fauna yang terdapat di Taman
Negara Pulau Pinang. Jabatan Perhilitan juga dalam proses
menjalankan latihan kepada kakitangan Taman Negara Pulau
Pinang.
Oleh kerana tumpuan para pengunjung adalah untuk aktiviti ekopelancongan
seperti meredah hutan, memerhati burung-burung
serta penyu dan pelbagai lagi flora dan fauna, lebih tumpuan akan
diberikan kepada mempromosikan Taman Negara Pulau Pinang
sebagai tempat yang mesti dikunjungi pelancong.
9. Kelip-Kelip Nibong Tebal
Populasi kelip-kelip yang terdapat di sepanjang Sungai Kerian
merupakan satu produk eko-pelancongan yang penting di Negeri
Pulau Pinang. Kerjaan Negeri membantu dengan menyalurkan
peruntukkan kewangan berasaskan cadangan membaikpulih atau
meningkatkan kemudahan kawasan tarikan pelancong. Untuk
mengekalkan keindahan tarikan pelancongan ini, lebih banyak
pokok berembang yang merupakan habitat utama kelip-kelip akan
ditanam di sepanjang Sungai Kerian untuk menperbesarkan lagi
populasi kelip-kelip.
Di samping itu, kawasan perkampungan nelayan Sungai Udang
mempunyai potensi menjadi tempat tuju bagi para pelancong
dengan makanan laut yang segar dan sedap. Selain itu, penduduk
tempatan juga boleh menjual barangan tempatan seperti keropok
udang dan lain-lain kepada para pelancong. Cadangan pembinaan
sebuah “pontoon” di dermaga sungai udang adalah agar para
pelancong mempunyai satu akses yang sesuai dan selamat.
10. Taman Botani
Taman Botani telah berkembang dari segi keluasan pada beberapa
tahun yang lalu melalui pelan pembesaran taman botani dan projek
taman rekreasi kuari. Untuk tahun 2009 dan 2010, Jabatan Taman
Botani akan melaksanakan beberapa projek seperti pavilion
pelancongan yang merupakan pusat informasi pelancong, facade
baru pintu masuk utama taman botani, ”eco-stream walk”, dan
“Bambusetum” yang terdiri daripada koleksi pokok-pokok buluh
yang berlainan jenis dan sebuah perkampungan yang diperbuat
daripada buluh.
Selain itu, kerja-kerja naik taraf produk eko-pelancongan sedia ada
dan kemudahan am di taman botani akan dilaksanakan secara
berperingkat pada tahun 2009. Ini termasuk penambahan tempat
letak kereta dan bas pelancong di taman botani. Untuk tahun 2010,
kerja penyelanggaran kawasan sungai akan dilaksanakan untuk
menjadikan kawasan tersebut tempat beriadah dan tempat rekreasi
air. Disamping itu, jabatan botani juga akan menyediakan satu
tempat pameran bunga-bungaan untuk program pelancongan
tahunan seperti Pesta Bunga.
11. Clan Jetty
Sepanjang pinggir laut pengkalan kota, terdapat beberapa
perkampungan kaum Cina yang dibina lebih daripada seratus
tahun dahulu. ”Clan Jetty” merupakan salah satu warisan Pulau
Pinang. Ramai pengunjung dari negara asing mengunjungi
perkampungan tersebut untuk melihat dengan sendiri keunikan
kawasan perkampungan, tradisi dan kebudayaan penduduk
perkampungan tersebut.
Salah satu acara tahunan di perkampungan tersebut adalah pada
hari ke-sembilan Tahun Baru Cina di mana rakyat cina akan
mengadakan acara pemujaan Dewa secara besar-besaran termasuk
persembahan tarian singa dan naga. Pengunjung juga boleh
bermakan malam di perkampungan tersebut sambil mempengalami
cara hidup penduduk tempatan tersebut.
Kerajaan Negeri telah bercadangan untuk melaksanakan
program ”Home-stay” dan untuk menawarkan perkhidmatan bot
untuk membawa pelawat mengelilingi Pulau Pinang dari Jeti
Chew. Kami yakin pemandangan yang indah mengeliling Pulau
Mutiara ini juga akan menjadi antara tarikan bagi pelancong
terutamanya mereka yang gemar akan eko-pelancongan.
Kembali