MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah sebabnya tindakan-tindakan penguatkuasaan oleh MPPP tidak diambil ke atas penjaja, gerai-gerai haram serta pengubahsuaian bangunan serta tambahan haram kepada bangunan walaupun terdapat banyak aduan sejak kebelakangan ini?
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara ADUN

Jawapan
1. Buat masa ini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengamalkan konsep penguatkuasaan berhemah. Para penjaja tanpa lesen akan diberi nasihat demi nasihat berhubung pelaksanaan dan keperluan lesen serta memaklumkan mengapa mereka tidak boleh berniaga di sesuatu tempat.

Setelah nasihat diberi, MPPP akan mengeluarkan notis rasmi memaklumkan pelanggaran undang-undang berkaitan. Jika perniagaan masih diteruskan, maka notis Pemberitahu Tentang Kesalahan (PTK) akan dikeluarkan kepada penjaja-penjaja tersebut.

Tindakan rampasan dan perobohan hanya akan dilakukan ke atas kes-kes yang serius dan melibatkan kes aduan awam, kesesakan lalu lintas dan kacau ganggu awam.


Bagi struktur-struktur binaan haram yang dibina di atas tanah persendirian, notis di bawah Sek. 72, Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 akan dikeluarkan. Sekiranya kehendak notis-notis tidak dipatuhi, maka tindakan penguatkuasaan atau mahkamah akan diambil terhadap struktur haram yang berkaitan.

Terdapat juga kes-kes tertentu yang tindakan penguatkuasaan tidak dapat diteruskan dan terpaksa ditangguhkan.

Bagi struktur haram yang dibina di atas tanah milik Kerajaan, Pejabat Tanah Daerah Timur Laut/Daerah Barat Daya (DTL/DBD) akan mengambil tindakan di bawah peruntukan Kanun Tanah Negara, 1965.

Sepanjang tahun 2008, sebanyak 303 kes rampasan/perobohan penjaja haram dan 27 kes ke atas bangunan dan tambahan haram telah diambil tindakan oleh MPPP.

Kembali