MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan (a) Bilakah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas akan beroperasi. (b) Apakah jenis kursus yang ditawarkan dan apakah kelayakan yang diperlukan. (c) Berapakah bilangan pelajar yang ditawarkan dan berapakah jumlah kakitangan akademik dan bukan akademik. (d) Apakah kemudahan lain yang disediakan di ILP Kepala Batas. (e) Berapakah kos pembinaan ILP Kepala Batas.
Dun -
Exco TKW
Perkara ADUN

Jawapan
(a) Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas telah mula beroperasi pada bulan April 2004. ILP membuat dua (2) kali pengambilan iaitu; sesi Januari dan sesi Julai. Pengambilan sesi Januari 2005 telah dibuat dan, seramai 43 orang pelajar telah melaporkan diri mengikuti Kursus Sistem Komputer. Kapasiti pengendalian Kursus Sistem Komputer pada satu masa ialah 150 pelajar.

(b) Terdapat dua kategori kursus yang ditawarkan iaitu kursus sepenuh masa dan kursus jangka pendek (short course / customised course).

Kursus sepenuh masa
Sebanyak enam (6) kursus sepenuh masa yang ditawarkan di ILP Kepala Batas iaitu Sistem Komputer, Teknologi Telekomunikasi, Teknologi Instrumen Perindustrian, Teknologi Elektronik Perindustrian, Teknologi Juruelektrik dan Teknologi Penyejukbekuan & Penyamanan Udara

Kursus jangka pendek
Antara kursus jangkamasa pendek yang ditawarkan ialah Microsoft Word, Microsoft Excel, Microsoft PowerPoint, Microsoft Access, Penggunaan Internet, AutoCAD, Macromedia Flash, HTML, C++ Programming dan PC Maintenance.

Syarat kelayakan yang diperlukan adalah bergantung kepada bidang kursus.

Bagi Kursus Sistem Komputer kelayakannya adalah :-
- Warganegara Malaysia yang berumur di antara 17 hingga 30 tahun
- Memiliki SPM atau setaraf dengannya serta lulus Bahasa Melayu
- Lulus dalam Matematik/Matematik Tambahan atau Sains/Fizik

Manakala untuk kursus-kursus lain seperti Teknologi Telekomunikasi, Teknologi Juruelektrik, Teknologi Instrumen Perindustrian, Teknologi Elektronik Perindustrian, dan Teknologi Penyejukbekuan & Penyamanan Udara kelayakannya adalah :-
- Warganegara Malaysia yang berumur di antara 17 hingga 30 tahun
- Memiliki SPM atau setaraf dengannya serta lulus Bahasa Melayu
- Kepujian dalam Matematik/Matematik Tambahan dan Sains/Fizik

(c) Kapasiti pelajar yang mampu dilatih di ILP Kepala Batas pada satu-satu masa adalah seramai 600 pelajar. Jumlah kakitangan akademik sehingga 29 Mac 2005 adalah seramai 38 orang manakala kakitangan bukan akademik pula adalah seramai 16 orang.

(d) Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan adalah seperti berikut:-

I. Bangunan Pentadbiran dan Pusat Sumber

Bangunan Pentadbiran menyediakan kemudahan urusan pentadbiran dengan menyediakan Ruang Pentadbiran, Bilik Pengarah, Bilik Mesyuarat, Bilik Perbincangan, Unit Kawalan Teknikal (UKT), Unit Pembangunan Kemahiran (UPK) dan Unit Pengurusan Latihan (UPL).

Pusat Sumber menyediakan Ruang Perpustakaan, Bilik-Bilik Perbincangan, Makmal Komputer, Bilik Audio Visual dan, Bilik Multimedia untuk kegunaan kakitangan dan pelajar.

II. Bangunan Bengkel

Terdapat enam (6) buah bangunan bengkel yang menyediakan ruang bengkel utama, makmal dan bilik kuliah untuk melatih pelajar-pelajar yang diterima masuk untuk menjalani latihan di sini. Bangunan bengkel berkenaan adalah meliputi Bangunan Bengkel Sistem Komputer, Bangunan Bengkel Teknologi Telekomunikasi, Bangunan Bengkel Teknologi Instrumen Perindustrian, Bangunan Bengkel Teknologi Elektronik Perindustrian, Bangunan Bengkel Teknologi Juruelektrik dan Bangunan Bengkel Teknologi Penyejukbekuan & Penyamanan Udara.

