MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri bagi golongan miskin khususnya yang tinggal di dalam bandar.
Dun -
Exco TKM
Perkara -

Jawapan
Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi bantuan kewangan kepada golongan miskin yang layak menerimanya. Bantuan kewangan yang diberi adalah untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik, mereka yang menghadapi masalah kewangan serta kurang upaya supaya dapat mengurangkan atau meringankan kesulitan kewangan yang mereka hadapi buat sementara waktu. Bantuan-bantuan ini akan diberhentikan apabila keluarga/individu telah dapat berdikari ataupun sehingga kepada satu tempoh masa mereka dipulihkan.

Kriteria yang digunapakai untuk dipertimbangkan bantuan dengan mengambilkira pendapatan keluarga tidak melebihi RM 400.00 sebulan

Bantuan kewangan ini terbahagi kepada dua skim iaitu :-

A. Skim Bantuan Persekutuan :-

Skim Bantuan Persekutuan peruntukannya diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan, Jenis-jenis bantuan ;

i. Bantuan Kanak-Kanak :

Tujuan: Membantu kanak-kanak miskin dan kurang bernasib baik dari sesuatu keluarga yang telah hilang pencarian nafkahnya, yang tidak berkemampuan kerana keuzuran.

Kelayakan: Kanak-kanak yatim/yatim piatu, kanak-kanak yang mempunyai ibubapa/penjaga yang tidak berkemampuan, putus pencarian sementara, uzur kerana cacat atau berpenyakit, kanak-kanak yang terpaksa ditinggalkan oleh ibu bapa yang menerima rawatan perubatan. Pendapatan bulanan keluarga tidak melebihi RM 400.00 sebulan.

Kadar : - RM 80.00 sebulan seorang dan maksima RM 350.00 sebuah keluarga.

ii. Bantuan Orang Tua

Tujuan: Membantu orang-orang tua, daif dan tinggal sebatang kara untuk membolehkan mereka hidup dengan lebih sempurna dalam suasana dan alam sekeliling yang biasa bagi mereka

Kelayakan : Membantu orang-orang tua berumur 60 tahun dan lebih yang tiada saudara mara atau mempunyai saudara mara yang tidak berkemampuan dan tiada mata pencarian tertentu untuk menyara kehidupannya.

Kadar: RM 135.00 seorang sebulan



iii. Bantuan anak peliharaan

Tujuan : Membantu kanak-kanak yang tidak mempunyai ibubapa kandung dan tinggal dengan keluarga ganti/pelihara

Kelayakan : Kanak-kanak yang diambil dari institusi, kanak-kanak yang tinggal dengan keluarga ganti/pelihara

Kadar : RM 250.00 seorang maksima RM 500.00

iv. Elaun Pekerja Cacat

Tujuan : Insentif kepada pekerja kurang upaya yang hidup berdikari sebagai ahli masyarakat yang produktif dan berguna.

Kelayakan : Pendapatan diantara RM 20.00 hingga RM 750.00 sebulan seorang.

Kadar : RM 200.00 sebulan


v. Bantuan Pelancaran

Tujuan : Membantu klien JKM yang mempunyai minat dan potensi untuk maju bagi menceburi bidang perusahaan, pertanian, penternakan dsb.
Membolehkan klien JKM menjadi lebih proaktif dan berusaha kearah hidup berdikari dan meningkatkan taraf hidup supaya lebih baik

Kelayakan : Klien jabatan, orang kurang upaya, orang papa, bekas pelatih institusi JKM dan kes seliaan akhlak JKM.

Kadar : RM 2,700.00 sekaligus

vi. Bantuan Alat Tiruan/Sokongan

Tujuan : Membantu orang kurang upaya (OKU), warga tua, atau kanak-kanak yang memerlukan tetapi tidak berkemampuan untuk membeli anggota/peralatan tiruan/sokongan seperti yang disyorkan oleh doktor atau pakar perubatan.

