Jawapan
(a) Rancangan Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah kekurangan rumah kos rendah adalah seperti berikut:
i) Mengenal pasti tanah kerajaan yang sesuai untuk pembangunan perumahan dan memberi keutamaan kepada pembinaan rumah kos rendah/sederhana rendah dan rumah mampu milik atas tanah kerajaan melalui projek penswastaan.
ii) Menyediakan dana perumahan melalui penubuhan Jawatankuasa Teknikal Wang Sumbangan yang menyediakan formula wang sumbangan yang akan dikenakan kepada pemaju yang membina 5 unit hingga 99/149 unit mengikut kawasan pembangunan. Dana yang diperolehi akan digunakan bagi tujuan pembelian tanah, pembinaan rumah kos rendah/sederhana rendah dan penyediaan kemudahan infrastruktur asas kepada golongan yang kurang berkemampuan.
iii) Merancang pembangunan semula bagi kawasan perumahan yang tidak sesuai lagi seperti rumah pangsa satu bilik atau dua bilik dan rumah yang telah usang. Kawasan perumahan lama ini dicadangkan dibangunkan semula secara berperingkat dan digantikan dengan perumahan yang lebih selesa dan dilengkapi dengan kemudahan asas yang lebih sempurna.
iv) Menyediakan insentif bagi projek perumahan kos rendah/sederhana rendah yang dimajukan oleh pihak swasta.
v) Melaksanakan penempatan semula bagi penduduk setinggan dan dalam masa yang sama menyusun serta membangunkan semula kawasan setinggan berkenaan. Dasar yang dilaksanakan adalah menyediakan perumahan di kawasan yang sama atau berdekatan kawasan setinggan tersebut bagi mengelakkan masalah sosial yang lebih besar.
vi) Penyediaan perkhidmatan dan kemudahan perumahan yang lengkap seiring dengan kemajuan disediakan dengan menitik beratkan aspek sosial bagi mencapai kualiti hidup yang lebih sempurna.
vii) Membuat kajian semula untuk pengawalan dan pemantauan projek, menaik taraf sistem pendaftaran secara on-line, melaksanakan sistem penawaran dan pengagihan rumah yang lebih tersusun bagi memastikan stok perumahan yang ada dapat diagihkan dengan lebih berkesan dan memenuhi sasaran yang ditetapkan.
viii) Pemantauan kemajuan projek bagi setiap projek perumahan kos rendah/sederhana rendah yang dibangunkan di Negeri Pulau Pinang bagi mengelakkan projek terbengkalai dan dikenal pasti dari peringkat awal lagi melalui laporan yang diterima setiap bulan.
ix) Aspek penyelengaraan bagi projek perumahan yang diselenggara oleh Kerajaan Negeri di beri penekanan bagi mengelakkan kerosakan yang kecil menjadi lebih besar dan penambahbaikan bagi projek perumahan yang dilaksanakan. Penduduk juga di didik tentang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan menerapkan budaya menghargai kemudahan yang disediakan.
Kerajaan Negeri sentiasa meneruskan dasar dan program sokongan bagi memastikan penyediaan perumahan mencukupi bagi penduduk Pulau Pinang, khususnya bagi golongan yang kurang berkemampuan. Pembangunan projek perumahan akan dipantau dengan lebih rapi bagi memastikan pengagihan rumah untuk setiap kaum menggambarkan komposisi kaum yang lebih adil untuk memupuk perhubungan yang lebih baik.
(b) Mengikut maklumat dari MPPP, pihak MPPP tidak menerima permohonan merancang yang mengandungi rumah kos rendah dan sederhana rendah di kawasan Batu Ferringhi dari tahun 2005 - Mac 2009.
(c) Bagi rumah kos rendah atau kos sederhana rendah di kawasan Tanjung Tokong, permohonan kebenaran merancang yang diluluskan oleh pihak MPPP kepada pemaju UDA Holding Berhad adalah sebanyak 466 unit rumah kos rendah. Sila rujuk Lampiran A.