MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Bolehkah YAB Ketua Menteri memberitahu Dewan ini mengenai perkembangan ekonomi Negeri Pulau Pinang pada masa kini dan apakah tindakan yang telah dan akan diambil bagi memperkembangkan lagi ekonomi Negeri Pulau Pinang.
Dun -
Exco TKW
Perkara Ekonomi

Jawapan
a) Perkembangan Ekonomi Semasa Pulau Pinang

Bagi negeri Pulau Pinang, tahun 2004 merupakan tahun yang lebih baik dari segi pertumbuhan ekonomi berbanding dengan tahun 2003 yang mengalami kelembapan dari segi pelaburan dan perbelanjaan sektor swasta. Tahun 2003 penuh dengan kejutan luaran (external shocks) seperti perang Amerika-Iraq dan serangan pengganas yang memberi kesan kepada ekonomi negara/negeri.
Wabak SARS juga telah mengakibatkan sektor pelancongan Pulau Pinang terjejas dimana para-pelancong terutamanya dari luar negeri enggan mengambil risiko untuk melancong ke sini.

Jadual 1: KDNK Pulau Pinang Tahun 2004
Value (RM Million in 1987 Prices)
Q1 Q2 Q3 Q4 2004
Agriculture 75.7 77.1 77.8 78.4 309.0
Mining & Quarrying 47.2 45.6 42.7 43.0 178.5
Manufacturing 2,097.8 2,123.4 2,133.4 2,150.0 8,504.6
Construction 97.3 90.1 80.3 80.9 348.7
Tertiary 2,627.2 2,671.8 2,685.6 2,706.5 10,691.1
Overall GRP 4,945.2 5,008.1 5,019.8 5,058.8 20,031.9

% Share Q1 Q2 Q3 Q4 2004
Agriculture 1.53% 1.54% 1.55% 1.55% 1.54%
Mining & Quarrying 0.95% 0.91% 0.85% 0.85% 0.89%
Manufacturing 42.42% 42.40% 42.50% 42.50% 42.46%
Construction 1.97% 1.80% 1.60% 1.60% 1.74%
Tertiary 53.13% 53.35% 53.50% 53.50% 53.37%

% Growth Q1 Q2 Q3 Q4 2004
Agriculture 3.50% 3.97% 4.89% 5.70% 4.51%
Mining & Quarrying -4.60% -5.89% -9.97% -9.27% -7.36%
Manufacturing 10.00% 10.15% 9.39% 8.74% 9.58%
Construction 0.50% -7.90% -18.80% -18.17% -11.10%
Tertiary 5.50% 6.02% 5.27% 4.66% 5.38%
Overall GRP 7.11% 7.28% 6.31% 5.75% 6.62%

Source: SERI

Sektor Pembuatan

Berpandukan kepada jadual 1, sektor pembuatan mengalami peningkatan dari segi nilai dan sumbangan kepada keluaran dalam negeri kasar. Peningkatan di dalam sektor pembuatan adalah dipandu oleh peningkatan di dalam permintaan barangan elektrik dan elektronik (E&E) dari Jepun dan Amerika Syarikat – 2 pasaran eksport utama bagi negeri Pulau Pinang. Sub-sektor E&E menyumbang kepada sekurang-kurangnya 60% daripada jumlah keluaran sektor pembuatan di Pulau Pinang dan dengan itu, kemajuan sektor E&E dunia telah membolehkan sektor pembuatan Pulau Pinang mencapai pertumbuhan sebanyak 9.58% untuk tahun 2004.

Suatu trend yang menarik juga telah dapat diperhatikan di dalam sektor pembuatan di mana pelaburan domestik memainkan peranan yang semakin penting di dalam sektor ini. Untuk kali pertama dalam jangkamasa 6 tahun, pelaburan ke dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang telah diterajui oleh pelaburan domestik, di mana jumlah pelaburan domestik ke dalam Pulau Pinang telah meningkat sebanyak 117.1 peratus berbanding dengan tahun yang lepas.

