MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Sila nyatakan statistik pengangguran yang berlaku di Negeri Pulau Pinang dengan terperinci di semua bidang dan nyatakan rancangan kerajaan negeri untuk menanganinya?
Dun -
Exco TKM II
Perkara Kajian Tempatan

Jawapan
Berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh Suku Ketiga 2008, Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran di Pulau Pinang adalah 1.6 peratus (bersamaan 11,100 penganggur) berbanding kadar pengangguran Malaysia iaitu 3.1 peratus. Kadar pengangguran negeri pada tahun 2009 dijangka meningkat dan dianggarkan sebanyak 1.9 peratus, selaras dengan jangkaan kadar pengangguran Malaysia (4.5 peratus) pada tahun tersebut.

Rancangan Kerajaan Negeri untuk menangani masalah pengangguran ialah:-

1) Kerajaan Negeri telah meluluskan dana sejumlah RM10 juta bagi menangani masalah pengangguran kesan kemelesetan ekonomi.

2) Kerajaan Negeri juga akan menyediakan penempatan pekerjaan sementara serta latihan dan peluang perniagaan kepada pekerja yang telah diberhentikan, para graduan, belia lepasan sekolah dan penganggur.

3) Kerajaan Negeri juga telah mengumumkan penubuhan Pusat Kerjaya dan Latihan Negeri Pulau Pinang (Penang Career Assistance and Training Centre [CAT] ) yang telah dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri pada 4 Mac 2009. Pusat CAT ini bertanggungjawab untuk menghubungkan pekerja yang telah diberhentikan kerja serta individu yang ingin mencari pekerjaan dengan peluang pekerjaan yang ada melalui syarikat-syarikat atau agensi-agensi yang mendaftar dengan pusat CAT, mengenal pasti program latihan yang bersesuaian dan bekerjasama dengan ahli-ahli pusat CAT untuk menyediakan peluang pekerjaan, pembangunan usahawan dan perniagaan.

Pusat CAT ini diuruskan oleh investPenang dengan mendapat sokongan padu daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPPP), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Untuk rekod, sehingga 24 Mac 2009 seramai 851 orang telah berdaftar dengan pusat CAT. Dalam tempoh yang sama juga, sejumlah 2,683 buah kekosongan jawatan turut didaftarkan dengan pusat ini. Kebanyakan jawatan-jawatan kosong ini adalah untuk sektor perkilangan. Lanjutan dari itu, seramai 471 pendaftar yang berkelayakan telah dihubungkan ke syarikat-syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah-langkah berikut bagi mengatasi kesan kemelesetan ekonomi:

1) Fleksibiliti dalam skim pembayaran bagi tanah perindustrian PDC bagi membantu pekerja industri untuk memulakan serta membantu dalam pemasaran dan operasi perniagaan mereka.

2) Menawarkan Program Bimbingan EKS. Program ini disokong oleh SMIDEC dan dilaksanakan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC). Program ini memberi bimbingan dan pementoran perniagaan kepada mereka yang ingin memulakan syarikat Enterpris Kecil Sederhana (EKS) di samping meningkatkan daya saing syarikat-syarikat EKS ini.

3) Menawarkan Program Intervensi EKS di mana kemahiran teknologi maklumat, penekanan kepada budaya berdaya kualiti dan pengurusan perniagaan yang berkesan diberi fokus di bawah program ini untuk memperkembangkan EKS tempatan.

4) Menubuhkan Pusat Latihan dan Reka Bentuk Barangan Kemas untuk meningkatkan kualiti pembuatan barangan kemas bagi mereka yang berminat melalui infrastruktur perisian.

5) Mengadakan seminar dan dialog kepada EKS yang memberi fokus kepada strategi dan langkah-langkah untuk maju dalam perniagaan.

6) Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan dialog antara institusi-institusi kewangan, badan-badan kerajaan dan EKS untuk membuka jalan perundingan bagi mereka yang memerlukan bantuan kewangan dan modal perniagaan.



Kembali