Jawapan
Projek Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) adalah satu projek penswastaan Kerajaan Persekutuan. Perjanjian Konsesi telah ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Syarikat Lingkaran Luar Butterworth (Penang) Sdn Bhd (LLB) pada 28 April 1997. Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak terlibat dalam perjanjian konsesi ini.
Mengikut Perjanjian ini, Kerajaan Malaysia telah bersetuju memberi konsesi kepada pihak LLB untuk mengutip tol bagi tempoh 30 tahun. Pihak pemegang konsesi juga dibenarkan untuk mengutip tol di sebahagian Lebuhraya Butterworth-Kulim sepanjang 5km sebaik sahaja projek BORR dapat digunakan sepenuhnya. Sebagai balasan kepada pemberian konsesi bagi laluan Butterworth-Kulim, pihak LLB telah menjalankan kerja-kerja menyelenggara laluan tersebut mulai tahun 1998, termasuk menjalankan kerja membaikpulih pavement, menyelenggara laluan bawah tanah (underpass), menaiktaraf tahap keselamatan jalanraya termasuk pencayahaan (stret lighting)dan pembahagi jalan selain daripada membina jejantas di lokasi yang ditetapkan oleh pihak Berkuasa Tempatan. Selain daripada itu, pihak pemegang konsesi juga akan membayar RM50 juta kepada Kerajaan Persekutuan sebagai bayaran pajakan mengikut jadual yang ditetapkan.
Memandangkan kadar tol bagi BORR termasuk laluan di LBK belum dimuktamadkan, Kerajaan Negeri akan memohon agar kadar tol yang akan dikenakan bagi laluan ini tidak akan membebankan para pengguna. Mengikut perjanjian, penunggang motosikal tidak akan dikenakan sebarang bayaran tol untuk menggunakan BORR. Para pengguna yang ingin perjalanan yang lancar dan cepat boleh menggunakan laluan bertol ini, manakala mereka yang enggan membayar tol boleh menggunakan laluan yang lama tanpa tol sebagai alternatif.