Jawapan
Loji olahan leachate di Pulau Burung merupakan loji yang menggunakan konsep yang telah dicadangkan oleh para penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia (USM). Pembinaan loji ini adalah dengan kelulusan Jabatan Alam Sekitar(JAS) sebagai sebuah projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan kerjasama perundingan USM. Ia mula dibina pada tahun 2003 sebagai loji pandu (pilot plant) dan siap sepenuhnya pada September 2004. Efluen daripada loji ini tidak dilepaskan ke persekitaran untuk mengelak sebarang pencemaran serta sebagai memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh JAS.
Sistem olahan leachate ini merupakan satu sistem yang bersepadu terdiri daripada olahan secara biologi, kimia dan fizikal. Ia terdiri daripada 5 peringkat olahan iaitu Aerated Retention Pond, Coagulation & Flocculation Tank, Sedimentation & 2 Stage Filtration, Final Polishing Stage dan Aerated Holding Tank. Kajian yang telah dijalankan oleh Idaman Bersih Sdn. Bhd. iaitu kontraktor tapak sejak 6 bulan yang lalu menunjukkan sistem ini sangat berkesan untuk mengolah semi aerobik leachate.
Uji jalan yang dilakukan menunjukkan ianya berjaya menghasilkan air yang jernih (crystal clear) di mana tiada logam berat dikesan di dalam effluen. Penyingkiran bahan lain juga amat memberansangkan di mana BOD sebanyak 73% COD (87%), Pepejal terampai (72%), Ammoniakal Nitrogen (81%) dan Minyak & Gris (70%). Laporan lengkap hasil kajian ini akan dikemukakan kepada JAS untuk mendapatkan kebenaran bertulis.
Selain daripada pelan pengawalan pencemaran leachate, pihak IBSB juga mengadakan langkah pemantauan kualiti air setiap bulan yang mana laporannya dikemukakan kepada JAS dan pelbagai pihak termasuk beberapa jabatan dan individu-individu yang berkaitan.
Berdasarkan pemantauan oleh Jabatan Alam Sekitar di Sungai Tengah pada tahun 2004 keadaan kualiti air adalah terkawal.