MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan (a) Berapakah jumlah sampah dan buangan mengikut klasifikasi jenis sampah yang digunapakai dan yang dikumpulkan untuk dilupuskan mengikut daerah bagi tahun 2002 hingga 2004 dan berapakah jangkaan pungutan sampah bagi tahun 2005, 2007 dan 2010. (b) Apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil bagi melupuskan setiap jenis sampah dan buangan yang semakin meningkat di negeri ini. (c) Jika berdasarkan jumlah dan kaedah pelupusan sekarang, berapa lamakah Pulau Burung dapat bertahan dengan timbunan sampah sarap.
Dun -
Exco THN
Perkara ADUN

Jawapan
(a) Jumlah dan klasifikasi jenis sampah yang dilupuskan bagi tahun 2002 hingga 2005 dan unjuran bagi tahun 2005, 2007 dan 2010 adalah seperti di Lampiran.

(b )Kerajaan Negeri dan Tempatan sedang dalam proses mengkaji kaedah pelupusan yang sesuai. Objektif adalah untuk mengadakan satu sistem yang bersepadu dan mesra alam. Tumpuan juga diberi kepada konsep 3 R iaitu mengurangkan, mengguna semula dan kitar semula. Buat masa ini MPPP sedang bekerjasama dengan beberapa badan antarabangsa untuk mengkaji dan melaksanakan langkah-langkah berikut:-

(i) Kajian mengenai pengasingan sampah di peringkat punca dan ‘waste minimisation’ bersama Japanese International Cooperation Agency (JICA).

(ii) Kajian mengenai pelupusan sisa makanan melalui kaedah kompos bersama Asian Productivity Organisation (APO).

(iii) Kajian mengenai program kerjasama orang awam, swasta dan kerajaan (Public Private Partnership Programme) bersama United Nation Development Programme (UNDP).

Memandangkan lebih daripada 45% sisa buangan adalah sisa yang berkuah dan basah maka kaedah pilihan dalam kajian buat masa ini ialah pelupusan secara kompos. Aktiviti kitar semula juga giat dijalankan dan digalakkan bagi sisa-sisa yang boleh dikitar semula. Baki sisa selepas itu boleh dilupuskan di tapak pelupusan atau melalui cara-cara lain.

(c) Tempoh masa tapak pelupusan Pulau Burung dapat digunakan bagi menampung limpahan sampah-sarap adalah bergantung kepada kaedah teknologi pengurusan dan pelupusan tapak yang perlu dirancang dan diputuskan oleh Kerajaan Negeri bersama MPPP dan MPSP. Berdasarkan jumlah dan kaedah pelupusan sekarang, jangka hayat tapak pelupusan Pulau Burung dianggarkan dalam lingkungan 20 tahun.




Kembali