Jawapan
Menurut laporan oleh Persatuan Perhotelan Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, sejak kejadian bencana Tsunami di pantai-pantai Pulau Pinang, kadar penginapan telah menurun daripada 80 % ke 30% dalam masa seminggu.
Untuk mengatasi masalah tersebut, Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pulau Pinang telah mengambil beberapa tindakan serta merta. Langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pulau Pinang adalah seperti berikut :-
(i) Mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis yang terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Ketua Polis Negeri, Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang, Persatuan Perhotelan Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Penggembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pusat Pelancong Pulau Pinang (PTC), Malaysia Airport Berhad (MAB) dan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Jawatankuasa Pengurusan Krisis tersebut telah mengadakan mesyuarat setiap dua hari sejak bencana tsunami dan telah mengeluarkan tiga kenyataan bersama pada 27hb, 29hb dan 31hb Disember dan dihantar kepada ibu pejabat Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia untuk diedarkan kepada pejabat-pejabat luar negaranya. Selain daripada itu, ketiga-tiga kenyataan ini juga diedarkan kepada pihak media dan agen pelancongan di dalam dan luar negara.
(ii) Pada 29hb Disember, Menteri Pelancongan Malaysia YB Datuk Dr Leo Michael Toyad bersama dengan pegawai kanan Kementerian Pelancongan, telah melawat Pulau Pinang, dan pada persidangan akhbar selepas lawatan tersebut mengumumkan bahawa Pulau Pinang selamat untuk dikunjungi.
(iii) Untuk memberi keyakinan kepada para pelancong dari luar negara supaya terus melawat ke Pulau Pinang, satu cakera padat (DVD) bertajuk “The Impact of Tsunami on Malaysia’s Tourism†yang menumpukan kepada Pulau Pinang telah dikeluarkan oleh pihak Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan diedarkan kepada agen-agen dan media di seluruh dunia melalui pejabat-pejabatnya di luar negara.
(iv) Majlis Tindakan Pelancongan Negeri juga telah menerima lawatan oleh 16 kumpulan wakil-wakil media dan agen pelancongan (Post Tsunami Fam Group) dari luar negara seperti Australia, China, Jepun, Korea, Taiwan, Negara Thai, Hong Kong, Jerman, Indonesia dan Slovakia.
(v) Pejabat-pejabat Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia di luar negara telah diarah oleh ibupejabat untuk mengadakan persidangan akhbar di lokasi masing-masing untuk memaklumkan kepada para agen dan media di kawasan masing-masing mengenai berita terkini dan tepat mengenai keadaan sebenar bencana tsunami di Pulau Pinang dan Malaysia.
(vi) Pihak Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pulau Pinang juga telah mengambil bahagian dalam beberapa pameran pelancongan dalam negara seperti “MAS Travel Fair 2005†dan “MATTA Fair 2005†di Kuala Lumpur, “Asean Tourism Forum 2005†di Langkawi dan pameran di luar negara seperti “NATAS Fair 2005†di Singapura dan “International Tourismus Brose 2005†di Berlin supaya dapat memberi maklumat yang tepat kepada para pelancong.
(vii) Menganjurkan satu karnival pantai di Pantai Tanjung Bunga pada 30 Januari 2005 dengan tujuan untuk membuktikan bahawa pantai-pantai di Pulau Pinang adalah selamat untuk dikunjungi oleh para pelancong.
(viii) Mengadakan promosi melalui iklan Radio Era dan Mix FM.
Langkah-langkah yang diambil adalah berkesan kerana selepas tiga minggu, tiada sebarang lagi pembatalan penginapan di hotel-hotel di Pulau Pinang dilaporkan oleh Persatuan Perhotelan Malaysia (MAH), Cawangan Pulau Pinang. Mengikut laporan oleh MAH, Cawangan Pulau Pinang, kadar penginapan hotel untuk bulan Januari hingga Mac adalah seperti berikut:
Hotel Pantai Hotel Bandar
Januari 40.51% 55.13%
Februari 42.00% 57.60%
Mac 45.62% 65.96%
Walaubagaimanapun, pihak Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pulau Pinang masih menganggap bahawa sektor pelancongan Pulau Pinang masih berada pada peringkat pemulihan dan akan terus berusaha mempromosikannya supaya dapat menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang.