Jawapan
Bentuk-bentuk bantuan Kerajaan Negeri dalam membantu perniagaan dan juga permodalan peniaga-peniaga, khususnya peniaga-peniaga Bumiputera dalam Halal Hub di Pulau Pinang ialah seperti berikut:
1) Permodalan
(a) Membantu usahawan mendapatkan maklumat dan menjalinkan hubungan perniagaan dengan bank-bank Islam dari timur tengah seperti Asian Finance Bank, Kuwait Finance House, Al-Rajhi Bank dan Unicorn Bank.
(b) Para usahawan Bumiputera juga digalakkan untuk sentiasa berbincang dengan agensi-agensi berkaitan seperti MARA, MeCD dan Bank SME untuk memanfaatkan kemudahan geran dan pinjaman yang sedia ada.
2) Khidmat nasihat
Agensi-agensi Kerajaan Negeri seperti investPenang dan PDC sedia membantu usahawan dalam memberikan khidmat nasihat, penerangan dan maklumat yang dapat membantu mengembangkan perniagaan mereka. Ini dipermudahkan dengan adanya jalinan kerjasama yang erat antara agensi-agensi tersebut dengan agensi-agensi persekutuan seperti HDC, MATRADE, MIDA dan SMIDEC. Agensi-agensi Kerajaan Negeri juga bertindak sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan isu-isu usahawan yang berkaitan.
3) Pemadanan Perniagaan
(a) Kerajaan Negeri akan menyertai pameran halal antarabangsa (MIHAS) di MATRADE Kuala Lumpur pada 6 – 10 Mei 2009. Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan MATRADE untuk merancang sesi pemadanan perniagaan khusus untuk para usahawan Pulau Pinang sepanjang pameran tersebut. Tujuannya adalah untuk membantu mewujudkan peluang perniagaan di pasaran luar negara terutamanya untuk usahawan baru.
(b) Kerajaan Negeri kini sedang berusaha gigih untuk memanfaatkan hubungan dua-hala dengan negeri-negeri yang terlibat dengan Pembangunan Wilayah Segi tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT Growth Tringle). Ini akan memberi peluang kepada usahawan untuk menerokai pasaran di Indonesia dan Thailand. Untuk tujuan ini juga, Kerajaan Negeri telah menyertai Program Medan Fair di Medan Indonesia pada Mac-April 2009 yang mengetengahkan industri Halal dari Pulau Pinang.
4) Program pendedahan dan peningkatan upaya
Pihak Kerajaan Negeri telah menganjurkan Seminar Pembangunan Industri Halal Negeri Pulau Pinang pada 22 November 2008. Seminar yang julung kali diadakan ini diadakan khusus untuk mendedahkan usahawan tempatan kepada peluang-peluang pasaran, pembiayaan dan proses pensijilan untuk industri halal. Seminar ini telah berjaya menarik penyertaan hampir 300 usahawan. Kebanyakan usahawan bersedia dan berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka di dalam industri halal. Melalui seminar seperti ini, para usahawan dapat mengenali dan memahami dengan lebih dekat infrastruktur dan insentif halal yang disediakan dan seterusnya memanfaatkan kemudahan dan insentif yang ada. Seminar-seminar yang lebih khusus kepada sektor-sektor halal tertentu, seperti makanan, farmaseutikal dan perhotelan adalah dalam perancangan dan akan dianjurkan dalam masa terdekat. Siri seminar ini akan menekankan peningkatan keupayaan produk/servis halal dari segi pembangunan produk dan proses, R&D dan strategi pemasaran.
5) Persatuan Produk Halal Pulau Pinang
Para usahawan Bumiputera di Pulau Pinang telah memulakan usaha menubuhkan Persatuan Produk Halal Pulau Pinang untuk menyatukan pengeluar dan pembekal produk halal dari Pulau Pinang khususnya, dan negeri-negeri utara Malaysia amya. Kerajaan Negeri akan bekerjasama rapat dengan persatuan tersebut, dan juga agensi lain seperti Dewan Perniagaan Melayu dan Islam Pulau Pinang untuk menganjurkan lebih banyak sesi pemadanan dan pembiayaan perniagaan.
6) Sebagai usaha untuk menggalakkan industri Halal di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melalui PDC pula telah mengenal pasti kawasan seluas 28 ekar di Taman Sains Pulau Pinang (Bukit Minyak) untuk industri Halal. Kawasan ini adalah untuk fasa 1 pembangunan industri Halal dan kawasan yang lebih luas akan diperuntukkan mengikut permintaan. Di samping itu, PDC juga sedang dalam perancangan untuk membina unit-unit kilang siap bina yang dilengkapi dengan kemudahan asas untuk disewakan kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam pengeluaran produk-produk halal.
7) Selain dari itu, setiap tahun Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengadakan Seminar ‘Halalan Toyyiba’ yang memberi pendedahan dari aspek mengeluarkan produk halal lagi baik bagi mendapatkan persijilan halal.
Kerajaan Negeri menjalankan pemantauan terhadap produk-produk halal berasaskan hukum halal dan haram dalam penggunaan barangan melalui JHEAIPP. Langkah pemantauan dijalankan melalui pemberian sijil bagi tempoh 2 tahun sahaja bagi membolehkan pemeriksaan ke atas premis-premis pemilik sijil halal dapat dijalankan sekurang-kurangnya setiap 2 tahun sekali. Sekiranya didapati tidak mematuhi syarat-syarat dan prosedur persijilan halal, tempoh sijil tidak akan dilanjutkan. Lawatan secara berkala dan pemeriksaan mengejut juga akan dilakukan sekiranya terdapat aduan perlanggaran syarat oleh pemilik sijil halal.
Walaupun peluang akan diberikan kepada peniaga Bumiputera, ia tidak akan menghadkan dan kerana pasaran halal yang bernilai USD 2.1 trillian adalah cukup besar untuk semua termasuk peniaga antarabangsa. Yang penting ialah memastikan mutu dan harga munasabah dapat dipertingkatkan kerana pengguna tidak hanya akan membelikan produk yang memenuhi halalan tayyiban sahaja. Lagi pun kerjasama, usaha sama dan kongsi sama semua pihak akan memastikan formula menang-menang yang akan membuka pasaran meluas kepada Pulau Pinang.