MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan (a) Adakah benar bahawa proses pendaftaran hak milik strata lambat disebabkan wujudnya kaveat persendirian? (b) Adakah benar bahawa masih ada lebih kurang 5,000 hak milik strata yang belum didaftarkan? (c) Adakah benar bahawa cadangan YAB. Ketua Menteri bagi meringkaskan proses pendaftaran hak milik strata telah ditolak oleh PTG Pulau Pinang?
Dun -
Exco KM
Perkara Kajian Tempatan

Jawapan

20. Tidak benar. Kewujudan kaveat persendirian tidak melambatkan proses pendaftaran hakmilik strata. Kaveat persendirian yang dimasukkan oleh individu / badan bertindak untuk menjaga kepentingan individu / badan ke atas tanah terbabit.

Tindakan individu / badan terbabit adalah bersesuaian dengan peruntukan Seksyen 322 Kanun Tanah Negara 1965.

(a) Tidak benar. Rekod di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang menunjukkan hanya sejumlah 2,974 perserahan urusniaga dan bukan urusniaga yang belum didaftarkan bagi tarikh berakhir 31 Mac 2009.


(b) Tidak benar. Cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang diumumkan dalam kenyataan akhbar The Star bertarikh 28 Februari 2009 untuk membantu menyelesaikan masalah urusniaga yang terhalang akibat kaveat pendaftar dalam Penyata Daftar Strata telah diteliti dan pihak Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang telah mengambil tindakan untuk melaksanakan cadangan Y.A.B. Ketua Menteri tersebut.

Bagi merealisasikan cadangan Y.A.B. Ketua Menteri, pihak Pejabat Tanah dan Galian melalui Surat Arahan PTG Bil. 6/2009 bertarikh 4 Mac 2009 telah mengeluarkan arahan bahawa semua pemilik petak yang terhalang daripada meneruskan urusniaga mereka disebabkan oleh pemasukan kaveat pendaftar dalam Borang 3, Penyata Daftar Strata meskipun petak mereka tidak terlibat langsung dengan sebab kaveat pendaftar tersebut dimasukkan, boleh menggunakan Surat Akuan Berkanun yang ditandatangani mengikut tatacara yang diperuntukkan bagi menjelaskan bahawa petak mereka tidak terlibat dengan sebab kaveat pendaftar tersebut dimasukkan.

Sehingga kini, pihak Pejabat Tanah dan Galian masih lagi mengadakan perbincangan dari masa ke semasa dengan pihak Jawatankuasa Peguam Negeri Pulau Pinang untuk membincangkan proses yang dapat mempercepatkan lagi prosedur pendaftaran urusniaga mengikut lunas undang-undang yang dibenarkan. Ini bertujuan supaya kepentingan pemilik petak, pemasuk kaveat dan kerajaan dapat sama-sama dijaga.







Kembali