Jadual 2: Pulau Pinang – Jumlah Projek dan Pelaburan yang Diluluskan
2003 2004 Y-o-Y Growth
Bil. Projel yang diluluskan 137 144 5.1%
Bakal Bil. Pekerjaan 9,890 9,235 -6.6%
Jumalah Pelaburan 1,922,986,202 2,030,147,425 5.6%
Yang Diluluskan (RM)
Tempatan 467,169,243 1,014,409,409 117.1%
Asing 1,455,816,959 1,015,738,016 -30.2%

Source: MIDA

Berpandukan kepada jadual 2, kebanyakan daripada pelaburan asing ke Pulau Pinang adalah dari Amerika Syarikat, diikuti oleh Jepun dan Singapura. Peningkatan di dalam penyertaan pelaburan domestik menandakan 2 perkara. Pertamanya, peningkatan pelaburan domestik mengurangkan kebergantungan negeri Pulau Pinang terhadap pelaburan asing yang makin mendapat persaingan hebat. Keduanya, ia mungkin juga menandakan bahawa polisi negara menggalakkan pelaburan domestik telah mula membuahkan hasil.

Sektor Perkhidmatan

Sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada KDNK negeri Pulau Pinang dari segi sumbangan sektoral (sectoral contribution). Sektor ini telah mencapai pertumbuhan sebanyak 5.38 peratus bagi tahun 2004, mencerminkan penggunaan yang lebih tinggi serta peningkatan di dalam aktiviti-aktiviti yang berkait rapat dengan perdagangan dan perlancongan di dalam negeri. Sektor perlancongan, yang merupakan salah satu daripada sektor penjana pendapatan yang utama di Pulau Pinang, telah menunjukkan peningkatan pada tahun 2004 berbanding dengan tahun 2003 di mana wabak SARS telah menjejaskan pencapaian sektor perlancongan. Pada bulan Julai 2004 sahaja, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah merekodkan peningkatan sebanyak 30.1 peratus bagi jumlah kemasukan pelawat asing berbanding dengan Julai tahun 2003. Walaupun data-data lengkap sektor perlancongan negeri tidak dapat diperolehi, industri perlancongan dipercayai telah berkembang terutamanya dengan peningkatan dalam jumlah pelancong dari Timur Tengah, China dan Eropah ke Pulau Pinang pada separuh tahun kedua tahun 2004. Sub-sektor kewangan juga telah mencapai peningkatan dari segi jumlah pinjaman yang dikeluarkan yang menandakan sentimen pengguna (consumer sentiments) yang telah bertambah lebih baik dan pertumbuhan dalam perkhidmatan perniagaan (business services). Pandangan ekonomi untuk 2004 yang lebih baik telah membawa kepada penggunaan dan pelaburan persendirian yang lebih tinggi dan dengan itu, telah mendorong pencapaian pertumbuhan yang lebih baik di dalam sektor perkhidmatan bagi tahun 2004.

Sektor Pertanian

Dari segi penyumbangan kepada KDNK negeri Pulau Pinang, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan merupakan penyumbang yang kecil dengan kadar penyumbangan 1.5 peratus bagi tahun 2004. Walau bagaimanapun, ini merupakan sektor yang agak penting dari segi potensi dan diversifikasi bagi ekonomi negeri yang semakin bergantung kepada pelaburan asing untuk penjanaan ekonomi.
Sektor pertanian di Pulau Pinang telah mengalami pertumbuhan yang agak memuaskan bagi tiap-tiap suku tahun pada tahun 2004. Ini adalah selaras dengan polisi negara Malaysia secara keseluruhannya untuk mula memberi lebih banyak penekanan terhadap aktiviti-aktiviti pertanian yang memberikan lebih banyak nilai ditambah (value-added) serta penekanan terhadap peningkatan pengeluaran makanan untuk mengurangkan pergantungan terhadap pengimportan makanan. Pengenalan Pelan Induk Seberang Perai Utara (2003-2010) oleh Kementerian Pertanian dijangka akan dapat memberikan galakan yang lebih besar lagi terhadap sektor pertanian negeri Pulau Pinang. Tumpuan akan diberikan terhadap daerah utara dan Pelan Induk ini akan meliputi kawasan sebesar 272 km persegi dan melibatkan 8,322 keluarga petani. Skop Pelan Induk ini meliputi semua sub-sektor pertanian seperti pertanian kontan (crop agriculture), penternakan (animal husbandry), perikanan (fisheries), industri berasaskan pertanian (agro-based industries) dan perlancongan pertanian (agrotourism). Pulau Pinang pada masa kini telah mencapai kemajuan yang amat memuaskan dari segi akuakultur dan penternakan ikan hiasan dan dengan Pelan Induk SPU ini, sektor pertanian, penternakan dan perikanan di Pulau Pinang dijangka akan mendapat hala tuju yang baru dan berkembang dengan lebih pesat lagi.

