MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah rancangan pembangunan yang akan dibuat oleh kerajaan terhadap semua tanah yang terbiar di bawah talian kabel elektrik, tanah-tanah terbiar yang berada di bawah jambatan JKR, tanah-tanah JPS di tebing sungai, tanah-tanah di tepi landasan kereta api, semak-samun yang berada di tepi jalan raya dan lain-lain lagi?
Dun -
Exco KM
Perkara ADUN

Jawapan
Tanah-tanah yang berada di bawah kabel talian TNB sama ada laluan TNB 132 KV atau 275 KV adalah tanah-tanah persendirian. Pihak TNB menggunakan ruang udara lot-lot yang terlibat melalui Akta Bekalan Elektrik 1990, di mana nilai kerosakan dan kecacatan tanah akibat laluan tersebut dibayar oleh TNB kepada tuan-tuan tanah. Memandangkan tanah-tanah tersebut adalah tanah milik persendirian, maka kerajaan tidak ada perancangan untuk membangunkan tanah-tanah tersebut.

Manakala tanah-tanah tepi jalan yang dirizabkan sebagai R.O.W JKR, tanah-tanah rizab sungai JPS, dan tanah-tanah rizab Kereta api (KTM), ianya tidak boleh digunakan untuk lain-lain tujuan, dan perlu kekal sebagaimana yang dirizabkan. Penyelenggaraan tanah-tanah ini dijalankan oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab menjaga tanah rizab tersebut.

Bagi tanah rizab JPS di tebing Sungai, JPS telah mengenal pasti beberapa kawasan Sungai yang berpotensi dan boleh diusahakan untuk projek-projek pertanian seperti di rizab Sungai Muda dan rizab Sungai Rambai. Permohonan boleh dibuat melalui YB Exco Pertanian dengan syarat keluasan tapak dan jarak dari tebing Sungai perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan dari JPS. Bagi rizab Sungai yang lain, JPS tidak membenarkan sebarang aktiviti dijalankan dalam kawasan tersebut kerana JPS memerlukan nya untuk tujuan penyelenggaraan sungai.

JKR tiada rancangan pembangunan terhadap semua tanah yang terbiar di bawah jambatan JKR dan semak-samun yang berada di tepi jalan raya. Semua tanah yang terbiar di bawah jambatan JKR akan digunakan sebagai laluan untuk penyenggaraan jambatan tersebut. Manakala semak samun yang berada di dalam rizab dan di tepi jalan akan digunakan bagi tujuan perancangan masa depan untuk pelebaran jalan.





Kembali