Jawapan
Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menerima peruntukan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang, untuk membina Pusat Rukun Tetangga Air Putih bagi menggantikan bangunan sedia ada yang telah uzur, dimakan anai-anai serta tidak boleh digunakan lagi. Kerja telah bermula pada Oktober 2004 dan dijangka siap pada Mei 2005. Skop kerja merangkumi kerja merobohkan bangunan 1 tingkat sedia ada dan membina bangunan baru 2 tingkat. Bangunan merupakan hakmilik Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang.
Masyarakat setempat memerlukan tempat yang sesuai bagi tujuan mengadakan perjumpaan perpaduan, rekreasi, bermesyuarat, mengadakan program-program pembangunan komuniti dan aktiviti-aktiviti perpaduan yang lain. Pusat Rukun Tetangga (RT) ini juga akan dijadikan pusat untuk menjalankan aktiviti Skim Rondaan Sukarela pada waktu malam untuk mencegah jenayah di kawasan itu. Bangunan juga akan menempatkan kelas Tabika Perpaduan, bilik bacaan, bilik komputer, bilik mesyuarat dan Dewan Orang Ramai untuk faedah masyarakat tempatan. Pada masa sekarang kanak-kanak di kawasan ini yang menghadiri kelas Tabika Perpaduan kawasan RT Air Putih terpaksa menumpang di kelas Tabika Perpaduan di kawasan RT Kampong Melayu dalam keadaan kurang selesa. Tabika Perpaduan Air Putih akan beroperasi kembali di bangunan ini apabila siap kelak.