Sektor Perlombongan

Aktiviti perlombongan dan kuari bukanlah sektor yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang. Kebanyakan kuari di Pulau Pinang adalah berpusat di kawasan Seberang Perai dan pengeluaran hanyalah untuk memenuhi permintaan domestik sahaja. Maka terdapat korelasi yang rapat diantara pertumbuhan output untuk sektor perlombongan dan kuari dengan sektor pembinaan negeri ini. Prestasi sektor pembinaan bagi kedua-dua sektor awam dan swasta adalah tidak memuaskan dan telah membawa kepada pertumbuhan negatif bagi kedua-dua sektor ini, iaitu sebanyak -7.36 peratus bagi aktiviti perlombongan dan kuari dan -11.10 peratus bagi sektor pembinaan bagi tahun 2004. Walaupun sektor pembinaan telah mengalami pertumbuhan negatif akibat daripada peningkatan kos bahan pembinaan serta penurunan aktiviti pembinaan oleh sektor awam terutamanya ke dalam projek infrastruktur, sektor hartanah di Pulau Pinang telah menunjukkan tanda-tanda kemajuan. Keadaan ekonomi dan sentimen pengguna (consumer sentiments) yang lebih baik, berserta kadar pembiayaan kewangan yang lebih rendah (lower financing rates) yang diberi oleh Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan penggunaan swasta (private consumption) di dalam negara ini telah membawa kepada pertumbuhan di dalam sub-sektor perumahan di dalam sektor hartanah ini. Dalam sub-sektor komersil pula, kadar pendudukan (occupancy rates) telah menunjukkan peningkatan prestasi walaupun pada masa kini, penawaran lot komersil dan lot pejabat di dalam negeri ini masih lebih daripada permintaan bagi lot-lot ini.

Jadual 3: Keluaran Dalam Negara Kasar 2004: (Malaysia vs. Penang)
Malaysia Penang
Year 2004 7.1 6.6

Source: Department of Statistics, Malaysia & SERI



Perbandingan di antara kadar pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang dan Malaysia menunjukkan kadar pertumbuhan yang agak sama / serata diantara negeri dan negara ini. Malaysia secara keseluruhannya telah merekodkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan bagi negeri Pulau Pinang kerana ia mewakili skop pencapaian ekonomi yang lebih luas berbanding dengan konteks yang diwakili oleh negeri kita. Pada amnya, tahun 2004 merupakan tahun yang lebih baik daripada tahun 2003.

Mengekalkan Daya saing

Untuk meneruskan kemajuan dan mengekalkan daya saing negeri Pulau Pinang di dalam persekitaran semasa yang semakin dinamik, Pulau Pinang perlu menangani cabaran-cabaran yang sedang di hadapi oleh ekonominya. Di antara cabaran-cabaran yang dihadapi termasuk:

• Kebergantungan yang tinggi terhadap pelaburan asing terutamanya dari Amerika Syarika
• Ekonomi Pulau Pinang yang berorientasikan eksport menjadikan negeri ini amat mudah dipengaruhi oleh kitaran ekonomi perdagangan dunia.
• Peningkatan di dalam persaingan daripada negara-negara yang mempunyai kos yang lebih rendah
• Keperluan untuk menguatkan peranan Pulau Pinang sebagai pusat R&D dan D&D
• Kekurangan “knowledge workers” (pekerja berilmu)
• Keperluan untuk membangunkan dan mendedahkan IKS kepada arena dunia.
• Menarik lebih ramai pelancong (domestik dan antarabangsa, baru dan lama) ke Pulau Pinang
• Pengembalian keyakinan pelancong ke Pulau Pinang selepas kejadian wabak SARS, epidemik selsema burung (bird flu) dan tsunami di wilayah ini
• Penaiktarafan dan penyelenggaraan infrastuktur dan kemudahan yang sedia ada seperti perkhidmatan pengangkutan awam, tandas awam dan kebersihan negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya.