III. Dewan Kuliah Utama

Dewan Kuliah Utama yang dilengkapi dengan kemudahan ‘audio visual’ yang lengkap bagi menjalankan aktiviti-aktiviti seperti ceramah, seminar, perhimpunan dan sebagainya mampu menampung sejumlah 500 orang pada satu-satu masa.

IV. Dewan Besar

Dewan Besar yang mempunyai kemudahan ‘audio’ yang lengkap mampu menampung seramai 800 orang pada satu-satu masa. Dewan ini juga menyediakan kemudahan “in-door game” seperti gelanggang badminton dan meja ping-pong. Ia juga berfungsi sebagai Dewan Serba guna (multipurpose hall) untuk pelbagai aktiviti termasuk penganjuran majlis-majlis rasmi dan aktiviti riadah.

V. Kemudahan Sukan dan Rekreasi

Antara kemudahan yang disediakan ialah padang bola sepak yang dilengkapi dengan astaka, padang hoki, padang bola jaring dan gelanggang tenis, bola keranjang serta bola tampar. Selain itu, terdapat juga gazebo (wakaf) di sekitar ILP untuk pelajar-pelajar bersantai dan aktiviti pembelajaran seperti kokurikulum.

VI. Kediaman Kakitangan

Terdapat sebanyak 45 unit kediaman dibina di dalam kawasan institut. Kelas unit kediaman yang disediakan adalah kelas C (1 unit), kelas D (3 unit), kelas F (17 unit) dan kelas G (24 unit).

VII. Asrama

Sebanyak 3 blok asrama disediakan untuk penginapan pelajar di mana 1 blok untuk pelajar wanita dan 2 blok untuk pelajar lelaki. Asrama ini dapat menampung sejumlah 600 pelajar pada satu-satu masa. Selain itu, terdapat juga suite pensyarah pelawat disediakan di asrama ini. Ia adalah bertujuan memberi kemudahan penginapan kepada pelawat yang berkunjung ke ILP Kepala Batas bagi mengikuti berkursus, seminar, mesyuarat dan sebagainya. Terdapat 10 bilik suite pensyarah pelawat yang disediakan.

VIII. Surau

Kemudahan surau juga disediakan kepada pelajar-pelajar dan kakitangan institut untuk menjalankan sembahyang berjemaah dan menganjurkan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti kuliah subuh/maghrib, ceramah agama dan solat tarawih pada bulan Ramadhan.

IX. Dewan Makan dan Kafeteria

Sebuah dewan makan disediakan untuk pelajar-pelajar menjamu selera. Dewan makan ini terletak berhampiran dengan asrama sesuai dengan kegunaannya oleh pelajar. Selain itu terdapat juga sebuah kafeteria yang menyediakan makanan untuk kakitangan. Kafeteria ini terletak di Bangunan Pentadbiran.

X. Kemudahan ICT

Kemudahan ICT juga merupakan salah satu kemudahan yang diberi penekanan di ILP Kepala Batas di mana setiap kakitangan dan pelajar mampu melayari internet dengan kelajuan 2MB. Untuk memudahkan lagi penggunaan internet ini, terdapat tempat-tempat yang membolehkan penggunaannya secara ‘wireless’ seperti di Dewan Besar, Dewan Kuliah, Kafeteria, Kediaman Kakitangan dan Asrama.

Dengan kemudahan ini juga, pihak ILP Kepala Batas telah berjaya menjalankan Kursus ICT kepada 307 peserta bermula dari Ogos 2004 sehingga Mac 2005. Peserta-peserta ini terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah dan kakitangan awam dari pelbagai jabatan.


(e) Kos pembinaan ILP Kepala Batas secara dasarnya terbahagi kepada 2 iaitu kos penyediaan infrastruktur iaitu; melibatkan bangunan dan peralatan pejabat (office automation) yang bernilai RM67.7 juta. Kos ini telah dibiayai di bawah Rancangan Malaysia ke 8 (RMK8). Selain daripada itu, di bawah RMK 8, sebanyak RM1.7 juta telah di peruntukan untuk peralatan bagi Kursus Sistem Komputer. Manakala kos perolehan peralatan untuk lain-lain bidang kursus akan diperolehi di bawah Rancangan Malaysia ke 9 (RMK9).


Kembali