Jawapan
Penduduk Kampung Baru, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan telah tinggal dan menetap di atas tanah milik pemaju iaitu Million Crest Sdn. Bhd sejak 1948. Lot yang melibatkan penempatan penduduk ini ialah lot 441, 442, 443 dan 444, Mukim 14, Seberang Perai Selatan. Sehingga kini terdapat lebih kurang 124 buah rumah kediaman. Pemaju telah berjanji untuk menempatkan kesemua penduduk di atas lot milik pemaju yang terletak berdekatan dengan kawasan ini dan didirikan dengan rumah berbandung (semi-detached) dengan hanya dikenakan bayaran RM5,000.00 dan dikehendaki mengosongkan tapak di Kampung Baru, Simpang Ampat. Walau bagaimanapun, sehingga kini pemaju tersebut gagal melaksanakan janji tersebut.
Pelbagai usaha sejak tahun 1991 telah dilaksanakan oleh Pejabat Daerah dengan kerjasama Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah penempatan ini. Cadangan ini melibatkan penempatan di atas tanah milik pemaju iaitu Million Crest Sdn. Bhd. Maka kesungguhan di pihak pemaju adalah faktor utama penyelesaian masalah ini. Walau bagaimanapun, pemaju ini telah menghadapi masalah kewangan akibat kemelesetan ekonomi di mana masih terdapat rumah dan rumah kedai yang dimajukan olehnya tidak dapat disiapkan sehingga sekarang. Oleh itu cadangan perpindahan ini juga turut menghadapi masalah.
Cadangan perpindahan ini telah beberapa kali dibincangkan dalam sesi bersama YAB Tan Sri Ketua Menteri. Dalam perbincangan pada 14.3.2005, Pegawai Daerah, Seberang Perai Selatan telah diminta mempercepatkan perbincangan dengan pihak ketiga iaitu pemaju swasta yang berminat untuk membantu menyelesaikan masalah perpindahan ini. Hasil dari perbincangan ini pihak pemaju telah meneliti cadangan perpindahan tersebut dan sedang membuat pengiraan kos terperinci bagi cadangan perpindahan tersebut. Melalui cadangan ini pihak pemaju ketiga juga memerlukan kebenaran dan persetujuan pemilik tanah iaitu Syarikat Miilion Crest Sdn. Bhd. untuk memberikan Surat Kuasa Wakil ( Power of Attorney) kepada pemaju ketiga bagi menguruskan tapak terlibat. Sebagai ganti kepada perpindahan tersebut, pemaju Syarikat Million Crest Sdn. Bhd. juga perlu menyerahkan sebahagian daripada tanahnya untuk dimajukan oleh pemaju ketiga. Cadangan ini telah dibincangkan dengan Y.B. Timbalan Ketua Menteri yang telah dilantik oleh YAB Ketua Menteri untuk menyelaras isu perpindahan penduduk ini. Sekiranya cadangan ini dipersetujui oleh Syarikat Million Crest Sdn. Bhd. masalah penempatan ini akan dapat diselesaikan.