Bagi tahun 2005, KDNK Pulau Pinang dijangka akan mengalami pertumbuhan diantara 5 - 6 peratus, iaitu hampir/selaras dengan KDNK negara Malaysia. KDNK Pulau Pinang dijangka lebih rendah daripada KDNK Malaysia kerana pemandu utama pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang iaitu sektor pembuatan amat terdedah dan mudah di pengaruhi oleh prestasi industri semikonduktor dunia yang dijangka akan mengalami kelembapan pada tahun ini. Tambahan lagi, kejadian tsunami yang telah berlaku pada 26 Disember dijangka akan membawa impak terhadap pencapaian ekonomi Pulau Pinang bagi suku tahun pertama 2005. Dari perspektif ekonomi, 2 sektor utama yang telah di jejaskan merupakan sektor perikanan dan perlancongan. Jumlah kerugian yang dialami oleh kaum nelayan (operator berlesen dan tidak berlesen) adalah dianggarkan sebanyak RM8.9 juta dan kerugian yang disahkan dialami oleh industri akuakultur tempatan adalah sebanyak RM13.8 juta manakala kerugian sebanyak RM30 juta telah dilaporkan. Bagi sektor perlancongan, purata kadar pendudukan hotel-hotel di Pulau Pinang telah jatuh dengan drastik sehari selepas kejadian malapetaka tsunami tersebut. Terdapat juga pembatalan lawatan pelancongan ke Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai RM3juta. Pada keseluruhannya, jumlah kerugian yang telah dialami oleh para pengoperasi hotel dianggarkan sebanyak RM 6.7j uta setakat 13 Januari 2005. Pemandu pelancong dianggarkan telah mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 10-15 peratus manakala restoran-restoran melaporkan kejatuhan sehingga 70 peratus daripada jumlah pelanggan.

b) Strategi masa lalu dan strategi yang akan dilaksanakan untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi Negeri Pulau Pinang

Sektor Pembuatan

(1) Masalah utama yang mungkin menjejaskan perkembangan ekonomi Pulau Pinang ialah hakisan daya saing sektor pembuatan, khususnya sektor kecil elektronik dan elektrik, yang keluarannya menganggotai kira-kira 42 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ekonomi Pulau Pinang. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Negeri Pulau Pinang telah memajukan keupayaan pembuatannya yang berciri pengeluaran secara besar-besaran, keseragaman produk dan nilai ditambah yang rendah (high volume, low mix and low value-added manufacturing) ke tahap yang tinggi. Sungguh pun semakin lama semakin meningkatnya tahap teknologi yang diterimapakai dalam operasi ini, namun ianya pada asasnya terdapat pada titik yang paling rendah di atas rantaian nilai. Dengan kemunculan ekonomi Cina yang kaya dengan anugerahan tenaga buruh dan yang memiliki pasaran domestik yang besar, daya saing ekonomi Pulau Pinang dalam operasi pembuatan tersebut makin ketinggalan negeri Cina ini. Memandangkan kepada hakikat bahawa sektor pembuatan, lebih-lebih lagi sektor kecil elektronik dan elektrik, menduduki tempat utama dalam ekonomi negeri ini, maka strategi-strategi bagi merangsangkan pertumbuhan sektor pembuatan mesti dikenalpasti dan dilaksanakan, sekiranya kita ingin memperkembangan ekonomi Pulau Pinang. Kerajaan Negeri telah pun mengenalpastikan beberapa strategi yang sedang dilaksanakan.

(i) Strategi yang pertama ialah keanjakan ke operasi pembuatan yang nilai ditambahnya lebih tinggi dalam sektor kecil elektronik dan elektrik. Di antara operasi ini ialah rekabentuk dan pembangunan (design and development) dan penyelidikan dan pembangunan (research and development). Ke arah ini, Kerajaan Negeri juga menggalakkan syarikat-syarikat multinasional dan tempatan menerimapakai teknologi baru seperti ASIC dan MEMS. Untuk menjayakan strategi ini, Kerajaan Negeri, melalui agensi-agensinya, telah meminta kerjasama universiti-universiti seperti Universiti Sains Malaysia dan institut-institut latihan seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) untuk melatih lebih ramai jurutera rekabentuk. Kerajaan Negeri juga sedang merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberi geran kepada syarikat-syarikat multinasional untuk membiayai kos latihan yang dijalankan oleh mereka dan untuk menggalakkan mereka memindahkan sebahagian daripada pengeluaran mereka kepada industri kecil dan sederhana (outsourcing part of their production to small and medium scale industries). Universiti-universiti juga digalak menjalankan penyelidikan yang hasilnya dapat memenuhi keperluan industri.