Kelayakan : OKU berdaftar dengan JKM, pendapatan RM 400- RM 500 sebulan. Disyorkan oleh doktor.

Kadar : Kos sebenar (jika melebihi RM 2,000.00 di rujuk kepada Yayasan Kebajikan Negara)

B. Skim Bantuan Am Negeri.

Di biayai dengan peruntukan Kerajaan Negeri. Jenis-jenis bantuan
i. Bantuan Am

Tujuan : Membantu golongan yang tidak berkemampuan dan berkeperluan kerana kemiskinan, kecacatan, usia tua, masalah keluarga, kecemasan dengan memberi bantuan serta merta.

Kelayakan : Pendapatan tidak melebihi RM 400.00 sebulan, orang terdampar dan orang papa, menganggur atau terdedah kepada masalah sosial.
Kadar : antara RM 95.00 - RM 270.00 sebulan *
Baiki rumah maksima RM 2,500.00
* termasuk bantuan tambahan 33.3 % peruntukan MTEN
ii. Bantuan Sekolah

Tujuan : Mengelak berlakunya keciciran sekolah dikalangan kanak-kanak miskin dan kurang bernasib baik.
Meringankan tanggungan ibubapa atau penjaga yang berpendapatan rendah atau mempunyai bilangan tanggungan yang ramai

Kelayakan : Pendapatan keluarga tidak melebihi RM 500.00 sebulan, namun ia masih bergantung kepada bilangan tanggungan keluarga.

Kadar: pakaian RM 90.00 seorang bagi sekolah rendah & RM 110.00 seorang bagi sekolah menengah. Yuran sekolah dan peperiksaan kadar sebenar, Buku kerja/rampaian kadar sebenar dan Tambang/pengangkutan kadar sebenar.

iii. Bantuan Bencana Alam

Antara bantuan yang diberikan ialah :

Bantuan Sekolah - Peralatan sekolah RM 50.00 seorang murid, Pakaian (uniform) RM 70.00 seorang

Pakaian Harian - RM 70.00 seorang
Bantuan Keluarga - maksima RM 40.00 seorang
Bantuan keperluan rumah/dapur maksima RM 100.00 sekaligus
Bantuan memperbaiki rumah maksima RM 2,500.00

Bantuan kehilangan dan memulihkan kehidupan mangsa

Bantuan membaiki rumah maksima RM 2,500.00
Bantuan pemulihan perniagaan kecil melalui geran pelancaran maksima RM 2,700.00
Jumlah maksima keseluruhan bantuan RM 5,000.00
Bantuan kepada petani, penternak dan nelayan yang hilang mata pencarian tertakluk kepada pertimbangan, kelulusan dan kemampuan Kerajaan Negeri (Bantuan ini diuruskan oleh agensi-agensi berkaitan)



iv. Bantuan Latihan Aprentis

Tujuan : Membantu belia/beliawanis terutama anak-anak penerima bantuan/kebajikan yang tercicir persekolahan. Belia/beliawanis ditempatkan dipejabat, kilang dan bidang-bidang tertentu untuk mendapatkan kemahiran. Elaun diberi untuk menampung perbelanjaan harian dan pengangkutan.

Kelayakan : Belia/beliawanis dari keluarga miskin yang tercicir dari persekolahan dan juga penganggur belia/beliawanis dibawah jagaan akhlak, dibawah seliaan lanjutan atau berlesen dari Sekolah Akhlak dan Pusat Perlindungan Wanita & Gadis, belia/beliawanis kurang upaya.

Kadar : RM 200.00 sebulan

Sepanjang tahun 2005 Kerajaan Negeri telah memperuntukan sejumlah RM 2,525,300.00 manakala peruntukan dari Kerajaan Persekutuan sehingga kini diberi sebanyak RM 6,460,000.00 untuk tujuan bantuan kewangan kepada golongan miskin di negeri ini.
Kembali