(ii) Kerajaan Negeri, bersama-sama dengan syarikat-syarikat perisian, telah menubuhkan Software Corporation of Penang atau (SCOPE), dengan tujuan hendak memajukan lagi keupayaan perisian (software capability) syarikat-syarikat perisian di Pulau Pinang ke tahap yang lebih tinggi. Salah satu daripada langkah ini ialah melatih lebih ramai jurutera perisian tempatan dan meminta Kerajaan Persekutuan membenarkan beberapa jurutera perisian yang berpengalaman dibawa masuk dari luar ke negeri ini. Apabila keupayaan perisian, seperti keupayaan membekalkan penyelesaian teknik, dinaikkan, SCOPE akan berusaha sama untuk mendapat lebih banyak kontrak dari syarikat-syarikat multinasional dan tempatan.

(iii) Baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah syarikat baru yang dikenali sebagai InvestPenang Bhd. Syarikat ini akan berusaha gigih untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

(iv) Pelancaran Koridor Raya Multimedia di kawasan Perindustrian Bebas Bayan Lepas, dijangka akan mempertingkatkan lagi daya tarikan Pulau Pinang sebagai pusat pelaboran.


Sektor Perkhidmatan

(2) Selain daripada sektor pembuatan, Kerajaan Negeri sedang berusaha memberangsangkan sektor perkhidmatan, khususnya sektor kecil pelancongan. Di antara langkah-langkah yang diambil termasuk memajukan produk-produk pelancongan sediada; memperkenalkan produk-produk pelancongan baru; menambahkan “connectivity” antara Pulau Pinang dengan bandaraya-bandaraya utama di negara-negara lain; memperbaiki kebersihan alam sekitar; meningkatkan tahap keselamatan; dan mempergiatkan promosi pakej pelancongan ke Pulau Pinang.

(ii) Kerajaan Negeri juga giat mempromosikan Pulau Pianng sebagai sebuah “call centre”. Dengan terlancarnya Koridor Raya Multimedia yang kedua di Pulau Pinang, maka salah satu syarat untuk menjadi “call centre”, iaitu adanya kemudahan telekomunikasi yang canggih seperti “broadband” akan dapat dipenuhi. Apa yang kini diperlukan ialah ramai tenaga manusia yang menguasai beberapa bahasa.

(iii) Rancangan lain bagi memperkembangkan ekonomi Pulau Pinang ialah mempromosikan Pulau Pinang sebagai suatu pusat untuk pelancongan perubatan atau “medical tourism”. Pulau Pinang kini mempunyai syarat-syarat yang memadai bagi tujuan ini, seperti adanya 11 buah hospital swasta yang masih mempunyai keupayaan berlebihan; pakar-pakar dalam berbagai-bagai disiplin perubatan; kemudahan-kemudahan perubatan yang moden dan canggih dan kakitangan para-medic, seperti ahli-ahli teknik, jururawat-jururawat; dan teknologis-teknologsi makmal perubatan yang mencukupi.

Pada masa kini, Pulau Pinang telah berjaya menarik ramai pesakit-pesakit dan mereka yang ingin menjalani pemeriksaan kesihatan dari negara-negara tetangga ke Pulau Pinang. Namun, potensi ekonomi dalam bidang ini masih belum dieksploitasikan secara penuh.

Sektor Pembinaan

(3) Sektor pembinaan juga dijangka akan memberangsangkan pertumbuhan ekonomi Negeri Pulau Pinang pada tahun 2005. Selain daripada skim-skim perumahan dan pembaikpulihan jalan-jalan, pembinaan Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang, atau lebih dikenali sebagai “Penang Outer Ring Road” (PORR) dijangka akan meninggalkan kesan positif ke atas pertumbuhan ekonomi.

(4) Dengan strategi-strategi ini, ekonomi Pulau Pinang dijangka akan bertumbuh pada kadar yang sederhana pada 2005. Jika kadar sederhani ini dapat dikekalkan dalam tempoh 2005-2020, maka Negeri Pulau Pinang dijangka boleh mencapai status negeri maju pada 2020. Namun demikian, harus ditekankan bahawa unjuran ekonomi adalah penuh dengan risiko. Salah satu daripada faktor risiko ini ialah hakikat bahawa kita tidak dapat meramalkan samada kejutan-kejutan luaran (external shocks) akan berlaku, dan kalau berlaku, bila dan bentuknya.







Kembali